suria

Rumah depan bazar Ramadan macam best, tapi hakikatnya mencabar... kalau tak duit habis, kena beratur panjang atau martabak idaman sold out!

Foto kanan menunjukkan bazar Ramadan yang terletak di hadapan rumah Inchie, sementara gambar kiri memaparkan Inchie membeli juadah berbuka puasa.

BAZAR Ramadan merupakan tradisi yang begitu dinanti-nantikan, pastinya ramai yang merindui untuk berkunjung bagi membeli juadah berbuka puasa.

Mana tidaknya, aktiviti bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Menerusi satu video di aplikasi TikTok, seorang gadis berkongsi keterujaannya apabila rumahnya terletak betul-betul di hadapan bazar Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan ini dedah kenapa sanggup balik, kemudian datang semula semata-mata nak beli minuman di gerai air balang tumpah

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis 'propa' jalan-jalan di bazar Ramadan, kawan tengok komen pula 'emosi' sampai menangis! - "Nasib baik comel walaupun hambar"

"Habislah duit aku," tulisnya secara berseloroh.



Deretan gerai di bazar Ramadan sepanjang hampir 1 kilometer.

Gadis berkenaan, Nur Insyirah Balqis Norlizan berkata, dia sekeluarga baru berpindah ke rumah arwah datuknya di Ipoh tahun lalu di mana ia terletak berdekatan dengan beberapa rumah saudara-mara di kawasan perumahan yang sama.

Lebih mesra disapa Inchie, katanya, jarak rumahnya dengan bazar Ramadan hanya beberapa langkah dengan hanya perlu menyeberangi jalan untuk meninjau setiap gerai.

"Memang meriah kawasan ini bila Ramadan sebab bazar ada di hadapan rumah saja. Dari pintu rumah dah boleh nampak gerai-gerai.

"Tak perlu fikir nak pergi bazar Ramadan dengan kereta dan nak cari parking sebab jalan kaki beberapa langkah saja dah sampai," katanya kepada mStar.



Ibu saudara dan sepupu Inchie turut berniaga di bazar Ramadan.

Inchie yang berusia 22 tahun berkata, jarak dekat itu juga membolehkannya berkunjung bazar Ramadan sepanjang hampir satu kilometer itu, pada bila-bila masa sepanjang waktu operasi.

"Saya rajin ke bazar selepas waktu kerja. Paling awal pukul 6 petang atau selewat-lewatnya pukul 7 petang masih sempat berkejar balik ke rumah untuk berbuka puasa.

Tak perlu fikir nak pergi bazar Ramadan dengan kereta dan nak cari parking lagi sebab jalan kaki beberapa langkah saja dah sampai

NUR INSYIRAH BALQIS NORLIZAN

"Jika dahulu, nak pergi bazar Ramadan kena bersesak-sesak. Sekarang ni semua ikut SOP (prosedur operasi standard), jadi laluan lebih terkawal," ujarnya yang bekerja di Taska.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, tumpuan utamanya di bazar Ramadan bagi membeli juadah pilihan iaitu kuih-muih dan aneka jenis lauk terutama martabak.



Barisan beratur panjang menjadi cabaran ketika membeli di bazar Ramadan.

Bagaimanapun katanya, orang ramai yang datang ke gerai masih perlu berdepan dengan barisan beratur yang panjang di gerai berikutan pematuhan SOP.

"Paling saya suka beli di bazar Ramadan adalah martabak. Setiap kali Ramadan, menu martabak yang paling menjadi kesukaan ramai.

"Ramai yang kata beruntung rumah depan bazar Ramadan, boleh beli setiap hari. Memanglah senang, jalan saja tapi duit pun banyak keluar juga," katanya sambil menambah ibu saudara dan sepupunya turut berniaga menjual lauk-pauk di bazar Ramadan.



Inchie berkongsi pengalaman berkunjung ke bazar Ramadan di hadapan rumah.

Namun kata Inchie, hakikatnya, rumah terletak di hadapan bazar Ramadan tetap menyukarkannya untuk membeli martabak yang menjadi rebutan pengunjung.

"Kalau ke bazar Ramadan pukul 7 petang, jangan harap nak dapat martabak. Confirm dah habis. Kalau sedikit awal, memang terpaksa hadap beratur panjang.

"Memang senang rumah dekat bazar boleh datang bila-bila masa. Tapi kalau makanan yang menjadi idaman tu ramai yang dok berebut beli, memang kena datang awal juga.

"Rumah depan bazar Ramadan atau tak sama je. Kalau tak habis duit berbelanja, kena beratur panjang atau martabak idaman dah habis, sold out!" ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain