suria

‘Crush’ dengan guru ganti masa umur 15 tahun, 10 tahun kemudian lelaki ini pasang strategi selepas tengok cikgu ‘tiada foto dengan suami’ di FB - “Cukuplah dia hilang sekali”

Gambar kiri menunjukkan Ammar dan Izza 'dating' secara rasmi pada 2019, dan foto kiri perkahwinan mereka pada Disember 2020.

PASANGAN yang dahulunya pernah mengenali antara satu sama lain di sebuah sekolah, hanya bertemu jodoh selepas sedekad.

Jika dulu hubungan mereka sekadar guru dan pelajar, kini mereka berdua disatukan sebagai suami isteri dan perkongsian detik romantis itu dikongsikan menerusi aplikasi TikTok.

Bekas guru, Nor Izza Erma Ibrahim memberitahu, dia dan suami melangsungkan perkahwinan pada Disember 2020 selepas bertemu semula setahun sebelumnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Risik selepas 3 bulan kenal... kecoh wanita ini dikata kahwin cepat sebab suami 'poket tebal', agak-agak wang hantaran berapa angka? - "Kami sudah bersedia"

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh 'tunggu' di kafe! Pemuda kembara solo ke Eropah tawan hati 'Angelina Jolie', 2 kali tiket flight batal akhirnya kahwin selepas setahun video call - "Saya sebut KLCC"

Wanita berusia 36 tahun itu berkata, dia mula mengenali suaminya ketika bertugas di sebuah sekolah menengah di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 2010.



Izza berpengalaman sebagai guru selama tujuh tahun.

"Ketika itu suami sekadar pelajar di salah sebuah kelas di tempat saya mengajar. Saya bukan guru kelas dia pun, tapi pernah menjadi guru ganti di kelasnya beberapa kali.

"Masa tu dia baru berusia 15 tahun, masih muda remaja lagi. Saya tidak mengenalinya begitu rapat dan hanya menganggap dia sebagai salah seorang pelajar di sekolah," katanya kepada mStar, sambil menambah dia dikenali sebagai Cikgu Erma di sekolah.



Ammar (tiga, kiri) bersama rakan-rakan sekolah. foto nurwarnahidupku.blogspot

Lebih mesra disapa Izza, katanya, dia kemudian bertugas ke sekolah lain di Pulau Pinang dan mendirikan rumah tangga, namun hanya bertahan sehingga 2018 sebelum membuat keputusan untuk berpisah.

"Tahun berikutnya pada 2019 saya menerima DM (mesej secara langsung) daripada dia (kini suami) di Facebook, dan pada mulanya dia masih memanggil saya 'cikgu'.

"Dia pelawa saya untuk menjadi model fotografi bagi satu majlis permotoran. Pada mulanya, saya terkejut juga sebab dia masih kenal saya dan hubungan kami bermula dari majlis tersebut," ujarnya yang berhenti kerja sebagai guru pada 2016.



Izza ketika ditawarkan Ammar untuk menjadi model bagi majlis permotoran.

Sementara itu, bekas pelajar Izza yang kini adalah suaminya, Mohamad Ammar Mohamad Izham, 25, mendedahkan dia sebenarnya menaruh hati kepada guru ganti itu pada 2010.

"Saya crush dengan cikgu (kini isteri) sebab tertarik dengan personaliti dan cara pembawakan diri dia. Tapi sekadar crush sahaja sebab hubungan kami sekadar pelajar dan guru, tidak lebih daripada itu.

"Tapi saya tak tahu pun cikgu dah berpindah untuk bertugas ke sekolah lain, tiba-tiba hilang macam tu je. Tercari-cari juga tapi move on je lah," ujarnya yang berasal dari Bayan Baru.



Ammar (kiri) dan Izza bertemu semula selepas 10 tahun dan mendirikan rumah tangga.

Ammar berkata, dia bagaimanapun tergerak hati untuk mencari guru ganti itu setelah bertahun-tahun sebelum menjumpai akaun Facebook guru tersebut dan menghubunginya.

"Pelik juga sebab saya tengok tak ada pun gambar dengan suami di Facebook tapi saya tidak bertanya lanjut kerana menganggapnya sebagai perkara peribadi.

"Selepas tiga bulan kami berhubung semula sejak majlis permotoran tu, barulah saya mendapat tahu yang dia telah berpisah," katanya yang kini mengusahakan sebuah perniagaan.

Saya berterus terang tentang perasaan saya. Saya tak nak lagi dia hilang buat kali kedua dan saya terlepas peluang

MOHAMAD AMMAR MOHAMAD IZHAM

Menyedari status ibu tunggal guru ganti itu, Ammar memasang strategi untuk mengenali lebih rapat sebelum menjalinkan hubungan yang lebih serius.

"Saya berterus terang tentang perasaan saya. Cukuplah dulu dia 'hilang' sekali. Saya tak nak lagi dia hilang buat kali kedua dan saya terlepas peluang," ujarnya.



Izza (kiri) kini bahagia bersama Ammar (kanan) dan anak lelakinya.

Walaupun jarak usia 11 tahun, namun ia bukan penghalang bagi kedua-dua bekas guru dan bekas pelajar ini untuk mengecapi kebahagiaan bersama sebagai suami isteri.

Izza yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama tujuh tahun berkata, suaminya begitu penyayang dan mengambil berat serta menerimanya seadanya dirinya yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki kini berusia lapan tahun hasil perkahwinan terdahulu.

"Pada mulanya saya takut dan serik, masihkah ada peluang kedua untuk berkahwin lagi terutama dengan usia dia jauh lebih muda. Tapi saya percaya restu keluarga dan keredaan Allah untuk saya mencari kebahagiaan diri sendiri untuk bersama dia," kata Izza.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain