suria

Bermula dengan teman ke klinik, anak bongsu rela korbankan kerja demi jaga bapa tiba-tiba kena strok - “Sedih tengok abah, penduduk taman pun terkesan”

Lin sanggup berkorban dengan mengambil cuti tanpa gaji demi menjaga bapanya yang jatuh sakit.

HILANG harta boleh dicari, tapi hilangnya ibu bapa pasti tiada galang gantinya.

Begitulah kata-kata tepat bagi menggambarkan situasi wanita ini apabila dia sanggup mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan demi menjaga bapanya yang sedang sakit.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagi Lin berkata, bapanya jatuh sakit lebih seminggu yang lalu kerana diserang 'mild strok'.

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja, balik kampung jaga mak sakit! Video ibu menangis anak nak tinggalkan wad undang air mata - “Pukul 5 pagi saya kena halau”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkedu, penantian 2 tahun berakhir! Ibu akhirnya ada kekuatan masak semangkuk kari ayam selepas sakit tanggung rindu kepada bapa

Wanita berusia 34 tahun ini berkata, sejak jatuh sakit, perwatakan bapanya berubah sepenuhnya daripada seorang yang ceria dan kuat mengusik kepada seorang yang pendiam.

Mengimbas kembali detik yang berlaku lebih seminggu lalu, Lin berkata bapanya, Yahya Ahmad, 65, secara tiba-tiba menghantar mesej meminta menemaninya ke klinik kerana diserang sakit kepala.



Bapa Lin seorang yang ceria dan suka menyakat namun selepas jatuh sakit, perwatakannya berubah.

"Ketika itu sebelum puasa... abah mesej minta saya teman pergi klinik. Selepas pulang kerja, saya pun teman abah tapi masa tu bacaan tekanan darah tinggi dia okay saja. Doktor bagi ubat migrain.

"Hujung minggu tu ada kenduri dekat taman perumahan kami, abah pergi sekejap saja kemudian balik tu dia baring sebab sakit kepala. Keesokannya hari Ahad, abah ajak pergi bekam.

"Pulang daripada berbekam, dia minum jus mangga yang dibuat sendiri. Tak lama selepas itu terus dia muntah tak henti-henti. Jika sebelum ini abah menolak untuk ke hospital, kali ini dia sendiri yang minta dibawa ke hospital.



Sebagai anak bongsu, Lin sememangnya terlalu rapat dengan kedua ibu dan bapanya.

"Masa tu percakapannya dah tak berapa jelas. Kami pergi hospital waktu petang, hingga malam baru selesai. Kemudian doktor beritahu abah terkena mild strok," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Anak bongsu daripada empat beradik ini berkata, bapanya terpaksa ditahan di wad selama empat hari untuk rawatan dan pemerhatian doktor susulan keadaannya yang lemah.

"Abah sebelum ini memang ada kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung. Keadaanya okay sahaja dan bergantung kepada ubat-ubatan... hanya pernah sekali masuk hospital untuk drip.

"Inilah kali pertama keadaan kesihatannya merosot teruk hingga terpaksa ditahan di wad. Dua hari pertama di wad, abah muntah darah terlalu kerap. Doktor kata sebab ada ulser juga di perutnya.

Dulu abah boleh jaga saya, sabar menemani saya ke mana-mana ketika saya ada masalah buku lali, kini tibalah giliran saya sebagai anak untuk menjaganya pula.

LIN

ANAK BONGSU

"Selepas dibenarkan keluar wad, abah masih muntah... walaupun hanya muntah biasa dan bukan muntah darah, keadaannya terlalu lemah. Abah memang tak boleh langsung menelan makanan. Hanya bergantung kepada susu yang dimasukkan ke dalam tiub.

"Sedih sangat tengok keadaan abah... sebab abah seorang yang suka melawak, menyakat. Sampaikan penduduk taman pun terkesan sebab selalunya tiap kali majlis atau kenduri, abah memang orang yang ceria sebab dia pengerusi taman," katanya.

Disebabkan dia menetap bersama kedua-dua orang tuanya, Lin berkata dia nekad mengambil cuti tanpa gaji kerana mahu menjaga bapanya.

"Dulu abah boleh jaga saya, sabar menemani saya ke mana-mana ketika saya ada masalah buku lali, kini tibalah giliran saya sebagai anak untuk menjaganya pula.



Keadaan bapa Lin kini bukan sahaja memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga, malah penduduk di taman perumahan mereka.

"Saya tak sangka video di TikTok meraih sehingga hampir 30,000 tontonan. Niat saya sekadar mahu jadikan kenangan di samping berkongsi apa yang saya lalui.

"Ramai yang hantar mesej cakap terkesan dengan video tu. Ada yang bagi kata-kata semangat, minta saya jaga abah elok-elok sebab mereka dah lalui kehilangan insan tersayang. Ada juga yang rekomen ubat untuk abah.

"Terima kasih banyak kepada yang beri komen positif... saya terharu sangat. Apa yang boleh saya katakan, jagalah orang tua selagi mana mereka masih ada. Utamakanlah dahulu keluarga. Hilang harta boleh dicari, hilang ibu bapa takkan dapat di mana-mana dah," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain