suria

‘Lelaki tidak dapat dilupakan’ popular di TikTok! Gadis buat pengakuan didekati ‘lelaki kucing’ pernah gemparkan negara 13 tahun lalu

Athirah menceritakan pengalamannya yang nyaris terpedaya dengan 'lelaki kucing' di TikTok.

KETIKA aplikasi TikTok 'meriah' dengan video-video yang dikongsi oleh pelayar media sosial mengenai 'lelaki yang tidak dapat dilupakan', kemunculan sebuah video yang dimuat naik oleh seorang gadis mencuri tumpuan ramai.

Gadis tersebut berkongsi pengalamannya terserempak dengan seorang lelaki yang cukup terkenal dengan gelaran 'lelaki kucing', individu yang pernah menggemparkan negara kerana disyaki sebagai suspek kepada beberapa kes penculikan kanak-kanak sekitar 2008.

Sehingga kini video yang dimuat naik gadis tersebut meraih lebih 457,000 dalam tempoh kurang daripada 24 jam!

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 12 tahun gadis dedah nyaris diculik, mungkin senasib Nurin Jazlin... terima kasih Doraemon!

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak dicabul di pasar raya, lelaki durjana diburu polis

Mengimbas kembali insiden yang berlaku sekitar 13 tahun lalu, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Athirah berkata dia masih mampu mengingati perkara berkenaan walaupun ketika itu dia masih bersekolah rendah.

"Kalau tak silap, insiden itu berlaku hujung tahun sekitar 2007 masa cuti sekolah. Ketika itu saya dan keluarga menetap di Kampung Baru. Memang masa tu, heboh pasal kes cabul dekat area sekitar Kampung Baru, Wangsa Maju dan kawasan sekitar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Nak dijadikan cerita, pagi hari tersebut saya pergi ke kedai runcit dengan seorang rakan lelaki yang lebih kurang tua tiga tahun dari saya. Masa sampai kedai, rakan saya dah masuk, saya belakang sikit.



Kes kehilangan Nur Sharlinie dikaitkan dengan suspek yang dikenali sebagai 'lelaki kucing'.

"Masa itu ada lelaki bertopi keledar dan berhentikan motornya depan kedai... dia tegur 'dik, nak tengok kucing tak dekat sekolah agama?'. Masa tu saya pandang dia tapi kemudian saya terus masuk dalam kedai.

"Lokasi sekolah agama dengan kedai runcit tu dekat saja. Dekat belakang sekolah agama tu ada taman permainan tapi sunyi sebab cuti sekolah. Mujur juga dia tak tarik saya dan dia kemudian terus berlalu," ujarnya ketika bercerita kepada mStar.

Menurut gadis berusia 21 tahun ini, tidak lama kemudian negara dikejutkan dengan kes kehilangan kanak-kanak bernama Nur Sharlinie Mohd Nashar dan dia serta merta teringatkan insiden yang dialaminya sebelum itu.



Lelaki berkenaan menjadikan kucing sebagai 'umpan' untuk memperdaya mangsa. Gambar hiasan

"Suspek dikatakan mengumpan kanak-kanak dengan 'kucing' dan lakaran wajahnya dikeluarkan di berita. Walaupun masih bersekolah rendah, tapi saya sedikit sebanyak ada tengok televisyen dan baca surat khabar.

"Melihat saja lakaran wajah lelaki itu, terus teringat lelaki yang ajak saya tengok kucing sebelum itu. Masa tu baru saya ceritakan kepada ibu. Memang ibu tak bagi saya keluar berseorangan dah," katanya yang kini bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Melihat saja lakaran wajah lelaki itu, terus teringat lelaki yang ajak saya tengok kucing sebelum itu. Masa tu baru saya ceritakan kepada ibu.

ATHIRAH

Tambah Athirah yang kini sudah berpindah dari Kampung Baru, setiap kali terbaca kes membabitkan kehilangan atau pencabulan kanak-kanak, dia tidak dapat mengungkapkan betapa dia terlalu bersyukur kerana dilindungi dan terhindar daripada insiden sedemikian.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih jumlah tontonan tinggi di TikTok, Athirah berkata dia sekadar mahu menyebarkan kesedaran kepada masyarakat agar lebih berhati-hati agar tidak ditimpa kejadian yang tidak diingini.

"Saya post secara random je... kebetulan tengah trend dekat TikTok dengan perkongsian video 'lelaki tak dilupakan' jadi saya kongsi pengalaman nyaris menjadi mangsa 'lelaki kucing' tu.



Athirah menasihatkan ibu bapa agar lebih peka supaya kejadian yang sama tidak menimpa anak-anak mereka. Gambar hiasan

"Ramai yang komen nak tahu ceritanya jadi saya ceritakan juga di dalam video berasingan. Tapi ada juga yang komen, mereka tanya 'tak takut ke' dan bimbangkan keselamatan saya.

"Serta merta saya terus rasa macam takut pula tapi demi nak create awareness, saya fikir positif. Saya harap ibu bapa dekat luar sana ambil berat dan lebih peka.

"Mungkin kena dedahkan anak-anak dengan perkara atau isu-isu yang melibatkan keselamatan diri seperti ini. Kalau boleh, jangan terlalu yakin lepaskan anak-anak pergi bermain tanpa teman. Selalulah ingatkan dan nasihatkan anak-anak tentang keselamatan," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain