SIAPA yang tak sedih apabila keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini tidak seperti yang diharapkan. Apatah lagi ramai calon mendapat keputusan semua A (straight A), ia menambah lagi tekanan dan kesedihan remaja lelaki ini. Satu video di aplikasi TikTok mengundang sebak apabila seorang lepasan SPM hanya mampu menangis di riba ibunya, sambil wanita itu mengusap-usap anaknya untuk ditenangkan. ARTIKEL BERKAITAN: Lepasan SPM order kek online untuk diri sendiri pada hari keputusan diumumkan, 'tagih' ucapan daripada staf premis ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kelas hujung dan kaki ponteng berjaya bangkit! Dulu PMR tak ada A, kini ikuti ijazah kedua... setiap bulan dapat RM20, 000 Musni Malisa Mustafar berkata, video tersebut dirakamkan sebaik anak sulungnya yang berusia 18 tahun menyemak keputusan SPM 2020. Melissa bersama anak sulungnya yang baru memperoleh keputusan SPM. Wanita berusia 42 tahun itu memberitahu, pada masa itu anaknya cukup beremosi kerana keputusan yang diterimanya sekadar 'sederhana'. "Anak dapat keputusan sederhana, ada A, B dan C. Mula-mula dia sujud syukur sebab teruja apabila tiada subjek yang memperoleh keputusan gagal. "Dia kemudian tiba-tiba menangis teresak-esak sebab keputusannya tak cemerlang... tambahan pula dia adalah anak sulung, dan anak yang pertama untuk belajar di universiti," katanya kepada mStar. Lebih dikenali sebagai Melissa, dia amat bersyukur dengan keputusan yang diraih anaknya kerana memahami cabaran belajar dalam persekitaran yang sukar ketika pandemik Covid-19. Melissa merupakan ibu tunggal yang membesarkan empat anaknya. Ibu tunggal itu turut berbangga dengan prestasi akademik anak sulung daripada empat beradik itu kerana ada peningkatan berbanding keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). "Keputusan PT3 dia agak teruk semasa di Tingkatan Tiga. Jadi, saya tengok dia begitu struggle untuk menunjukkan perubahan dalam keputusan SPM. "Dia berjaya melakukan perubahan dan saya tak sangka dia mampu melakukannya dengan baik. Bagi saya peningkatan prestasi itu sudah cukup tinggi," ujarnya yang kini menetap bersama anak-anak di Shah Alam, Selangor. Terimalah anak seadanya walaupun terdapat kelemahan dan kekurangan mereka. Akademik memang penting, tapi bukan segala-galanya. MELISSA Melissa yang juga guru penolong kanan di Sekolah Kebangsaan Kampung Idaman di Pelabuhan Klang, Klang itu menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan penyabar. "Dia seorang yang mendengar kata, tenang dan penyabar serta begitu caring terhadap adik-adiknya. Dia ibarat tunjang dalam keluarga. "Saya kata abang (panggilan anak) sudah melakukan yang terbaik, dan membanggakan mummy (panggilan ibu). Teruskan usaha, mudah-mudahan dapat masuk universiti dan berjaya di dunia dan akhirat," katanya yang berpengalaman dalam bidang perguruan sejak 2003. Anak sulung Melissa merupakan seorang abang yang penyayang. Menurut wanita itu, perkongsiannya di TikTok bagi menyampaikan mesej kepada ibu bapa agar tidak meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga memberi tekanan kepada anak-anak. "Nasihat saya, terimalah anak seadanya walaupun terdapat kelemahan dan kekurangan mereka. Akademik memang penting, tapi bukan segala-galanya sehingga sanggup meminggirkan anak-anak kerana keputusan yang tidak cemerlang. "Hargailah amanat yang Allah berikan, sebagai penyambung zuriat kita. Doa dan restu kita buat anak adalah yang terbaik. "Jika keputusan bukan seperti yang diharapkan, berilah semangat kepada mereka untuk tidak berputus asa dengan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Bimbingan yang baik buat anak-anak pasti membentuk mereka dengan akhlak yang baik. Akhlak perlu seiring juga. Saya percaya mereka akan menjadi yang lebih baik," katanya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!