suria

Banyak beri petanda, wanita reda pemergian insan tersayang... hikmah ketepi kerjaya, lega dapat tunaikan permintaan terakhir - “Sempat cakap 'mak okay'”

Khuzaimah bersama arwah ibunya yang meninggal dunia Februari lalu.

SEPULUH tahun lalu, wanita ini kehilangan insan bergelar ayah yang menghembuskan nafas terakhir di kala dirinya masih remaja.

Empat bulan lalu, ibu kesayangan tempat bergantung kasih pula dijemput Ilahi, sekaligus meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat dirinya lebih-lebih lagi dia merupakan anak yang paling rapat dengan kedua-dua arwah.

Mengabadikan kenangan pemergian kedua-dua insan kesayangannya itu di TikTok, ternyata video yang dikongsikan itu turut mengundang rasa sayu di hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Rindu tiada penghujung... 18 tahun tak pernah merasa kucup tangan ibu bapa di pagi Syawal - “Ramai sedih tak dapat balik kampung, saya tak boleh ziarah pusara”

ARTIKEL BERKAITAN: Syawal paling sayu! Pertama kali beraya sebagai yatim piatu, 8 beradik ini terpisah antara satu sama lain - “Tak susah nak jaga mereka”

Sehingga kini video-video tersebut meraih ratusan ribu tontonan.

Menurut Khuzaimah Kholid, ibunya meninggal dunia pada 1 Februari lalu selepas hampir seminggu dimasukkan ke hospital kerana diserang strok, manakala bapanya pula menghembuskan nafas terakhir kerana masalah jantung pada 2011.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mengimbas kembali kisah kehilangan ibu bapanya, Khuzaimah berkata segala peristiwa dan detik akhir bersama kedua-dua insan berkenaan masih jelas dalam ingatannya terutama 'petanda' yang ditunjukkan sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.



Gambar kenangan arwah ibu dan bapa Khuzaimah.

"Arwah ayah mula-mula sakit dada, kami semua tak tahu rupa-rupanya dia ada sakit jantung. Hari ketiga dirawat, giliran saya menjaganya. Ayah suruh saya balik sebab dia berseloroh kata nak 'dating' dengan mak.

"Tak tahu kenapa, saya terlupa nak salam dan cium dia sebelum balik. Ayah panggil dan tanya 'tak nak cium dulu ke? Nanti rindu'. Saya patah balik, salam dan cium ayah. Ayah cakap esok dia boleh balik dah.

"Pagi esoknya, mak telefon beritahu ayah nazak. Ayah hembuskan nafas terakhir... memang betul ayah 'balik' rumah tapi sebagai jenazah," cerita wanita berusia 26 tahun ini.



Pusara arawah ibu dan bapa Khuzaimah.

Bercerita mengenai arwah ibunya pula, Khuzaimah yang merupakan anak ke-8 daripada sembilan beradik berkata, arwah ibunya juga tidak menunjukkan tanda-tanda sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Pada 25 Januari, mak ke klinik untuk temu janji macam biasa. Dia sihat saja. Malamnya, siap makan, mak tiba-tiba rebah selepas cuci pinggan. Depan mata saya. Masa tu kakinya dah lembik. Dia sempat cakap 'mak okay'. Itulah ayat terakhirnya sebelum kami bawa ke hospital.

Kerap saya dengar mak cakap dengan anak buah sambil tunjuk kubur yang boleh dilihat dari rumah kami, 'tak lama lagi nenek duduk rumah sana'.

KHUZAIMAH KHOLID

"Sehari sebelum mak dibenarkan keluar wad, kami kemas-kemas bilik mak untuk sambut kepulangannya. Kemudian abang dapat panggilan kecemasan daripada doktor... mak akhirnya meninggal dunia," ujarnya yang merupakan graduan Ijazah Teknologi Hortikultur di UiTM Perlis.

Sungguhpun sedih, Khuzaimah berkata sedikit sebanyak dia lega kerana dapat meluangkan masa bersama dan menunaikan permintaan ibunya.



Khuzaimah mengubati kerinduan dengan melukis wajah kedua-dua orang tuanya.

"Pada Februari tahun lalu, saya habis belajar. Mak kata tak payahlah kerja lagi... duduk rumah dan jaga mak dulu. Walaupun masa tu nak cari kerja, tapi bila fikir-fikir balik, tak apalah... tunggu dulu.

"Sepanjang tempoh tu, saya layan apa saja kehendak mak, luangkan masa sama-sama. Ketika itu, kerap saya dengar mak cakap dengan anak buah sambil tunjuk kubur yang boleh dilihat dari rumah kami, 'tak lama lagi nenek duduk rumah sana'. Tak sangka, genap setahun selepas itu, mak pergi," ujarnya.



Kenangan ketika sambutan hari lahir ibunya yang ke-63.

Tidak menyangka videonya meraih perhatian di TikTok, Khuzaimah berkata dia sekadar mahu mengabadikan kenangan tersebut di media sosial.

"Bagi yang masih ada mak ayah, selalulah luangkan masa dengan mereka. Kalau mereka ada depan mata, letak tepi dulu telefon. Kalau yang jauh, hubungi hari-hari tanya khabar. Hargailah mereka selagi masih ada peluang," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain