suria

Sayu lihat warga emas usung ‘bakul raya’ di sempadan Kedah-Perlis, bakal menantu akui makan sambil menangis - “Mak memang masak untuk saya dan tunang”

Aziera tidak dapat menahan sebak melihat bakal mentuanya menghantar makanan di Kodiang, sempadan Kedah dan Perlis.

APABILA kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara mulai 12 Mei lalu, ramai yang kecewa kerana berharap dapat menyambut Syawal bersama keluarga.

Bukan sahaja tidak dapat merentas negeri, malah kita semua tidak dibenarkan untuk merentas daerah dan ziarah raya.

Disebabkan arahan ini juga, Nurazierah Azizy, 25, terpaksa mengambil 'bakul Adilfitri' daripada bakal ibu mentuanya, Aminah Abdullah, 63 di Kodiang yang merupakan sempadan Kedah dan Perlis.

Wanita berusia 25 tahun itu merakamkan detik warga emas itu berjalan perlahan sambil mengendong bakul dan memuat naik video itu di aplikasi TikTok sebagai kenang-kenangan.

Tanpa disangka-sangka rakaman yang menyentuh hati itu berjaya meraih sebanyak 700,000 tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 4 jam di dapur, rendang dan lemang free bakal tiba ke tangan anak perantau... pemberi siap titip kad raya!

ARTIKEL BERKAITAN:Kena ‘sound’ gara-gara rakam bapa buat kuih kapit, anak dedah sisi lain guru serba boleh ini – “Kalau tiba-tiba lapar ayah masak sendiri”

Lebih mesra disapa Aziera, dia mengakui sedikit sedih apabila terpaksa mengambil makanan yang dibekalkan Aminah walaupun tahu ibu kepada tunangnya itu amat berharap mereka dapat makan dan beraya bersama pada tahun ini.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, dia amat tersentuh hati apabila melihat di dalam bakul tersebut ada beberapa juadah berbuka seperti ikan kembung bakar, sayur rebung, sotong dan sedikit kuih raya serta ketupat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Antara juadah yang dibekalkan oleh Aminah untuk Aziera.

“Kami baru saja bercadang nak beraya sama-sama, sebab Kodiang bersebelahan Perlis, jadi tak jauh mana pun.

“Mak memang dah masak ketupat dengan kuih raya semata-mata untuk saya dan tunang balik beraya.

“Dia memang mengharapkan kami berdua dapat beraya bersamanya sebab anak-anak yang lain semua tinggal jauh, yang ada berdekatan cuma tunang saya je,” katanya yang menetap di Kangar, Perlis.

Aziera memberitahu ketika waktu berbuka, dia tidak dapat menahan sebak apabila menikmati juadah yang diberikan kepadanya dua hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Jelasnya, dia tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan seorang ibu apabila segala persiapan raya sudah tersedia untuk anak tetapi tiada seorang pun yang dapat pulang ke kampung untuk beraya.

Adam merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik.

“Memanglah seronok ada orang bagi makanan tapi saya terkenangkan perasaan mak sebab dia dah siapkan semua benda untuk kami.

“Waktu saya makan tu memang bergenang air mata sebab terlalu sebak memikirkan mak beraya berdua je dengan ayah nanti.

“Ada yang suruh langkah je penghadang tu, tapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab saya harus ikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan, ” ujarnya kepada mStar.

Nasib baik sempat belikan dia baju raya, sekurang-kurangnya dapat lah mak pakai baju baru hari raya pertama nanti

NURAZIERAH AZIZY

Menurut Aziera, tunangnya Muhammad Adam Hassan, 29, juga menetap dan bekerja di Kangar tetapi sebelum PKP sering meluangkan masa bersama keluarganya yang menetap di Kampung Hutan Palas, Kodiang.

Aziera juga mengakui mempunyai hubungan yang baik dengan bakal ibu mentuanya sehingga dia memanggil Aminah dengan panggilan 'mak'.

Jelasnya, dia ibarat menumpang kasih keluarga tunangnya selepas nenek yang membesarkannya sejak usia 2 tahun selepas ibu bapanya berpisah meninggal dunia 3 tahun lalu.

Aziera mempunyai hubungan baik dengan ibu kepada Adam.

“Biasanya sebulan dalam tiga kali kami akan bawa mak keluar pergi beli barang keperluan atau makan-makan.

“Nasib baik sempat belikan dia baju raya, sekurang-kurangnya dapatlah mak pakai baju baru hari raya pertama nanti, ” katanya yang menjual barang kosmetik secara dalam talian.

Tambah Aziera, jika tiada aral melintang mereka akan bernikah pada hujung tahun ini.

Aziera turut berpesan kepada mereka di luar sana yang masih berpeluang beraya dengan ibu bapa untuk menghargai masa yang ada dengan keluarga sebelum terlambat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain