suria

Mak ayah di kampung, anak di bandar... kalau boleh semua hasil tanaman nak dikirim! Satu beg durian ‘diseludup’ naik bas - “Pemandu tanya, adik tak mengaku”

Falliana berkongsi mengenai kotak yang diterima dari kampung yang mengandungi buah salak, serai dan ubi kayu. Ibu bapa Falliana (gambar kecil)

SIAPA yang tidak teruja mendapat bungkusan istimewa yang dihantar ke rumah.

Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, seorang wanita gembira apabila menerima dua kotak besar.

Bukan barang yang dibeli secara dalam talian, sebaliknya ia merupakan kotak yang mengandungi serai, buah salak dan ubi kayu yang dikirimkan oleh ibu bapanya dari kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Susah-susah mak ayah pos 'balang berharga' dari jauh, doktor menangis lihat reaksi kawan jamah kuih dibuat ibunya - "Mula-mula tak nak bagi..."

ARTIKEL BERKAITAN: Semut seekor pun tak boleh 'dekat', sanggup beratur 2 jam beli keropok viral... doktor sebak terima kunjungan mak ayah - "Rumah pun dia sanggup pikul"

Wanita berkenaan, Nurul Falliana Md Haludin berkata, barang-barang tersebut dihantar ke rumahnya di Kuala Lumpur oleh ibu bapanya yang menetap di Kampung Melaka di Sik, Kedah.



Ubi kayu hasil tanaman bapa di kampung.

Namun katanya, sebuah kotak seberat 15 kilogram yang diterimanya mengandungi serai, buah salak dan ubi kayu, manakala sebuah kotak lagi diisi pekasam kiriman adiknya untuk tujuan bisnes.

"Saya tak sangka pun mak ayah hantar sebab barang-barang ni boleh dapat di KL. Tapi mak ayah kan sayangkan anak-anak, jadi mereka hantar untuk saya rasa.

"Tapi tak ada la terkejut pun sebab ayah memang tanam ubi kayu di kampung. Mak dan ayah buat kerja-kerja kampung," ujar wanita berusia 32 tahun itu kepada mStar.

Falliana berkata, ibunya pula menjual serai secara kecil-kecilan dan kiriman tersebut digunakannya sebagai salah satu bahan untuk menyediakan ayam masak lemak.

"Ubi kayu pula saya rebus dan buah salak dimakan begitu saja. Selebihnya saya agihkan kepada seorang lagi adik yang juga tinggal di KL," ujarnya sambil menambah ibu bapanya masing-masing berusia 54 dan 50 tahun.



Bapa Falliana aktif membuat kerja-kerja kampung.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, penghantaran mengejut daripada ibu bapanya di kampung itu sekali gus dapat mengubat kerinduan.

"Kali terakhir saya pulang ke kampung pada Disember lepas, sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Sekarang pula rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Mungkin bagi orang lain ubi kayu, serai tu kecil saja. Tapi amat besar bagi saya atas kesungguhan dan pengorbanan mak ayah

NURUL FALLIANA MD HALUDIN

"Tapi hari-hari juga saya dan mak ayah berhubung. Selalunya kami buat video call. Sudah tentu saya rindukan mereka di kampung.

"Biasanya kalau anak-anak balik kampung, ayah akan masak nasi lemang, iaitu nasi yang diletakkan dalam buluh dan dibakar, kemudian makan bersama lauk. Masakan mak yang dirindui adalah kari ayam kampung," ujarnya yang mengusahakan bisnes secara dalam talian.



Falliana menghargai pemberian ibu bapanya.

Dalam pada itu, Falliana berkongsi pengalaman sewaktu menetap di Bentong, Pahang beberapa tahun sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 2017.

"Masih ingat lagi adik perempuan saya naik bas untuk ke rumah saya di Bentong. Mak ayah kirimkan satu beg berisi buah durian untuk saya rasa.

"Habis satu bas bau durian. Bila pemandu bas tanya siapa yang bawa durian, adik saya tak mengaku sebab nanti kena bising. Dia diam saja sepanjang perjalanan," ujarnya secara berseloroh.



Falliana (dua, kanan) bersama keluarga.

Falliana berkata, dia amat menghargai kasih sayang dan pengorbanan ibu bapanya yang masih mengambil berat tentang anak-anak meskipun sudah dewasa dan tinggal berjauhan.

"Mungkin bagi orang lain ubi kayu, serai tu kecil saja. Tapi amat besar bagi saya atas kesungguhan dan pengorbanan mak ayah.

"Harap sangat rentas negeri dibenarkan nanti. Memang berharap untuk balik beraya di kampung. Cukuplah raya tahun lepas saya terpaksa beraya di KL berjauhan dengan mak ayah disebabkan PKP dan larangan rentas negeri," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain