suria

Bangun sebelum subuh, tidur jam 1 pagi! Ibu tunggal gigih jual nasi lemak demi sara anak dan cucu - “Dari beli barang, sampai buka khemah semua buat sendiri”

Yusnita bangun sebelum subuh untuk menyiapkan pelbagai lauk pauk berserta nasi lemak untuk dijual.

SEMANGAT juang kena kuat dan InsyAllah urusan kita akan dipermudahkan.

Ini menjadi pegangan hidup seorang ibu tunggal yang kini terpaksa bekerja seorang diri bagi menampung perbelanjaan hidup dirinya bersama seorang cucu serta anaknya yang kurang upaya.

Berkongsi kisah hidupnya dengan mStar, Yusnita Yussof, 53 berkata dia kini meneruskan perniagaan nasi lemaknya seorang diri setelah kematian suami tiga tahun lepas.

“Akak jual nasi lemak ni dah hampir 21 tahun, dulu berniaga dengan suami sekarang dia dah tak ada jadi akak seorang sajalah.

“Nak buat macam mana kita duduk sendiri. Bangun tidur akak terus pergi pasar beli barang, dah siap masak angkat barang masuk van, pergi tapak berniaga buka khemah dan tunggu pelanggan.

"Itulah kehidupan akak hari-hari,” katanya yang berniaga berhampiran medan selera E1 di Selayang Jaya, Batu Caves, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN : Wanita ini pasrah 3 kali berpantang tanpa bayi di sisi, anak-anaknya ‘pergi’ dulu tunggu di syurga - “Setiap kali hamil tak sempat menyusu seperti ibu lain”

ARTIKEL BERKAITAN : Usahawan menangis tengok wang simpanan... pernah susah jual nasi lemak, buat 3 kerja serentak - “Sekeluarga berdoa setiap kali hujan”

Menurut Yusnita selain hari Rabu iaitu hari rehat bagi dirinya, enam harinya yang lain bermula seawal jam 5 pagi.



Yusnita, seorang ibu tunggal bangun sebelum subuh hampir setiap hari bagi menyiapkan nasi lemak dengan pelbagai lauk pauk untuk dijual. - Kredit KL Foodie

Setiap hari dia akan memastikan kesemua 12 jenis lauk, antaranya ayam goreng, ayam masak merah, sotong, telur puyuh, ikan bilis petai dan udang masak petai yang dimasaknya seorang diri dapat disiapkan sebelum bermulanya waktu perniagaan iaitu sekitar pukul 2.30 petang.



Antara lauk pauk yang dimasak sendiri Yusnita seorang diri. - Kredit KL Foodie

Bermula dengan pergi ke pasar jam 5 pagi, pulang segera untuk solat Subuh dan kemudiannya memotong daun pisang, Yusnita kemudian mula memasak lauk pauk nasi lemak seorang diri selain menggoreng mee, kuey tiow dan bihun.

“Kadang-kadang pukul 2 petang baru siap semua, cepat-cepat akak mandi kemudian solat Zohor lepas tu baru gerak ke tempat berniaga.

"Kadang sampai rumah dalam 7.40 malam. Lepas solat akak rehat kejap, kemudian kemas dapur yang berselerak sebab masak sebelah pagi tu.

"Lepas tu akak masak untuk cucu umur 8 tahun yang duduk teman akak. Selalunya akak akan tidur dalam pukul 1 pagi,” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Selain untuk menyara dirinya sendiri, Yusnita berkata dia sanggup bersusah payah mencari rezeki bagi membantu anak sulungnya yang berusia 36 tahun yang mengalami kecacatan akibat strok.

“Anak akak semua empat orang, yang tak boleh berjalan ni dulu dia kerja sebagai bodyguard kepada seorang 'Datuk', gaji dia agak mewah masa tu dialah yang banyak bantu kami, dia bagi RM500 sebulan.

“Tahun 2019, dia terjatuh sebab ada darah tinggi dan terus koma. Dua kali dia menjalani pembedahan otak sebab strok, kaki dan tangan kanannya tak boleh gerak

“Isteri dia kerja kerani, jadi akak tolong dengan bagi duit beli pampers, susu sebab faham semua barang tu bukan murah,” katanya.



Yusnita terpaksa melakukan semua pekerjaan sendirian setelah kematian suaminya lebih kurang tiga tahun lepas.

Menurut Yusnita dia dimaklumkan bahawa anaknya memerlukan tempoh lebih kurang enam bulan untuk sembuh tapi sehingga kini dia masih lagi terlantar tak bermaya.

“Doktor kata lebih kurang enam bulan jadi semangat akak pun kuat masa tu, tapi sekarang dah hampir dua tahun keadaan dia macam ni. Sebagai mak sentiasa doa mengharapkan dia cepat sembuh.

“Dia tak boleh cakap sebab tengkuk ada lubang, cuma baru-baru ini nampak macam boleh faham bila kita cakap dengan dia, dia akan ketawa,” katanya, sambil menambah anaknya itu tinggal bersama isteri tidak jauh dari rumah sewanya.

Kita kena kuatkan semangat tak kira macam mana pun, jangan takut-takut... yang penting jangan ada rasa malas, patah hati dan patah semangat dalam diri kita.

- YUSNITA YUSSOF

PENIAGA NASI LEMAK

Tambah Yusnita dia terpaksa berpindah ke rumah yang lebih kecil kerana sudah tidak mampu untuk membayar pembiayaan rumah teres yang dibelinya bersama suami dahulu.

“Rumah dulu tu rumah teres jadi loan setiap bulan dalam RM1,500, akak tak mampu jadi akak jual dan menyewa dekat flat sekarang dalam RM650 sebulan.

“Pada akak yang penting tak berhutang,” ujarnya.

Nasihatnya kepada wanita yang mungkin mengalami nasib yang sama sepertinya adalah untuk terus berjuang dan sentiasa berdoa agar urusan dipermudahkan.

“Kita kena kuatkan semangat tak kira macam mana pun, jangan takut-takut... yang penting jangan ada rasa malas, patah hati dan patah semangat dalam diri kita.

“Akak pun ada juga hari jual tak habis, kadang dalam hati menangis sebab nasi banyak lagi, doa dalam hati Ya Allah biarlah ramai orang datang, habiskanlah nasi lemak aku ni,” katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain