suria

Dua kali jadi mangsa buli kucing sendiri, tuannya terpaksa ambil cuti kecemasan... sampai sekarang tak tahu mana satu ‘dalangnya’

Zul berkongsi insiden lucu di mana lantai rumahnya becak angkara kenakalan kucing peliharaannya.

KEHADIRAN kucing sebagai haiwan peliharaan sememangnya menyerikan lagi suasana dalam sesebuah keluarga.

Wajah si bulus yang comel ditambah pula keletah yang manja bisa membuatkan si pemiliknya 'cair'.

Namun kadang kala gelagat mereka yang nakal juga membuatkan si pemilik pening kepala, sebagaimana kisah seorang pemuda ini yang menjadi 'mangsa buli' kucing sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: “Apa-apa hal boleh tanya kucing akak!” - Ramai terhibur tengok abang kurier berdepan Bubu ‘buat teruk’ terima parcel, terbeliak biji mata

ARTIKEL BERKAITAN: Tak cukup terbalikkan pasu ibu, Micko buat hal bawa pokok dan tanah masuk bilik... tak macam Micky, baik je!

Bukan biasa-biasa, tetapi si bulus peliharaan keluarganya bikin 'onar' apabila pandai membuka pili di sinki sehingga membuatkan hampir keseluruhan lantai rumahnya 'banjir'!

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Zulfiqar dari Bukit Batok, Singapura mendedahkan insiden berkenaan sudah berlaku sebanyak dua kali di mana kedua-duanya terjadi ketika dia berseorangan di rumah.



Zul bersama salah seekor kucing peliharaannya.

"Sebenarnya video tersebut adalah video lama. Saya baru muat naik di TikTok kerana baru aktif dalam aplikasi tersebut. Saya saja nak share insiden lucu dengan orang lain dan tak sangka pula viral sampai ke Malaysia.

"Kejadian pertama berlaku pada 2019. Masa tu saya baru bangun tidur lebih kurang pukul 9 pagi. Keluar sahaja bilik, kaki pijak lantai basah. Saya fikir air melimpah dari mesin basuh tapi rupa-rupanya pili di sinki terbuka!

"Masa tu ibu dan ayah saya sudah keluar. Saya rasa mungkin dekat tiga jam air terpasang sebelum saya terjaga tidur. Terpaksalah saya ambil cuti kecemasan hari tu nak bersihkan lantai dan mengemas.



Zul mendedahkan insiden 'banjir' angkara kucing peliharaannya sudah dua kali berlaku.

"Dalam semua kucing ni, ada yang takut air, ada yang tak takut. Tapi sampai sekarang tak tahulah yang mana satu 'dalangnya'. Nak marah, tapi tak sampai hati sebab comel... lebih-lebih lagu buat muka tak bersalah," ujar pemuda berusia 25 tahun ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bercerita lebih lanjut, Zulfiqar atau senang disapa sebagai Zul berkata, kejadian kedua pula berlaku pada tahun lalu, juga ketika dia sedang berseorangan di rumah.

"Masa itu saya dah bangun tidur... tapi sedang tengok telefon bimbit dalam bilik. Tiba-tiba terdengar bunyi air paip dibuka kuat sangat. Saya pun melaung dan bertanya siapa tu? tapi diam tak ada yang sahut.

"Tak sedap hati, saya keluar bilik... baru melangkah menghala ke dapur, kaki dah terpijak lantai becak. Sekali lagi 'diaorang' buat hal.

Hairan saya... masa ibu dan bapa saya ada, mereka tak buat perangai bukan-bukan pun. Masa saya berseorangan di rumah je asyik kena buli.

ZULFIQAR

"Bila marah, masing-masing buat muka tak bersalah. Tahu pula mereka duduk atas bangku, atas meja sebab lantai basah," ujarnya ketawa kecil.

Zul berkata selepas dua kali insiden berkenaan, dia bercerita kepada bapanya namun lelaki itu enggan percaya sehinggalah dia menunjukkan video yang dirakam.

"Hairan saya... masa ibu dan bapa saya ada, mereka tak buat perangai bukan-bukan pun. Masa saya berseorangan di rumah je asyik kena buli.

"Ada komen kata saya buat-buat cerita untuk content. Tapi logiknya, tak kanlah saya nak buat macam tu sebab akhirnya saya juga penat nak mengemas dan membersihkan lantai.

"Ada juga yang komen, pasti tahun ni saya kena buli lagi. Syukur belum berlaku lagi... sebabnya kami baru tempatkan mereka dalam sangkar.



Sebahagian daripada kucing baka Russian Blue yang dipelihara keluarga Zul sejak enam tahun lalu.

"Sebelum keluar rumah, kena masukkan dulu dalam sangkar... kalau tidak habis rumah bersepah mereka buat macam playground sendiri. Dah pulang kerja baru mereka dilepaskan bebas dalam rumah," katanya yang bekerja sebagai rider.

Bercerita mengenai si bulus peliharaan keluarganya, Zul berkata mereka sudah memelihara 12 ekor kucing baka Russian Blue itu sejak enam tahun yang lalu.

Mengakui dirinya sebagai pencinta haiwan, Zul berkata selain kucing, mereka turut memelihara burung.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang share video ini sampai viral ke Malaysia. Saya gembira ramai yang terhibur dengan video tersebut," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain