suria

Pelajar bidang fesyen kebal berdepan ‘serangan persepsi’... rekaan busana inspirasi penderitaan di Palestin dapat pujian ramai

Busana yang dihasilkan dengan mengangkat tema Palestin oleh Helmy turut dikongsi menerusi TikTok.

SEDIH dengan nasib yang menimpa penduduk Palestin, pelajar bidang Rekaan Fesyen ini ada cara tersendiri untuk menzahirkan rasa simpati.

Menurut Mohd Dzulfadly Helmy Harun, 24, ciptaan busana yang mengangkat tema Palestin bertujuan menyampaikan mesej dan peringatan mengenai penderitaan yang dilalui penduduk di sana.

"Idea itu timbul selepas melihat apa yang berlaku di Palestin. Saya sebenarnya suka membuat lukisan fesyen berkaitan isu semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu lihat penderitaan kanak-kanak... jurufoto Malaysia salur hasil photoshoot buat rakyat Palestin, sanggup jual akaun Twitter sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: Kempen boikot disebar melalui WhatsApp, McDonald’s Malaysia lapor polis!

"Kalau dulu mungkin sekadar melukis, kini saya boleh cipta baju. Jadi why not kalau saya hasilkan busana sebagai peringatan untuk semua?

"Mungkin esok orang lupa isu ini, tapi bila dia tengok baju yang saya hasilkan mereka akan teringat semula. Ini medium yang saya ada untuk sebar kesedaran," ujarnya kepada mStar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mesra disapa Helmy, dia mendedahkan replika busana itu dihasilkan dalam masa setengah hari sahaja.

Malah katanya, dia terharu apabila menerima sokongan ramai yang turut sama menzahirkan rasa simpati atas penderitaan penduduk Palestin.

Video proses penghasilan busana itu turut dikongsi oleh Helmy menerusi TikTok.

Selain busana Palestin itu, hasil ciptaan lain termasuk ilustrasi fesyen yang dihasilkan Helmy turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

"Saya tak sangka akan dapat sokongan. Followers saya bukan sahaja dari Malaysia, tapi ada juga dari luar negara.

Dah terbiasa dapat komen mengguris hati. Mula-mula terasa, tapi lama-lama saya dah lali.

HELMY

"Saya juga ada client dari luar negara yang minta saya buat ilustrasi fesyen, client tempatan pun ada," ujarnya lagi.

Menurut penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu, minat ke arah bidang fesyen bermula sekitar usia 13 tahun.

Dedah Helmy lagi, dia menjadikan bintang pop antarabangsa, Lady Gaga sebagai inspirasi utama dalam mengejar cita-cita.

Helmy meminati bidang fesyen sejak zaman sekolah.

"Saya bermula dengan mendengar lagu Lady Gaga. Kemudian saya berminat dengan fesyen yang digayakannya.

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dapat tawaran bidang Seni Halus. Saya sanggup tolak dan tunggu lagi setahun untuk masuk bidang fesyen.

"Sudah tentu impian saya nak buat baju untuk Lady Gaga. Saya juga memasang impian untuk memiliki jenama sendiri dalam lima ke 10 tahun akan datang," ujarnya yang berasal dari Tawau, Sabah.

Helmy turut menghasilkan ilustrasi fesyen bagi pelanggan dari luar negara.

Bercerita lanjut mengenai perjalanan hidupnya, Helmy berkata dia juga ada menerima persepsi negatif apabila menzahirkan hasrat untuk menceburi bidang pengajian itu.

"Dari mula memang orang persoal. Sebab stigma masyarakat, menjahit sinonim dengan kaum hawa.

Antara busana ciptaan Helmy.

"Tapi ia bukan penghalang untuk saya, sebab kemahuan dan cita-cita melebihi segala-galanya.

"Dah terbiasa dapat komen mengguris hati. Mula-mula terasa, tapi lama-lama saya dah lali. Malah, apa yang dipendam tu menjadi pembakar semangat kepada saya," ujarnya lagi.

Selain Instagram, Helmy juga banyak berkongsi video ilustrasi fesyen serta busana yang dihasilkannya menerusi aplikasi TikTok.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain