suria

Selepas viral, ramai nak tengok wajah ‘budak tudung saji’... ibu ‘belanja’ show Peluang Kedua - “Dia pernah buat suami menangis”

Firas (kanan) menjadi perhatian selepas video menunjukkan dia bermain tudung saji.

GELAGAT seorang kanak-kanak lelaki bermain tudung saji menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok mencuit hati netizen.

Menerusi rakaman yang dibuat oleh ibu si cilik itu, sebuah tudung saji berwarna biru kelihatan seolah-olah bergerak sendiri di ruang tamu.

"Eh Firas, hang jadi apa tu? Kura-kura," jawab kanak-kanak itu secara spontan menjawab pertanyaan ibunya, sebelum sambung bermain dalam tudung saji.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 5 tahun 'miming' abang baca Iqra dianggap 'next Sharifah Sakinah'... bapa baru sedar bila ramai tegur - "Betul juga"

ARTIKEL BERKAITAN: Tangisan dalam kegembiraan! Drama queen umur 8 tahun berjurai air mata dapat 'pengganti' Taeyang - "Abah, kakak berterima kasih..."

Ibu kepada kanak-kanak itu, Rosliza Dollah berkata, ia bukan pertama kali anaknya berusia lima tahun, Firaz Darwisy Didi Amirul Mizwan bermain dengan tudung saji di rumah.



Firas menjadikan tudung saji sebagai alat untuk bermain.

Wanita berusia 34 tahun itu memberitahu, setiap kali bermain dengan tudung saji itu pada masa lapang, timbul pelbagai imaginasi dalam fikirannya.

"Tudung saji biru tu dah masuk yang ketiga. Tudung saji pertama dan kedua habis 'jahanam' dikerjakan Firas, yang ketiga ni tangkainya dah tercabut tapi masih boleh digunakan.

"Saya sengaja rakam aksi Firaz dan tak sangka video tu viral. Bukan setakat jadi kura-kura je, tudung saji tu dibuatnya untuk bermain 'naik' sampan atau kereta," katanya kepada mStar.



Firas suka mengumpul koleksi kereta mainan Hot Wheels.

Lebih mesra disapa Liza, katanya, Firas yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu berperwatakan ceria, kelakar dan suka menyakat.

"Firas ni memang sangat kelakar. Dia suka menyakat dan menyorok. Pernah satu hari, ayah dia balik ke rumah tanya saya mana Firas, saya jawablah tengah bermain di ruang tamu.

Tudung saji biru tu masuk yang ketiga. Tudung saji pertama dan kedua habis 'jahanam' dikerjakan Firas, yang ketiga ni tangkainya dah tercabut.

ROSLIZA DOLLAH

"Tapi tak ada. Puas kami cari satu rumah tak jumpa, sampaikan ayah dia menangis ingatkan ada orang masuk ke rumah dan culik dia sedangkan pintu berkunci.

"Hampir satu jam juga cari. Rupa-rupanya dia menyorok mendiamkan diri dalam almari di celah-celah pakaian. Firas yang berpeluh tu gelakkan saja kami yang panik ni," katanya sambil menambah almari tersebut mempunyai ruang udara dan pintu gelongsor yang boleh ditolak dari dalam.



Tangkapan skrin video TikTok yang mendedahkan wajah Firas.

Susulan video 'kura-kura' yang meraih lebih 200,000 tontonan di TikTok, suri rumah itu mendapati rata-rata pengikut mahu melihat wajah anaknya yang 'bersembunyi' di sebalik tudung saji itu.

Sehubungan itu, Liza memuat naik satu video daripada simpanannya yang menunjukkan anaknya sedang menyanyikan lagu Peluang Kedua dendangan Nabila Razali.



Liza (kiri) dan suami (kanan) memangku Firas dan adiknya.

Dia yang menetap di Alor Setar, Kedah berkata, selain suka bermain tudung saji serta mengumpul koleksi kereta mainan Hot Wheels, anaknya itu juga minat menyanyi.

"Firas juga minat menyanyi. Macam-macam lagu dia nyanyi termasuk lagu rock. Antara lagu-lagu yang dia suka nyanyi adalah lagu Peluang Kedua.

"Pernah suatu hari Firas minta ayah dia nyanyikan bahagian rap untuk versi bersama penyanyi rap, MK K-Clique dan dia nak sangat nyanyi bahagian Nabila Razali.

"Ayah dia pun layankan saja sebab kami bertiga memang suka menyanyi. Kadang-kadang berkaraoke jika ada masa lapang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain