suria

Mengaku cucu paling manja tapi penjual ayam golek ini kerap buat neneknya menangis... terbaharu netizen pula sebak tengok video mereka berdua

Rata-rata komen netizen di TikTok mengakui sebak menonton video nyanyian Hanif buat neneknya.

RAKAMAN memaparkan seorang remaja berusia 19 tahun di aplikasi TikTok sedang memetik gitar sambil menyanyi di sisi neneknya ternyata menjentik hati netizen.

Dalam rakaman yang meraih lebih 40,000 tontonan itu, Muhammad Hanif Asyraf Mohammad Ali menyanyikan lagu Pelangi Petang, dendangan asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad khusus buat neneknya, Zaharah Mat Saman yang kini berusia 80 tahun.

Dia yang mesra disapa Hanif mengakui sama sekali tidak menyangka video itu akan dihujani pelbagai komen netizen yang rata-ratanya sebak dan terkenang orang tua masing-masing di kampung halaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 minggu jual ayam golek, remaja tetap nak bantu orang susah... selamba suap warga emas di kaki lima - “Mula-mula dia gembira, kemudian sebak”

ARTIKEL BERKAITAN: Gerai ‘0 pelanggan’ selama 2 minggu... peniaga dapat tempahan besar selepas sedekah secawan air jagung - “Dia mungkin rugi RM3...”

"Mek (nenek) tinggal di rumah keluarga saya sejak tahun lepas, saya pula tinggal di rumah lain dan sibuk berniaga. Biasanya seminggu sekali saya akan balik jumpa mek dan ahli keluarga yang lain.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya sekadar suka-suka rakam video dengan mek. Setiap kali balik saya nak gembirakan dia. Selalu mengaji bersama, nyanyi dan bergurau-senda.

"Saya baca komen netizen semua sedih, ada yang cerita kisah mengenai mak ayah masing-masing, ada juga yang sudah kehilangan nenek mereka.

Hanif berkata, dia sama sekali tidak sangka video itu akan mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

"Sangat sedih, saya pun tumpang simpati baca semua komen tu. Saya juga berpesan di TikTok agar kita semua hubungi orang tua yang jauh di mata untuk bertanya khabar," ujarnya.

Menurut peniaga ayam golek di Kota Bharu, Kelantan itu, neneknya berasal dari Hulu Terengganu, Terengganu dan mula menetap bersama keluarganya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Kata Hanif, dia sememangnya rapat dengan warga emas itu dan menyifatkan dirinya sebagai cucu paling manja sejak dulu lagi.

Saya pula memang rapat, saya cucu paling manja. Jarang saya kena membebel dengan mek.

HANIF

"Saya sebenarnya selalu rakam video dengan mek. Cuma jarang saya upload. Kalau saya nyanyi, mesti mek akan menitiskan air mata.

"Kalau mengaji bersama pun mek akan menangis. Sebelum PKP tahun lepas, saya ambil mek dan letakkan di rumah keluarga saya. Risau dia sendirian di Hulu Terengganu.

Kata Hanif, dia merupakan cucu paling rapat dan manja dengan neneknya.

"Jadi sampai sekarang mek duduk dengan keluarga saya. Saya pula memang rapat, saya cucu paling manja. Jarang saya kena membebel dengan mek," ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, Hanif sebelum ini pernah mendapat liputan mStar apabila dia sering membantu golongan susah termasuklah warga emas dan asnaf di sekitar Kelantan.

Kata Hanif, perniagaannya semakin laris selepas mendapat liputan mStar dan ramai pelanggan turut membantunya dalam urusan sedekah dan amal jariah.

Kisal amal kebaikan Hanif yang pernah mendapat liputan mStar sebelum ini.

"Saya nak berterima kasih kepada mStar sebab viralkan mengenai perniagaan ayam golek saya sebelum ni. Alhamdulillah bisnes dapat sambutan, dapat kongsi rezeki dengan keluarga dan golongan asnaf di luar sana.

"Setiap minggu saya hulurkan duit kepada mek, menitis air matanya. Walaupun sedikit, InsyaAllah ada berkat. Itulah petua saya untuk berjaya.

"Ramai pelanggan selalu bayar lebih bila beli ayam golek, ada yang tak nak duit baki. Kiranya saya pun berniaga sambil menderma.

"Ramai pelanggan nak bantu saya untuk teruskan kerja amal bantu orang susah. Ada juga yang datang membeli, mereka kata kenal saya selepas tengok di mStar," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain