KEJUTAN dalam kejutan! Mungkin itulah gambaran sesuai mengenai kisah seorang lelaki yang menerima kejutan hari jadi yang tidak disangka-sangka. Menerusi video yang tular di media sosial, lelaki itu menerima hadiah jambangan bunga duit dan belon, selain maskot watak kartun popular Minnie Mouse dilihat memeriahkan suasana. Namun, apa yang menjadi perhatian adalah tindakan lelaki tersebut yang berkali-kali cuba mengelak daripada dipeluk maskot berkenaan untuk sesi fotografi. ARTIKEL BERKAITAN: Dah buat plan 'baik punya', tapi misi kejutan berakhir hambar! Pelik isteri pak imam tak ada perasaan terima surprise hadiah - "Macam saya pula kena prank" ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan rancang nak surprise suami, isteri dapat 'kejutan' terlebih dahulu... kek birthday terbelah di tangan runner tak jujur - "Kenapalah dia tak fikir" Lelaki berkenaan, Wan Mohd Raflan Rodzi berkata, kejutan itu berlaku ketika dia bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di Alor Setar, Kedah pada Jumaat lalu, sempena hari ulang tahunnya ke-36. Isteri Raflan membuat kejutan dengan menjadi maskot Minnie Mouse. Katanya, pada awalnya tiga individu bersama satu maskot datang ke sekolah untuk menghiburkan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020. "Saya memang tak syak apa-apa pada mulanya sebab nampak ramai pelajar di pintu pagar sekolah. Jadi, saya sangka kejutan dibuat untuk pelajar yang dah habis kertas soalan SPM. "Tapi seorang daripada mereka datang berjumpa saya dan maklumkan mereka sebenarnya nak sampaikan hadiah hari jadi untuk saya. Memang terkejut masa tu," katanya kepada mStar. Lebih mesra disapa Raflan, katanya, mereka memaklumkan bahawa hadiah dan kejutan tersebut 'dikirim' oleh isterinya, Siti Fatimah Mat Isa, 37. Raflan (kanan) bersama isteri. "Bila mereka kata isteri yang buat kejutan, saya terus terfikir patutlah isteri langsung tak beri ucapan hari jadi kat saya sejak tengah malam, saya punyalah tertunggu-tunggu. "Tapi saya pelik bila salah seorang daripada mereka minta izin untuk maskot bergambar peluk bersama saya. Maskot Minnie Mouse mungkin yang pakainya adalah perempuan. "Saya ni suami orang, perlu jaga batas pergaulan. Tak kan la saya hendak biarkan diri saya dipeluk maskot yang dalamnya adalah wanita lain, tak nak orang lain syak wasangka. Masa tu saya teringat isteri kat rumah," ujarnya yang mendedahkan punca dirinya berkali-kali mengelak apabila cuba dipeluk maskot. Saya ni suami orang, perlu jaga batas pergaulan. Tak kan la saya hendak biarkan diri saya dipeluk maskot yang dalamnya adalah wanita lain WAN MOHD RAFLAN RODZI Dia yang bertugas sebagai pengawal keselamatan hampir dua tahun itu mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila terdengar bunyi ketawa daripada maskot berkenaan. "Bunyi dan cara ketawa ‘maskot’ itu serupa macam ketawa isteri saya. Team yang hadir buat kejutan tu minta saya buka sarung kepala maskot tu untuk dedahkan siapa di sebaliknya. "Bila dibuka, rupa-rupanya isteri saya. Sangat terkejut, rasa sebak pun ada. Tak sangka isteri buat kejutan hari jadi, pertama kali berlaku pada saya," ujar bapa kepada empat anak itu. Raflan rela dipeluk selepas mengetahui isterinya yang memakai maskot tersebut. Dalam pada itu, Raflan yang juga berniaga secara kecil-kecilan mendedahkan dia perlu bertugas lebih masa sejak kebelakangan ini bagi menggantikan seorang rakannya yang cuti sakit. "Beberapa hari sebelum hari jadi, saya memang sibuk sangat sebab kena ganti rakan yang MC (cuti sakit). Saya balik rumah pun untuk rehat sekejap, mandi dan makan. "Mula-mula saya ingat isteri tak wish mungkin sebab dia lupa hari jadi saya. Tapi bila fikir balik mungkin juga sebab dia merajuk kerana saya terlampau sibuk bekerja beberapa hari. "Rupa-rupanya isteri sengaja tunggu sampai saya buka sarung kepala maskot, betul-betul depan saya barulah dia nak ucap selamat hari jadi. Memang saya tak sangka," katanya dengan nada teruja. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!