suria

Wanita ini simpati nasib anak perantau tak dapat balik kampung... harap rendang, lemang percuma yang dihantar malam raya ubat kerinduan masakan ibu

Umu berhasrat berkongsi rezeki dan menggembirakan anak perantau dengan memberikan lemang dan rencang secara percuma.

MEMAHAMI kesedihan yang dirasai anak perantau kerana tidak dapat pulang berhari raya di kampung sempena Aidilfitri, seorang wanita terpanggil untuk sama-sama berkongsi 'rezeki' bagi menceriakan lebaran golongan berkenaan.

Tampil dengan idea yang dinamakan 'projek rendang dan lemang', wanita ini berhasrat mahu memberikan anak perantau sedikit juadah tradisi Aidilfitri itu buat mereka melepaskan rindu terhadap air tangan ibu tercinta.

Malah, wanita ini yang turut membuat hebahan di Twitter sama sekali tidak menyangka mendapat sambutan luar biasa daripada netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupa-rupanya air mata tak terhenti di kawat berduri, wanita dedah berlaku tangisan kedua selepas lemang dibawa rentas sempadan - “Dapat usap pipi pun jadilah”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Abang ketupat’ tak marah motor kena hon kuat-kuat tengah jalan, pernah tersengih seorang diri gara-gara wanita hamil

"Siapa yang bujang dan tak dapat balik raya sebab tak boleh rentas negeri yang duduk di daerah Gombak, boleh DM saya alamat dan nombor telefon. Saya nak send rendang ayam dan lemang ke rumah awak awak semua malam raya nanti. Jangan malu. DM saja. Lots of love," demikian ciapannya di Twitter.

Sehingga kini ciapan itu meraih sehingga 5,200 retweet selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen yang rata-ratanya menyambut baik serta memuji inisiatif wanita berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Rafiqah Umu Habibah berkata projek tersebut sebenarnya sudah dimulakan tahun lalu ketika umat Islam merayakan Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Umu membuat hebahan di Twitter dan tidak menyangka menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

"Kiranya, ini merupakan tahun kedua saya buat projek ini sebab kita masih beraya dalam suasana PKP.

"Tahun lalu, penghantaran dibuat sehingga ke Shah Alam dan Subang sebab masa tu tiada larangan rentas daerah. Jadi untuk tahun ini, memandangkan saya menetap di Selayang, terpaksa hadkan untuk mereka yang tinggal di daerah Gombak sahaja.

"Jujurnya, permintaan tahun lalu tak sebanyak tahun ini. Saya sendiri terkejut tengok ramai yang retweet dan dapat banyak sangat DM. Bila baca DM mereka, ada yang raya seorang, ada yang raya dengan housemate... cukup buatkan saya sedih.

"Memandangkan agak banyak permintaan, saya terpaksa hadkan jumlah dan minta maaf awal-awal kepada mana-mana yang tak sempat. Bukan apa, saya buat penghantaran malam raya saja. Takut nanti masa tak cukup dan terkejar-kejar," ujar wanita berusia 30 tahun ini.

Bila baca DM mereka, ada yang raya seorang, ada yang raya dengan housemate... cukup buatkan saya sedih.

RAFIQAH UMU HABIBAH

Menurutnya yang senang disapa Umu, rendang ayam akan dimasak sendiri manakala lemang pula akan dibeli sebelum juadah itu dibungkus dalam pek individu.

"Semuanya dana sendiri dan saya rasa seronok dapat melakukan sesuatu untuk menggembirakan orang lain. Dekat DM yang saya terima, mereka kata sebenarnya boleh saja kalau nak beli sendiri.

"Tapi menurut mereka, ia lebih bermakna dan sangat dihargai apabila ada orang yang sudi masakkan dan hantarkan," katanya sambil menambah, sehingga kini dia terpaksa hadkan kepada 40 pek terlebih dahulu.



Umu memulakan projek rendang dan lemang pada tahun lalu.

Mendapat sokongan penuh daripada keluarga, Umu berkata dia sekadar melakukan 'perkara kecil' untuk cuba menggembirakan serta memberi sokongan kepada perantau.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Dalam keadaan sekarang kena sokong antara satu sama lain khususnya dari segi mental. Saya di sini ada ibu dan ahli keluarga lain, saya dapat bayangkan kesedihan mereka yang terpaksa beraya tanpa keluarga.

"Saya berharap apa yang saya buat ni sedikit sebanyak dapat menggembirakan orang lain," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain