suria

Penantian hamil anak kedua berakhir selepas 16 tahun! Suami gembira tengok kit kehamilan, tapi anak sulung ‘mogok’ nak dapat adik

Foto kiri suami menerima kejutan 'kit ujian kehamilan', foto kanan Aisyah (tengah) bersama suami (kanan) dan anak lelakinya.

BAGI pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan untuk memiliki cahaya mata yang disifatkan sebagai anugerah paling berharga.

Namun, rezeki itu adalah rahsia Allah dan setiap pasangan akan diuji sama ada cepat atau lambat mereka dikurniakan anak sebagai penyambung zuriat dan pengikat kasih.

Menerusi satu video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, seorang wanita membuat kejutan apabila 'menghadiahkan' suaminya dengan kit ujian kehamilan yang menunjukkan keputusan positif – dia disahkan hamil selepas mempunyai anak sulung yang kini berusia 17 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini pasrah 3 kali berpantang tanpa bayi di sisi, anak-anaknya ‘pergi’ dulu tunggu di syurga - "Setiap kali hamil tak sempat menyusu seperti ibu lain"

ARTIKEL BERKAITAN: Kecewa result asyik negatif, suami minta isteri berhenti check kehamilan! Buka kotak kejutan 'Hai daddy'... disangka ada makanan

Wanita bertuah itu, Siti Aisyah Ibrahim, 40, berkata, kejutan itu sebenarnya dibuat pada Januari lalu selepas solat Subuh dan hanya dikongsikan kepada umum menerusi aplikasi tersebut, minggu ini.



Kit ujian kehamilan yang menunjukkan keputusan positif.

Lebih mesra disapa Aisyah, katanya, suaminya yang berusia 44 tahun pada mulanya terkejut selepas melihat kit ujian kehamilan yang diletakkan dalam sebuah kotak jam tangan dan seakan tidak percaya dengan berita gembira tersebut.

"Mesti terkejut sebab penantian saya dan suami untuk menimang cahaya mata kedua sejak 16 tahun lalu berakhir. Anak sulung dah 17 tahun, belajar di Tingkatan Lima.

"Anak lelaki tu saya hamil 'bunting pelamin'. Selepas lahirkan dia, saya ada hamil lagi tapi keguguran dan selepas tu kami tidak diberikan rezeki anak lagi," katanya kepada mStar.



Aisyah dan suami mula melakukan aktiviti berbasikal sejak tahun lalu.

Aisyah berkata, dia menghidap penyakit berkaitan tulang belakang dan menjalani pembedahan beberapa tahun lau sebelum doktor menasihatkannya supaya tidak hamil buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang risiko.

"Saya hanya berehat selama dua, tiga tahun. Selepas itu kami berusaha lagi tapi belum ada rezeki. Bila saya lewat datang haid dan check kit ujian kehamilan, keputusannya negatif.

Kepada mereka menantikan cahaya mata, nasihat saya supaya bersabar. Teruskan usaha, berdoa dan bertawakal. Suami isteri juga kena sentiasa berfikiran positif

AISYAH

"Beberapa kali berlaku, tapi masih negatif. Kami juga berjumpa dengan beberapa pakar, ada yang menyarankan kami untuk melakukan IVF (rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro) tapi kami tak nak," ujarnya yang enggan mengulas sebab tidak mahu melakukan rawatan itu.

Dalam pada itu, jururawat yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan mula melakukan aktiviti berbasikal bersama suami sejak tahun lalu, untuk mengurangkan berat badan.



Aisyah kini hamil tujuh bulan.

Selain itu katanya, dia dan suami turut melakukan amalan bersedekah dengan membuat tabungan setiap kali selepas solat Subuh.

"Saya dan suami simpan duit dalam tabung selepas solat Subuh, tanpa menetapkan jumlahnya. Setiap Jumaat, hasil tabungan itu kami sedekah di masjid-masjid.

"Kami terus berdoa agar dikurniakan zuriat lagi. Berbelas tahun kami menunggu dengan sabar. Benar, anak ini adalah rezeki Allah, syukur Alhamdulillah doa kami dimakbulkan.

"Kepada mereka menantikan cahaya mata, nasihat saya supaya bersabar. Teruskan usaha, berdoa dan bertawakal. Suami isteri juga kena sentiasa berfikiran positif," ujarnya.



Aisyah (tengah), suami (kanan) dan anak lelaki mereka bakal menerima kehadiran 'orang baharu'.

Menurut Aisyah, dia yang kini hamil tujuh bulan dan dijangka bersalin pada akhir Ogos bersabar menantikan detik istimewa itu termasuk mengetahui jantina cahaya mata kedua.

"Biarlah ia menjadi kejutan buat kami. Buat masa ini kami lebih menumpukan pada anak sulung yang sehingga ke hari ini seperti tidak percaya saya hamil lagi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Masa mula-mula dapat tahu tu, anak menangis, dia merajuk sampai mogok. Dia kata nanti saya dan suami tak akan sayangkan dia lagi bila dah ada baby baru. Sampaikan ibu mentua saya kena pujuk.

"Anak lelaki saya ni manja dan sensitif. Yelah, 17 tahun dia seorang saja anak kami. Harap nanti dia dah bersedia untuk jadi seorang abang dan tak merajuk lagi," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain