suria

Anak terkejut tengok pakaian mak ketika gerudi dinding renovate rumah! Kerja lelaki-perempuan semua boleh buat, janji ada kain batik

Foto kanan menunjukkan Ekin (kanan) bersama ibunya. Ibunya menjadi perhatian kerana berkain batik ketika membuat kerja-kerja pengubahsuaian.

DINDING sebuah rumah dipecahkan, dengan bunyi bingit mesin gerudi dirakamkan menerusi satu video di aplikasi TikTok.

Namun siapa sangka, rupa-rupanya seorang wanita berkain batik kelihatan selesa melakukan kerja tersebut, yang kebiasaannya dibuat oleh kaum lelaki.

"Siapa mak dia macam ni? Semua kerja boleh buat," tulis seorang pengguna TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: "Habis semua kain batik saya dia pakai setiap hari" - Isteri kagum dapat suami mat salih tapi 'terlebih Melayu'... makan mesti mau pedas!

ARTIKEL BERKAITAN: Rembat kain batik, baju kelawar bini... ada sebab 'Spiderman' lincah berjoget di tepi jalan - "Kalau tak ada yang beli nanti kami down"

Pengguna TikTok berkenaan, Nor Asyikin Ridzuan berkata, rakaman tersebut dibuat di ruang tamu rumahnya di Kg Lubok Jong di Pasir Mas, Kelantan.



Ibu Ekin membuat kerja-kerja pengubahsuaian di rumah.

Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, wanita yang sedang menggunakan mesin gerudi untuk memecahkan dinding ruang tamu bagi kerja-kerja pengubahsuaian adalah ibunya yang berusia 50 tahun.

"Pagi tu saya bangun dah dengar bunyi bising di rumah. Jadi, saya saja buat rakaman secara spontan dan tak sangka mak berkain batik guna mesin pecahkan dinding ruang tamu.

"Mak memang selalu berkain batik di rumah, tapi saya tak sangka pula mak berkain batik ketika buat kerja-kerja tu. Mak ni memang jenis selamba," katanya kepada mStar.



Dinding ruang tamu yang telah dipecahkan.

Lebih mesra disapa Ekin, katanya, ibunya yang berasal dari Pasir Mas merupakan seorang wanita lasak dan sering melakukan kerja-kerja kampung.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bukan setakat angkut pek simen guna kereta sorong, bancuh simen dan tampal jubin lantai serta dinding pun boleh. Sebelum ni pun mak pernah menoreh getah dekat rumah.

"Mak ni memang jenis tak duduk diam, ada je yang hendak dibuatnya. Bukan setakat kerja lasak, kerja-kerja orang perempuan pun boleh... apa je yang mak tak boleh buat?" ujarnya yang merupakan anak ketiga daripada 10 beradik.



Ibu Ekin juga mahir menjahit.

Mengulas lanjut, ibunya turut dikenali kerana kemahiran menjahit sehingga menjadikannya sebagai pendapatan sampingan.

"Mak juga pakar memasak. Paling sedap mak masak adalah asam pedas ikan dan padrik ayam.

Mak ni memang jenis tak duduk diam, ada je yang hendak dibuatnya. Bukan setakat kerja lasak, kerja-kerja orang perempuan pun boleh.

EKIN

"Kalau ikutkan mak pun boleh buat kuih raya. Tapi nak raya ni tak sempat sebab beri tumpuan pada tempahan baju yang perlu dijahit," katanya sambil menambah ibunya juga berkebolehan melukis dan menggubah hiasan untuk hantaran perkahwinan.

Dalam pada itu, Ekin berkata, dia sekeluarga sukar untuk melihat ibunya berseluar sama ada di rumah mahupun keluar ke mana-mana.



Sebahagian keluarga Ekin di Pasir Mas.

"Mak ni kalau tak berkain batik, dia akan pakai jubah atau baju kurung. Tapi biasanya berkain batiklah sepanjang masa, kalau setakat pergi ke kedai dekat sarung kain batik je.

"Dengan anak-anak, mak memang sempoi. Mak seorang yang tegas terutama bab solat, pesan jangan tinggal solat dan mak juga yang selalu kejutkan anak-anak untuk solat Subuh.

"Mak mula-mula je kejut lembut-lembut dan ketuk pintu. Selepas bagi peringatan pertama, kedua... mak terus jirus air kat muka supaya anak-anak bangun solat. Saya pun pernah kena, memang automatik terbangun dek air yang dijirus mak," ujarnya secara berseloroh.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain