suria

Baru stage 2 dah rasa nak mati! Wanita kongsi derita dijangkiti Covid-19, dada seperti remuk setiap kali bernafas - “Sakit paling teruk seumur hidup”

Meera berkongsi pengalamannya sebagai seorang pesakit Covid-19 tahap 2. Gambar hiasan

"COVID-19 ni sakit weh. Sakit paling teruk yang saya pernah alami seumur hidup. Setiap saat rasa macam saya akan mati, dan saya hanya stage 2. Jangan la buat main dengan virus ni"

Demikian tulis seorang pesakit Covid-19 menerusi satu ciapannya di Twitter yang sehingga kini meraih 15,000 retweet.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Meera berkata, episod ngeri tersebut bermula selepas dia mengalami beberapa gejala penyakit Covid-19 hampir dua minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengok pesakit lain menggelupur, meninggal depan mata... wanita dapat bayangkan jenazah sendiri diurus sebelum dibawa ke ICU - “Covid-19 is real, saya dah habis jaga”

ARTIKEL BERKAITAN: 13 hari di ICU... Keluarga doktor dah diminta bersedia hadapi berita buruk, siapa sangka stigma masyarakat lebih parah - “Kawan enggan ambil duit baki, risau ada virus”

"Saya mula demam dan selesema yang teruk, sakit kepala teruk dan sakit-sakit badan. Hilang deria bau dan rasa. Saya juga alami sesak nafas. Semuanya berlaku dalam tempoh 24 jam sahaja!

"Memandangkan seorang anak buah saya diuji positif virus Covid-19, jadi keluarga kami semua buat swab test dan saya seorang saja yang positif.

"Saya memang macam dah boleh agak yang saya mungkin positif Covid-19. Jadi bila keputusan keluar, saya hanya bertenang... cuma risaukan anak sebab dia baru empat tahun, dan suami sebab tidur sekali," ujar wanita berusia 29 tahun ini.

Menurut Meera, dia masih lagi dirawat dan dikuarantin di sebuah hospital di Johor sejak 14 hari yang lalu dan masih dikategorikan sebagai pesakit Covid-19 tahap 2.

Bercerita mengenai pengalamannya sepanjang dua minggu dirawat, Meera berkata dia tidak mungkin dapat melupakan kesakitan setiap kali prosedur pengambilan darah.



Sungguhpun berada pada tahap 2, namun Meera berkata kesakitan yang dialami terlalu perit. Gambar hiasan

"Setiap hari kena ambil arterial blood. Memang sakit sungguh sebab hari-hari kena ambil darah, kena cucuk macam-macam. Peringkat awal, keadaan saya teruk juga. Sesak nafas... setiap kali nak ambil nafas tu dada macam kena remuk.

"Saya juga muntah-muntah yang teruk... ada tahap sampai keluar ketulan darah," ujarnya.

Menyaksikan keadaan pesakit lain yang lebih teruk di hadapan mata sendiri juga merupakan antara pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan oleh ibu kepada seorang anak ini.

Peringkat awal, keadaan saya teruk juga. Sesak nafas... setiap kali nak ambil nafas tu dada macam kena remuk.

MEERA

PESAKIT COVID TAHAP 2

"Ada satu kes wanita mengandung. Oksigen dah tak cukup sampai baby dalam perut dia tak bergerak dah. Pesakit tersebut terpaksa dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan dia ditidurkan untuk intubated.

"Setakat ini tak ada lagi nampak pesakit meninggal di depan mata... tapi ada masanya akan dengar jururawat kelam kabut bila ada kes kematian. Saya risau dan terfikir, bimbang keadaan saya juga bila-bila masa boleh teruk," ujarnya yang juga seorang pekerja di sektor swasta.

Memaklumkan keadaan kesihatannya semakin pulih, Meera berkata dia bagaimanapun masih perlu dipantau dan sehingga kini masih tidak pasti bilakah dirinya akan dibenarkan keluar hospital.

"Memang akan rasa down dan rindu dengan keluarga. Tapi suami selalu video call, hantar gambar anak. Kurang la sikit rasa down bila tengok muka anak. Lebih bersemangat untuk lekas sembuh jadi boleh balik cepat.



Menyaksikan pesakit lain yang terpaksa ditidurkan dan dimasukkan ke ICU merupakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Meera. Gambar hiasan

"Kepada mereka di luar sana, tolonglah jaga porsedur operasi standard (SOP). Pakai mask, kerap cuci tangan dan jagalah jarak. Jangan sesekali ambil mudah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Covid-19 bukan demam biasa atau selesema biasa. Sakit sangat-sangat dan ia memang real, bukan hoax (khabar angin) atau tipu. Saya sendiri dah melihat keadaan pesakit yang begitu teruk, sampai ditidurkan untuk masuk tiub.

"Saya baru stage 2 dah seksa, apa lagi stage 3,4, 5? Minta jauh... jagalah diri dan keluarga masing-masing," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain