suria

Bapa di wad biasa sempat mengadu lapar, nak mandi sebelum meninggal... anak di wad Covid-19 sedih tak mampu buat apa-apa! - “Abah nak tanggung kesakitan saya”

Affea kehilangan arwah abahnya pada minggu pertama Ramadan lalu.

PEDIH menerima perkhabaran bahawa bapa kesayangan telah menghembuskan nafas terakhir, namun lebih pedih apabila tidak dapat insan berkenaan ketika saat-saat terakhir sebelum jenazahnya dikebumikan.

Begitulah kisah pilu yang dilalui oleh wanita ini saat bapanya, Roslan Ahmad, menghembuskan nafas terakhir pada 5 Mei lalu.

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok yang memaparkan gambar kenangan bersama arwah bapa dan diakhiri dengan gambar pusara lelaki tersebut, benar-benar meruntun hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayah hidap kanser usus meninggal dunia di bulan Ramadan, tragisnya masuk wad beberapa jam sebelum akad nikah anak - “Masa tu khemah, pelamin dah pasang”

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak nak datang tak apa, tunggu je jasad Along depan rumah” - Bapa akhirnya rentas negeri, kumpul kekuatan memandu sambil menangis demi tatap jenazah anak kali terakhir

"The hardest moment was I received the news that abah passed away (Saat yang paling sukar adalah apabila aku menerima berita pemergian abah), masa aku masih terlantar sakit di hospital dan tak dapat tengok abah kebumi," demikian kapsyen pada video berkenaan yang sehingga kini meraih lebih 201,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Affea Firzana yang menetap di Pasir Gudang, Johor berkata insiden pilu itu berlaku ketika minggu pertama umat Islam menyambut Ramadan.

"Ketika itu saya mula jatuh sakit. Bermula dengan demam dan simptom-simptom lain yang dialami pesakit Covid-19. Masa itu memang saya tak syak yang saya dijangkiti virus berkenaan. Ingat biasa sahaja.



Affea yang merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik sangat rapat dengan arwah abahnya.

"Arwah abah kata, dia tak sanggup tengok saya sakit. Kalau boleh, biar dia yang tanggung kesakitan saya tu. Dipendekkan cerita, dua hari kemudian abah diserang gastrik. Bawa ke klinik dan dia dirujuk ke hospital kerana bacaan gulanya tinggi.

"Abah memang ada diabetes dan darah tinggi. Dia dimasukkan ke zon merah. Dalam masa yang sama, keadaan kesihatan saya merosot dan rupa-rupanya saya disahkan positif Covid-19.

"Ketika itu saya juga dimasukkan ke hospital yang sama kerana alami sesak nafas. Walaupun di hospital sama, kami ditempatkan di wad berasingan... saya minta nak tengok abah tapi doktor tak benarkan," cerita wanita berusia 27 tahun ini.

Menurutnya, dia hanya mampu berhubung menerusi panggilan telefon untuk mengetahui perkembangan kesihatan bapanya ketika itu.



Kenangan hari raya tahun sebelumnya di mana Affea memeluk arwah abahnya.

"Abah beritahu lapar dan nak mandi, tapi saya sedih sebab tak mampu buat apa-apa memandangkan saya juga sedang sakit. Tiada ahli keluarga dibenarkan menemani abah. Malam tu, dia telefon pula abang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Menurut abang, suara abah masa tu dah lemah. Akhirnya, abah menghembuskan nafas terakhir tengah malam itu. Saya pula hanya mengetahui perkara tersebut sekitar pukul 3 pagi.

"Hairan bila dapat WhatsApp bertalu-talu yang ucapkan takziah. Saya dah pelik. Bila diberitahu berita itu, saya tak tahu nak rasa apa-apa. Sedih sangat sebab tak dapat nak bersama-sama adik beradik lain uruskan arwah abah.

Saya hanya mampu kirim doa dari kejauhan buat masa ini. Juga hanya mampu tatap gambar pusara abah dari telefon bimbit.

AFFEA FIRZANA

ANAK

"Saya anak yang paling rapat dengannya namun tak mampu bersama-sama dengannya ketika saat akhir. Itu yang buatkan saya teramat sedih," ujar anak bongsu daripada lima adik beradik ini.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Affea, dia dirawat selama 14 hari di hospital dan masih dalam proses penyembuhan.

Tambahnya lagi, sejak bapanya dikebumikan, dia masih belum berpeluang untuk menziarahi pusara kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya hanya mampu kirim doa dari kejauhan buat masa ini. Juga hanya mampu tatap gambar pusara abah dari telefon bimbit.



Affea kini melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam jurusan Sumber Manusia.

"Sungguh pun begitu, saya reda dengan takdir yang tertulis. Apa yang mampu buatkan saya kuat adalah memikirkan arwah abah 'dijemput' pada bulan yang baik. Juga kata-kata sokongan serta doa daripada orang ramai.

"Tak sangka perkongsian di TikTok meraih perhatian ramai. Saya sekadar nak kongsi kisah ini bersama orang lain, supaya mereka yang masih ada ibu bapa dapat menghargai orang tua masing-masing selagi masih ada masa,"ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain