suria

Fasih cakap Tamil, Mandarin dan Melayu... apa identiti sebenar gadis ini? Siap kongsi insiden beli sari dan juadah iftar - “Orang punya raya dia pun sibuk nak beli”

Nadia lebih gemar dikenali sebagai seorang rakyat Malaysia berbanding menonjolkan asal keturunannya.

JIKA dilihat sekali imbas, wajah gadis ini kelihatan seperti gadis Melayu yang lain.

Mempunyai kulit sawo matang, berambut ikal dan fasih berbahasa Melayu, justeru ramai yang sering tersalah sangka dengan identiti sebenar dirinya.

Namun tanggapan tersebut akan bertukar apabila mereka mendengar gadis ini lancar bertutur dalam bahasa Tamil dan Mandarin.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mix Filipina, bukan juga keturunan Melayu Borneo! Gadis ini buat ramai terkejut selepas dedah identiti diri

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek konon kahwin Orang Asli kena tinggal dalam hutan, panjat pokok petai... wanita ini tambat hati mentua dengan daun pijat

Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, memaparkannya bercakap dalam bahasa Tamil menarik perhatian netizen yang sehingga kini meraih lebih 150,000 jumlah tontonan.

Berkongsi dengan mStar, Nadia Pang berkata dia sering dianggap berketurunan Melayu tulen kerana raut wajah dan kefasihannya bertutur dalam bahasa berkenaan.



Wajah Nadia (kiri) yang mempunyai iras seperti gadis Melayu.

"Ramai bertanya tentang keturunan tapi saya lebih suka dipanggil sebagai seorang rakyat Malaysia.

"Saya fasih bahasa Mandarin sebab saya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina semasa di peringkat rendah.

"Dalam masa yang sama, ibu bapa hantar ke kelas tuisyen bahasa Tamil juga. Ambil masa lebih kurang enam bulan untuk lancar. Sewaktu sekolah menengah, saya belajar di sekolah menengah kebangsaan biasa," ujar gadis yang berasal dari Kuantan, Pahang ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Nadia yang berusia 22 tahun, empat adik beradiknya yang lain turut fasih berbahasa Mandarin dan Tamil.



Nadia dikelilingan rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai bangsa serta keturunan.

Disebabkan wajahnya lebih kemelayuan, Nadia berkata dia sering berdepan dengan situasi yang tidak dijangka.

"Pernah sekali semasa saya dan kakak sedang memilih sari ketika perayaan Deepavali, ada seorang aunty ni cakap dengan ahli keluarganya dalam bahasa Tamil 'orang punya raya, dia pun sibuk nak beli juga'.

"Masa tu saya tergamam juga. Namun dengan nada sopan saya membalas dalam bahasa Tamil juga, 'tak apalah, kita semuakan orang Malaysia'. Aunty tu terdiam sebaik sahaja dengar.

Apa yang saya cuba nak sampaikan, kita perlu saling hormat menghormati tanpa mengira latar belakang keturunan atau agama seseorang.

NADIA PANG

"Begitu juga ketika bulan puasa. Sewaktu nak beli makanan di restoran, ada orang pandang-pandang... mereka ingat saya Melayu dan tak berpuasa," ujarnya yang kini bekerja di sektor swasta.

Nadia dalam masa yang sama berkata, keupayaannya fasih dalam dua bahasa tersebut sedikit sebanyak memberikannya kelebihan bukan sahaja dari segi peluang pekerjaan, malahan kehidupan seharian.



Nadia (tengah) berkata keupayaan menguasai bahasa Tamil dan Mandarin memberikannya banyak manfaat.

"Saya tak sangka video itu meraih jumlah tontonan yang tinggi. Ramai komen luah rasa teruja dan seolah-olah tak percaya.

"Apa yang saya cuba nak sampaikan, kita perlu saling hormat menghormati tanpa mengira latar belakang keturunan atau agama seseorang.

"Kalau ada sesuatu isu contohnya jenayah, usah terus label berdasarkan kaum, sebaliknya ia adalah sikap individu.

"Malaysia ini sangat unik. Kita bukan sahaja boleh share kepelbagaian makanan, pakaian tradisi, perayaan dan sebagainya. Jangan kita rosakkan perpaduan yang terbina ini," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain