suria

Baiknya bos! Wanita ini ‘saja-saja’ bawa staf Pakistan staycation di hotel 4 bintang, jalan-jalan cari makan - “Mereka pernah menangis sebab saya”

Intan (gambar kecil) berkongsi kisah membawa kesemua pekerjanya termasuk 15 staf warga Pakistan bercuti di hotel di Kuala Lumpur.

DALAM kita mengejar kesenangan dan kekayaan, jangan dilupa sumbangan mereka yang banyak membantu kita dalam mengecapi kejayaan.

Begitulah yang dilakukan oleh seorang wanita, apabila bermurah hati membawa sejumlah kakitangan warga Pakistan menikmati percutian di hotel bertaraf empat bintang di Kuala Lumpur.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, kelihatan kumpulan pekerja asing berkenaan begitu seronok mandi manda di kolam renang hotel dan menikmati makanan di sebuah restoran terkemuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah betul 2 bibik... terkejut terima telefon baharu, rupa-rupanya bonus gelang emas pun pernah dapat - "Tuhan bagi kesenangan bukan untuk kita rasa seorang"

ARTIKEL BERKAITAN: Baiknya doktor! Ditegur ibu kerana selamba 'lepas' maid tidur di rumah kawan, Dr Say ada alasan sendiri - "Rumah tak berapa kemas, kita kemaslah sikit"

Wanita berkenaan, Intan Saffinas Azizan memberitahu, percutian tersebut dirancang secara spontan kira-kira dua minggu lalu.



Intan (tudung merah) bersama sebahagian kakitangan tempatan dan warga Pakistan serta ahli keluarga.

Usahawan berusia 38 tahun itu berkata, seramai 40 orang terlibat dalam percutian itu, terdiri daripada ahli keluarganya dan 30 kakitangannya yang mana 15 pekerjanya adalah warga Pakistan.

"Hari Jumaat tu saya tergerak hati untuk bercuti staycation pada hujung minggu. Jadi, saya maklumkan kepada semua staf termasuk pekerja Pakistan untuk bercuti di Kuala Lumpur.

"Sebanyak tujuh kereta termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) bertolak dari Rawang, Selangor ke Kuala Lumpur untuk aktiviti 'food hunting' (makan-makan) sepanjang percutian dua hari dan satu malam," katanya kepada mStar, sambil menambah dia mempunyai sebuah kilang untuk menghasilkan produk jenama sendiri di Rawang.



Pengalaman bercuti bersama kakitangan di Pangkor.

Lebih mesra disapa Intan, katanya, ini bukan pertama kali dia bercuti bersama kakitangannya, sebaliknya sebelum ini mereka pernah ke beberapa lokasi menarik seperti Pangkor dan Langkawi.

"Saya memang suka bawa staf saya jalan-jalan, termasuk pekerja warga Pakistan yang terpaksa berjauhan dari keluarga untuk mencari rezeki di luar negara.

"Cara bekerja mereka begitu menepati masa. Pelanggan-pelanggan saya tidak pernah pun mengadu tentang mereka. Inilah cara saya menghargai mereka termasuk pekerja tempatan," ujarnya yang turut mempunyai sebuah lagi kilang di Lahore, ibu negara Pakistan.



Antara aktiviti makan-makan di Kuala Lumpur.

Menurut anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, dia menganggap kesemua pekerja warga Pakistan yang telah berkhidmat antara lebih setahun hingga lima tahun itu seperti keluarganya sendiri.

"Saya anggap mereka seperti keluarga sendiri. Sewaktu saya berkunjung ke Lahore sebelum ini atas urusan kerja, saya bertemu dengan keluarga pekerja dan melihat kehidupan mereka yang bukan datang dari orang yang senang.

"Mereka layan saya begitu baik seperti keluarga. Sebagai majikan, saya anggap mereka seperti anak sendiri. Mereka juga bekerja bersungguh-sungguh untuk syarikat saya dan demi menyara kehidupan keluarga mereka di kampung," ujar ibu kepada lima anak itu.



Kejadian kilang terbakar pada 2019.

Dalam pada itu, Intan yang mengusahakan bisnes sejak sembilan tahun lalu berkongsi mengenai kilangnya di Rawang, musnah dijilat api dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi pada 2019, yang berpunca daripada litar pintas.

"Masa tu saya tanggung kerugian teruk kilang terbakar. Saya menangis teresak-esak tengok kilang terbakar sampai hangus depan mata.

"Pekerja-pekerja warga Pakistan pun turut sama menangis dan memberikan kata-kata semangat kepada saya. Malah, mereka sanggup tidak dibayar gaji semata-mata untuk melihat saya membangunkan semula kilang.

Saya menangis teresak-esak tengok kilang terbakar sampai hangus depan mata. Pekerja-pekerja warga Pakistan pun turut sama menangis dan memberikan kata-kata semangat

INTAN SAFFINAS AZIZAN

"Bayangkan sebahagian besar gaji setiap bulan dihantar ke kampung, berapa saja yang tinggal untuk mereka hidup di Malaysia tapi masih ada hati untuk berkorban demi pekerjaan mereka dan bisnes yang usahakan selama ini.

"Tapi saya tidak tergamak untuk potong gaji mereka dan Tuhan nak tunjuk kebesaran-Nya, kilang saya dapat dibangunkan semula dua minggu selepas kejadian dan kembali beroperasi dan terus berkembang," katanya sambil menambah bisnesnya kini memasuki pasaran di Pakistan, Dubai, Kuwait dan Oman.



Pekerja warga Pakistan berkesempatan ke Pintasan Saloma sewaktu 'staycation' di Kuala Lumpur.

Sebagai majikan, Intan berkata, situasi menang-menang perlu diamalkan dalam persekitaran kerja bagi memastikan pekerja bekerja bersungguh-sungguh dengan seikhlas hati.

"Jangan bersikap terlampau bossy hanya tahu mengarah dan memerintah, tapi tidak prihatin dengan kebajikan pekerja. Jika kita rasa diri kita susah, sebenarnya mereka lebih susah daripada kita.

"Kita sebagai ketua atau pemimpin sepatutnya menunjukkan sikap yang baik. Bukan biadab atau marah-marah, kesannya pekerja tidak akan buat kerja seikhlas hati. Dalam apa jua yang kita lakukan, keikhlasan itu sangat penting," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain