"NIAT saya semata-mata mahu membantu sahaja kerana tahu betapa sukarnya nak mencari rezeki" Demikian kata lelaki ini ketika membuka cerita di sebalik tindakannya 'memborong' berpuluh-puluh bekas jeruk mangga asam boi daripada penjaja remaja di persimpangan lampu isyarat di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Bagaimanapun lelaki berkenaan tidak membawa pulang jeruk yang dibelinya, sebaliknya meminta penjaja berkenaan memberikannya kepada pengguna yang melalui jalan berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Guna mic bukan nak persenda abang jual mangga asam boi, mujur peniaga di lampu isyarat tak ambil hati – “Kalau terjerit-jerit orang kata gila” ARTIKEL BERKAITAN: Lihat budak basah kuyup jual mangga asam boi, guru suruh ‘jalan terus’ - “Ingin aku duduk dalam ribuan penonton dengar kisah perjuangan kau” Perkongsian video ketika urusan jual beli itu dilakukan turut dimuat naik di TikTok meraih sehingga melebihi 800,000 tontonan. Menjenguk di ruangan komen pula, rata-rata netizen memuji pendekatan lelaki berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mulia. Berkongsi dengan mStar, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Hakim itu turut membuka cerita di sebalik apa yang berlaku sehingga mendorong dirinya terpanggil membantu penjaja muda berkenaan. Hakim (kiri, belakang) bersama individu yang sentiasa berada di belakangnya ketika membina perniagaan. "Boleh dikatakan setiap hari saya akan melalui jalan tersebut. Bila lihat anak-anak muda menjaja di lampu isyarat, saya mengimbau kembali betapa susahnya nak mencari mencari rezeki. "Sudahlah bertahan di bawah hujan panas, berdepan risiko diambil tindakan oleh pihak berkuasa, dan dalam masa yang sama struggle nak mencari kerja lain. "Sebenarnya, saya sendiri pernah berada di tempat mereka sebelum ini. Orang nampak mungkin untung, tapi susahnya nak cari buah, harga buah yang sentiasa bertukar dan lain-lain lagi. "Sebab tu saya salute sangat dekat anak-anak muda yang tak segan ke hulu ke hilir menjaja jeruk mangga ni demi rezeki yang halal," kata ahli perniagaan berusia 32 tahun ini. Berniaga jeruk mangga asam boi di persimpangan jalan atau lampu isyarat sudah menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurut Hakim lagi, dia sendiri pernah merasai betapa getirnya mencari rezeki ketika mula-mula berhijrah ke ibu kota dari Dungun, Terengganu, beberapa tahun lalu. "Saya beli barang secara borong dari sebuah pusat pemborong di Klang, bawa balik untuk berniaga di Terengganu. Awal-awal dulu saya ulang alik naik bas. "Bila dah lama-lama, makin kenal dengan orang dan pembekal, dah nampak sikit demi sikit laluan terbuka. Pernah juga berniaga ayam goreng di tepi jalan. Saya berusaha keras sehinggalah berada di tahap sekarang. Memang tak mudah!," ujarnya lagi. Kalau boleh buat masa sekarang di mana ramai yang terjejas ketika pandemik Covid-19, biarlah pihak yang berkenaan ada timbang rasa sikit. HAKIM AHLI PERNIAGAAN Katanya lagi, dia sendiri sedia maklum dengan larangan aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat yang mana ia merupakan satu kesalahan dan berdepan dengan saman. "Bagi saya, cuma kalau boleh buat masa sekarang di mana ramai yang terjejas ketika pandemik Covid-19, biarlah pihak yang berkenaan ada timbang rasa sikit. Kalau tak boleh menjaja di jalan, sediakan tempat dan sebagainya. Kita manusia sesama manusia. "Saya pun baru je order vest keselamatan untuk penjaja ni dan akan serahkan nanti kepada mereka. Biar nampak proper dan untuk tujuan keselamatan juga. Hakim berkata dia sedia maklum dengan larangan aktiviti menjaja di persimpangan jalan, namun menegaskan niatnya hanya sekadar membantu. "Apa yang boleh tolong, saya cuba tolong. Haritu bila saya borong, mudahan mereka dapat pulang awal. Selepas saya kongsi ideo hari tu, ada yang DM saya minta nombor akaun adik penjaja tu. Alhamdulillah ramai sangat orang Malaysia yang prihatin sebenarnya. "Pesan saya pada anak muda khususnya yang masih menganggur, lihatlah semangat anak-anak muda ini. Nak kerja ni tak perlu fikir jauh, fikir nak bantu ibu bapa je dulu. Kena berubah... siapa lagi nak ubah melainkan diri kita sendiri," ujarnya lagi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!