SEBEKAS rendang ayam istimewa lengkap dengan lemang yang dibungkus kemas di dalam beg berwarna merah jambu bakal tiba ke tangan penerimanya pada malam raya ini. Ia adalah bingkisan istimewa daripada seorang wanita yang berhasrat mahu menggembirakan anak perantau terutamanya yang tinggal di daerah Gombak, yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman. Projek rendang dan lemang yang diilhamkan wanita bernama Rafiqah Umu Habibah ini tular di Twitter minggu lalu apabila ramai yang memujinya memberi juadah itu secara percuma kepada individu bujang yang beraya berseorangan kerana tidak dibenarkan rentas negeri. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini simpati nasib anak perantau tak dapat balik kampung... harap rendang, lemang percuma yang dihantar malam raya ubat kerinduan masakan ibu Usaha murni wanita tersebut turut mendapat liputan mStar minggu lalu. Bercerita kepada mStar, wanita yang senang disapa sebagai Umu berkata dia sudah mula membuat persiapan untuk memasak bermula pukul 11 pagi tadi. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Daging ayam tiba lebih awal pada malam sebelumnya, jadi saya sudah siap mencuci. Pada hari ini, saya hanya perlu memasak rendang. Alhamdulillah, siap memasak dan membungkus sekitar pukul 3.30 petang tadi. Sebahagian daripada 40 set lemang dan rendang yang sudah siap dibungkus. "Saya turut dibantu oleh ibu agar semuanya siap seperti masa yang dirancang. Cuma, saya tidak buat penghantaran kepada penerima, sebaliknya menggunakan khidmat seorang rider dan juga perkhidmatan Lalamove memandangkan kes Covid-19 agak tinggi ketika ini. "Alhamdulillah, walaupun penat tapi saya rasa seronok sangat kerana dapat memberi sedikit kegembiraan buat mereka yang tidak dapat pulang beraya," kata wanita berusia 30 tahun yang menetap di Selayang ini. Umu gembira berkongsi rezeki dengan anak perantau yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung. Menerima permintaan yang banyak berbanding tahun lalu, Umu berkata dia mampu menyiapkan sebanyak 40 set juadah raya kerana kekangan tenaga dan masa. Menariknya, penerima bukan sahaja akan mendapat lemang dan rendang secara percuma tetapi sekeping kad raya yang ditulis oleh Umu sendiri. Walaupun penat tapi saya rasa seronok sangat kerana dapat memberi sedikit kegembiraan buat mereka yang tidak dapat pulang beraya. RAFIQAH UMU HABIBAH Dalam pada itu, Umu berkata dia gembira apabila usaha tersebut turut menjadi ikutan individu lain yang juga menawarkan juadah raya secara percuma kepada golongan perantau. "Ada seorang individu di Putrajaya dan Wangsa Maju turut buat inisiatif yang sama. Jadi, mana-mana yang saya tak dapat penuhi permintaan sebab faktor lokasi yang jauh, saya akan majukan kepada mereka. Umu mula membuat hebahan di Twitter pada minggu lalu dan tidak menyangka menerima sambutan yang menggalakkan. "Gembira sangat bila ramai buat perkara yang sama... padahal kita tak saling mengenali antara satu sama lain. Waktu inilah pentingnya untuk kita saling menyokong antara satu sama lain. "Buat mereka yang menerima rendang saya, saya mohon maaf sekiranya ada terkurang atau sebagainya. Saya harapkan pemberian ikhlas ini akan dapat menggembirakan mereka semua," katanya lagi. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!