suria

Dulu pasang sebab nak pantau mak ayah, CCTV di kampung kini ‘lebih berjasa’ selepas larangan rentas negeri - “Sebak tengok aktiviti mereka hanya dari jauh”

Saffuan memantau rakaman CCTV di rumah yang menyaksikan bapanya sedang memotong rumput di halaman. Foto kecil menunjukkan Ibu bapa Saffuan yang menetap di Ipoh.

SAYU rasanya sambutan Aidilfitri kali ini buat mereka yang berjauhan dengan keluarga kerana tidak dapat merentas negeri untuk pulang beraya di kampung.

Lebih memilukan ketika menonton satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV), berlatarkan lagu 'Dendang Perantau' nyanyian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Video berdurasi enam saat itu menunjukkan seorang lelaki yang bertopi, kelihatan baru selesai membersihkan halaman di sebuah rumah menggunakan mesin pemotong rumput.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak nak datang tak apa, tunggu je jasad Along depan rumah" - Bapa akhirnya rentas negeri, kumpul kekuatan memandu sambil menangis demi tatap jenazah anak kali terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Minta rentas negeri tapi 'tak lepas', 3 beranak menangis jumpa di sempadan disaksikan abang polis... juadah air tangan ibu ubat rindu anak

"Dapat tengok bapa kat CCTV je pun. Tak dapat rentas negeri... mengubat rindu," menurut keterangan video yang dikongsi seorang pengguna aplikasi TikTok.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pengguna TikTok berkenaan, Ahmad Saffuan Adenan memberitahu, lelaki dalam rakaman CCTV itu adalah bapanya yang berusia 67 tahun yang tinggal di Ipoh, Perak.



Bapa Saffuan mengisi masa lapang dengan memotong rumput di halaman rumah.

Ahmad Saffuan yang bekerja di Pulau Pinang berkata, pada masa ini rumah keluarganya itu dihuni bapanya, bersama ibu berusia 61 tahun dan adik lelaki bongsu berumur 21 tahun.

"Saya dan adik-beradik mempunyai akses untuk pantau dua CCTV di rumah, dari mana-mana. Kali terakhir saya pulang ke kampung pada Disember tahun lalu, sebelum pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0.

"Sekarang ni pula larangan rentas negeri, jadi saya memantau CCTV di kampung dari semasa ke semasa bagi meninjau keadaan semasa dan melepaskan kerinduan terhadap mak ayah dan kampung," katanya kepada mStar.



Saffuan (duduk, kiri) bersama sebahagian keluarganya.

Lebih mesra disapa Saffuan, katanya, bapanya yang merupakan seorang pesara sering menghabiskan masa dengan aktiviti bercucuk tanam, sementara ibu lebih banyak berehat kerana masalah kesihatan.

"Bila berjauhan, kebiasaannya kami akan call atau buat video call. Bila buat video call memang dapat tengok wajah mak ayah secara dekat, tapi hanya itu yang kita boleh nampak.

Tak perlu tunggu raya baru nak balik kampung jumpa mak ayah, atau call sebab rindu mereka. Percayalah mak ayah rindu anak-anak setiap masa.

SAFFUAN

"Kalau di CCTV, perasaan tu lain macam sebab kita dapat tengok apa aktiviti mak ayah hampir setiap hari. Mereka bercucuk tanam, sidai baju atau berehat di anjung rumah.

"Macam CCTV rakam ayah tu, tengok ayah rajin bercucuk tanam dan potong rumput bagi mengisi masa lapang di rumah buat saya rasa sebak sebab hanya dapat tengok dari jauh. Alhamdulillah ayah masih sihat," ujarnya yang menetap di Batu Kawan di Seberang Perai.



Saffuan bersyukur bapanya masih sihat melakukan aktiviti luar.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, Aidilfitri tahun ini bakal memberikan suasana berbeza apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana larangan rentas negeri.

"Tahun lalu masa PKP pertama, saya berada di rumah keluarga dan beberapa bulan melakukan kerja dari rumah. Dapatlah beraya di kampung masa tu.

"Sekarang ni saya dan isteri di Pulau Pinang. Kampung isteri juga di Perak, jadi memang kami beraya di perantauan tahun ini," ujarnya yang bertugas sebagai jurutera servis.



Saffuan reda beraya di perantauan tahun ini.

Walaupun berjauhan dan tidak dapat beraya di kampung, kata Saffuan, ia bukan penghalang untuk anak-anak sentiasa supaya berhubung dengan keluarga terutama ibu bapa.

"Sebenarnya tak perlu tunggu raya baru nak balik kampung jumpa mak ayah, atau call sebab rindu mereka. Percayalah mak ayah rindu anak-anak setiap masa.

"Oleh itu, rajin-rajinlah berhubung dengan mak ayah, buat video call. Tanya khabar mereka dan ambil hati mereka tanpa mengira masa," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain