suria

Doktor baru join TikTok disangka ‘Mat Bangla’ walau ada lebih setengah juta followers, dianggap bisu sebab video ‘tunjuk-tunjuk’ - “Baca komen boleh koyak”

Dr Ahmad Samhan kini mempunyai lebih 500,000 pengikut di TikTok.

APLIKASI TikTok kini semakin menjadi perhatian personaliti dan figura yang berpengalaman serta pakar dalam bidang tertentu untuk berkongsi ilmu dan nasihat.

Antaranya, 'doktor viral' iaitu Dr Ahmad Samhan Awang, yang membuka akaun TikTok @dr.samhan untuk berkongsi ilmu berkaitan perubatan.

Menerusi satu posting, beliau berkongsi menerima panggilan daripada TikTok Malaysia di atas perkongsiannya yang konsisten di platform tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor nak buat TikTok minta restu... mulanya kecewa, masuk bulan ke-2 cecah 300,000 followers! - "Berbisa betul doa mak"

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah 'ditendang' dari universiti, doktor ini akui hidup atas berkat dan harapan ibu yang ada kemahuan, imaginasi juga impian - "10 tahun lepas tak terbayang dapat bantu pesakit"

"Hi Dr Samhan, saya dari TikTok Malaysia. Terima kasih kerana konsisten berkongsi di platform TikTok. Tahniah! Doktor adalah doktor perubatan pertama yang capai 500,000 followers. Kami akan verify akaun doktor," tulisnya yang memetik perbualan tersebut di Facebook



Dr Ahmad memakai peralatan perlindungan diri (PPE). -foto FB Ahmad Samhan

Doktor berusia 35 tahun itu terkejut dengan sambutan warga TikTok berbanding pengikut di Facebook, yang baginya mungkin disebabkan kebanyakan pengguna TikTok berusia lingkungan umur 20 tahun ke bawah.

"Tak semesti dikenali di Facebook, saya turut dikenali di TikTok. Tidak. Siapa mamat ni wey? Muka Bangla (Bangladesh) mengaku doktor.

"Dia ni mesti bisu. Tak pun OKU (orang kelainan upaya). Video dia semua tunjuk-tunjuk, tak bercakap pun. Baca komen warga TikTok boleh koyak. Pedih. Memang tak berlapik langsung.

"Tapi bila fikirkan tujuan saya buka akaun TikTok adalah untuk sampaikan ilmu, saya terus melangkah. Maklumlah anak cikgu, suka sampaikan ilmu," ujarnya yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).



Berkunjung ke rumah pesakit untuk pemeriksaan. foto FB Ahmad Samhan

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samhan yang berpengalaman dalam perubatan selama empat tahun berkata, lebih 160 video telah dimuat naik beliau di TikTok setelah hampir empat bulan di platform tersebut.

"Secara amnya, saya berkongsi ilmu berkaitan dengan kesihatan, namun bergantung juga kepada soalan-soalan daripada followers.

"Saya juga merungkai mitos yang sering menjadi persoalan dalam masyarakat, nasihat tentang masalah kesihatan dan memupuk kesedaran awam mengenai vaksin Covid-19," katanya kepada mStar.

Memandangkan kebanyakan pengikutnya adalah generasi muda, doktor yang berasal dari Kelantan itu mengupas lebih banyak masalah berkaitan remaja dalam bentuk pendidikan.



Dr Ahmad Samhan juga menulis buku. foto FB Ahmad Samhan

"Saya juga mendidik followers atas masalah yang dihadapi segelintir remaja seperti rokok, onani dan penyakit kelamin serta isu berkaitan dengan isu golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

"Saya mahu kesedaran dan bimbingan menerusi video-video di TikTok dapat membantu mereka mengatasi masalah tersebut," katanya yang kini membuka klinik sendiri bersama rakan-rakan di Kuala Terengganu, Terengganu.

Mula-mula saya terkejut, tak sangka mereka terus buat kesimpulan berdasarkan sebahagian video saya yang tunjuk-tunjuk tu. Tapi saya tak ambil hati.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

Mengenai kritikan daripada segelintir pengikut TikTok yang tidak mengenalinya, Dr Ahmad Samhan tidak melihatnya sebagai sesuatu yang serius.

"Saya tak sentap pun bila ada followers kata saya macam Bangla. Dah banyak sangat komen yang saya terima, ada yang saya biarkan saja, ada yang saya balas dengan ketawa.

"Jadi, sebab itulah saya ada buat video TikTok tentang mengenali Dr Samhan supaya followers terutama yang muda-muda ni kenal siapa saya sebenarnya," ujarnya.



Video Dr Ahmad Samhan di TikTok sebagai pengenalan mengenai diri beliau.

Mengenai tanggapan terhadap beliau sebagai OKU, bapa kepada dua anak itu terkejut terdapat beberapa video yang dibuatnya di TikTok menunjukkan dirinya bercakap.

"Mula-mula saya terkejut, tak sangka mereka terus buat kesimpulan berdasarkan sebahagian video saya yang 'tunjuk-tunjuk' tu. Tapi saya tak ambil hati.

"Cara saya tunjuk-tunjuk seperti identiti saya dan cara penyampaian saya di TikTok. Jika ada topik yang bersesuaian atau terdapat permintaan daripada followers, saya akan buat video yang saya bercakap.

"Setakat ini, belum ada satu video yang saya berjoget. Mungkin pada masa akan datang saya sedia buat video joget di TikTok, sebagai cara untuk saya berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada followers," katanya.

Setakat ini, Dr Ahmad Samhan mempunyai lebih 525,000 pengikut di TikTok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan