BEGITU hebat dugaan yang menimpa seorang pemuda apabila disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sejak usianya 13 tahun. Namun pemuda ini tidak patah semangat dan terus melangkah ke hadapan untuk mengejar cita-citanya bergelar seorang pensyarah. Buktinya, dia kini mempunyai kelulusan akademik di peringkat Ijazah Sarjana dan baru menamatkan pengajiannya itu, tahun lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Dikagumi kerana 7 semester dapat 4 Flat, Neelofa pun offer hadiah... graduan dedah hampir tukar jurusan - "Saya pernah menangis, banyak kali" ARTIKEL BERKAITAN: Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat 'degree'... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - "Saya bukan slow learner" Bercakap kepada mStar, Khairullah Affarouk Paiman berkata, dia mengalami masalah penglihatan akibat satu kejadian selepas matanya cedera terkena lontaran bola. Pengurniaan Ijazah Sarjana Bahasa Melayu di UPM. Enggan melihat kekurangan itu sebagai halangan, anak kelahiran Felda Pemanis di Segamat, Johor itu mahu membuktikan dia juga mampu mempunyai kelulusan tinggi. "Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya belajar di Sekolah Tinggi Muar di Johor untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), sebelum meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur. "Saya kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor dengan bantuan Biasiswa Wakaf Ilmu UPM," katanya ketika dihubungi. Lebih mesra disapa Khairul, pemuda berusia 37 tahun itu berkata, dia kini menerima tawaran untuk menyambung pengajian dalam peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) program Bahasa Melayu di UPM. Surat tawaran untuk pengajian di peringkat PhD. Walaupun gembira dengan tawaran tersebut, anak kedua daripada enam beradik itu masih belum membuat keputusan untuk meneruskan pengajian berikutan kekangan kewangan. "Siapa yang tidak gembira apabila diberikan peluang untuk sambung belajar ke peringkat PhD kerana itulah misi saya dari sekolah kerana cita-cita mahu menjadi pensyarah. "Hasrat saya adalah untuk menjadi penyampai ilmu sebagai pensyarah bahasa dan secara tidak langsung dapat memperkasa Bahasa Melayu di Malaysia. Walaupun baru menerima surat tawaran dan belum mendaftar lagi kerana kekangan kewangan, tapi semangat saya begitu membara untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. KHAIRULLAH AFFAROUK PAIMAN "Bagi mencapai cita-cita yang amat besar ini, saya perlu kuat dan bersemangat dengan mempunyai kelulusan tertinggi menerusi pengajian di PhD," ujarnya yang kini tinggal bersama ibunya berusia 66 tahun yang merupakan bekas peneroka Felda, selepas bapanya meninggal dunia pada 2009. Antara pencapaian Khairul adalah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya sesi 2007/2008, menyertai Sukan Paralimpik 2016 sebagai atlet catur peringkas kebangsaan dan merupakan peserta pengajian perbandingan antarabangsa di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM pada Oktober 2019. Khairul menjadi OKU penglihatan sejak usianya 13 tahun. Dalam pada itu, penerima anugerah Pelajar Pendidikan Khas Cemerlang Kurikulum peringkat Sekolah Tinggi Muar pada 2005 itu membuat persediaan awal dengan melakukan kajian berkaitan topik-topik pengajian Bahasa Melayu untuk pengajian PhD. Sementara itu, Khairul kini menunggu dan mencari mana-mana pihak yang sudi membantu atau menaja kos pengajiannya ke peringkat PhD. "Walaupun baru menerima surat tawaran dan belum mendaftar lagi kerana kekangan kewangan, tapi semangat saya begitu membara untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. "Saya masih mencari ruang dan peluang untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi pensyarah suatu hari nanti. "Siapa tahu ada rezeki buat OKU penglihatan seperti saya untuk mempunyai kelulusan tertinggi di peringkat PhD sebagaimana mereka yang lain," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!