suria

Terkejut disahkan kanser belum hilang, remaja ini tabah lalui satu lagi debaran tunggu result SPM di katil hospital - “Saya sihat saja sebelum ni”

Muhammad Nur Farhan memuat naik videonya sedang menanti keputusan SPM diumumkan ketika sedang menerima rawatan di hospital.

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru sahaja diumumkan pada Khamis lalu.

Justeru media sosial 'meriah' dengan perkongsian video dan gambar para pelajar, termasuklah foto-foto menunjukkan debaran menanti keputusan peperiksaan berkenaan sambil ditemani ibu bapa masing-masing.

Namun berlainan situasi remaja ini apabila dia hanya bersendirian tanpa ditemani sesiapa, menanti penuh debaran keputusan peperiksaan tersebut di atas katil hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat 10A selepas ambil exam di wad... ramai tak tahu sebenarnya remaja ini menderita skizofrenia - “Ada orang nak tekup muka saya dengan bantal”

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang sebelah kaki kerana derita kanser tulang, hebatnya remaja OKU aktif sukan ini cekap buat roti puri... terbentuk elok jadinya! - “Kalau dia tak sihat, saya tak niaga”

"Bila orang lain tunggu result SPM macam biasa... meanwhile aku dalam hospital berlawan dengan kanser," demikian kapsyen pada perkongsian video yang dimuat naik di TikTok yang sehingga kini meraih lebih 85,000 jumlah tontonan.

Menurut Muhammad Nur Farhan Abd Manap, dia dimasukkan ke hospital lebih 20 hari lalu bagi menjalani rawatan selepas didiagnos menghidap kanser darah atau Leukemia.

Bercerita lanjut, dia yang senang disapa sebagai Farhan berkata, segala-galanya bermula apabila dia diserang demam sehingga suhu badan mencecah 40 darjah celcius sebelum Ramadan lalu.



Muhammad Nur Farhan dimasukkan ke hospital lebih kurang tiga minggu lalu kerana didiagnos menghidap kanser darah.

"Saya dapatkan rawatan di klinik pada mulanya. Doktor di klinik mengesyaki saya berkemungkinan demam denggi namun mereka merujuk saya ke hospital.

"Di hospital, doktor ambil air tulang belakang untuk mengenalpasti penyakit dan beberapa hari kemudian, doktor memaklumkan bahawa saya menghidap kanser darah," cerita remaja berusia 18 tahun ini.

Terkejut dengan perkhabaran berkenaan, Farhan mengakui pada hari-hari pertama selepas mengetahui keadaan diri, semangatnya merudum lantaran memikirkan betapa berat ujian yang ditanggung ketika usianya masih muda.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Mula-mula memang 'down'. Bukan saya saja terkejut tetapi keluarga juga sama. Saya seorang remaja yang sihat saja sebelum ni, tapi tiba-tiba didiagnos kanser.

"Rasa down juga bila fikir kawan-kawan sebaya dah plan macam-macam untuk masa depan, nak sambung belajar, nak kerja... tapi saya pula masih belum pasti dan perlu fokus kepada kesihatan.

"Namun saya positif dan reda bahawa ini adalah ujian untuk saya," ujarnya yang kini sudah menjalani tiga kali pusingan rawatan kemoterapi.

Mula-mula memang 'down'. Bukan saya saja terkejut tetapi keluarga juga sama. Saya seorang remaja yang sihat saja sebelum ni, tapi tiba-tiba didiagnos kanser.

MUHAMMAD NUR FARHAN ABD MANAP

Selain sokongan daripada ibu bapa dan rakan-rakan, Farhan berkata dia turut membaca kisah-kisah inspirasi individu pejuang kanser (cancer survivor) sebagai salah satu cara untuk memotivasikan diri sendiri.

"Tak boleh terus down... kena positif dan saya nak fokus untuk sembuh supaya cepat sihat dan cepat boleh balik. Menurut doktor, selepas ini akan ada lagi pusingan kemoterapi," ujarnya yang kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut anak bongsu daripada empat adik beradik ini, dia bersyukur meskipun memperoleh keputusan yang sederhana dalam SPM baru-baru ini.



Sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bahagi menjadi penguat semangat Muhammad Nur Farhan.

"Malam sebelum keputusan keluar tu saya tak boleh tidur. Esoknya saya muat naik satu video sedang berdebar-debar menunggu keputusan peperiksaan berseorangan. Terharunya ramai yang beri kata-kata semangat dan komen positif.

"Alhamdulillah, saya lulus semua mata pelajaran. Saya sebenarnya target biasa-biasa saja tapi tak sangka, keputusan yang diperoleh melebihi jangkaan asal saya.

"Niat saya, jika ada rezeki, saya mahu menyambung pelajaran dalam bidang seni sebab ia adalah minat saya.

"Bagi mereka yang sama situasi macam saya, sedang berjuang dengan penyakit, saya faham ia sukar. Tapi mahu tak mahu kita kena bangkit dan teruskan langkah. Usah mudah mengalah dan fikirlah ada insan sekelilingn terutama keluarga yang menyayangi dan mahu kita sembuh seperti sediakala,"ujarnya mengakhiri bicara.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain