suria

“Tugas buat macam biasa, azan tetap dilaungkan” - AJK masjid, surau ibarat frontliners tak didendang... harap dapat keutamaan vaksin

Kerajaan digesa beri keutamaan vaksin kepada AJK surau dan masjid

KEMATIAN 15 jemaah termasuk imam dan bilal di sebuah masjid di Kedah baru-baru ini nyata menggusarkan pelbagai pihak yang menggesa supaya ahli-ahli jawatankuasa (AJK) surau dan masjid turut diberi keutamaan vaksin Covid-19.

Imam II Masjid Gombak Utara, Hanif Hawari ketika dihubungi mStar berkata petugas-petugas masjid adalah antara kumpulan yang terpaksa berkorban dan meneruskan tugasan seperti biasa walaupun ketika negara diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"AJK surau, imam, bilal, siak dan sebagainya, kami ni umpama frontliners yang tak didendang, bila lockdown dikenakan di seluruh negara, kami petugas masjid tetap perlu jalankan tugas, azan tetap terus dilaungkan, tak boleh berhenti.

"Baru-baru ni saya ada menerima usul daripada pihak berkuasa agama Islam (Selangor) menetapkan supaya penggali kubur dan tukang mandi jenazah untuk menerima vaksin terlebih dahulu.

"Kami terima, tapi kami tertanya-tanya juga bagaimana dengan nasib kami, imam, bilal? Sebab tak semua imam melakukan kerja-kerja memandikan jenazah atau pengurusan jenazah.

"Jadi di mana hak kami sebagai frontliners yang tidak didendang," katanya.

Hasil carian menunjukkan lebih kurang 20 AJK surau dan masjid telah dilaporkan positif Covid-19 dan tiga lagi kes yang melibatkan kematian.

ARTIKEL BERKAITAN :

ARTIKEL BERKAITAN :

Menurut Hanif pihak berkuasa agama Islam turut mengeluarkan enakmen pekeliling pada awal PKP 3.0 yang menyatakan bahawa hanya AJK yang sudah divaksin digalakkan untuk pergi ke surau atau masjid.

"Apa sepatutnya yang perlu dibuat bila dah keluar satu arahan lebih diutamakan imam atau pegawai-pegawai yang telah divaksin.

"Pada saya kenapa tidak pekeliling keluar mengarahkan semua frontliners yang tak didendang ni untuk mendapat vaksin dahulu,” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Hanif yang juga merupakan Ketua Khairat Kematian Masjid Gombak Utara berkata dia kini tidak dapat lari daripada perasaan bimbang setiap kali perlu hadir ke masjid dan berurusan dengan orang ramai.

"Kadang-kadang bila ada jenazah walaupun mereka ni negatif Covid-19, kita nak datang untuk solat pun risau. Kadang-kadang pihak waris mungkin terlepas pandang dari segi SOP, bila kita nak solat jadi takut-takut sebab kita tak tahu... virus ni kita tak nampak.

"Bukanlah nak kata kita bergantung harap hanya pada vaksin tapi sekurang-kurangnya 50 peratus perlindungan tu ada, selebihnya kita masih perlu ikut SOP," katanya.



Pihak berkuasa Agama Islam Selangor menetapkan supaya AJK yang menguruskan jenazah perlu diberi vaksin terlebih dahulu.

Dia turut meluahkan rasa sedih apabila melihat AJK surau dan masjid sepertinya masih tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun telah ramai petugas yang disahkan positif atau telah meninggal dunia disebabkan wabak ini.

"Masjid saya sahaja dah dua orang positif, imam dan bendahari, ada beberapa lagi masjid lain yang kita dengar AJK mereka positif juga.

"Kita tak nak nanti seorang AJK kena, satu masjid kena tutup benda ni dah banyak kali berlaku tapi sampai sekarang saya tak nampak harapan untuk AJK diberi keutamaan untuk mendapat vaksin," katanya.



Imam II Masjid Gombak Utara, Hanif Hawari mohon pihak berkuasa pertimbang beri keutamaan kepada AJK surau dan masjid.

Hanafi juga melahirkan rasa bimbang terhadap risiko lebih tinggi yang terpaksa dihadapi mereka sekiranya PKP dilonggarkan kelak.

"Kita tengok dalam televisyen kita lihat semua frontliners dapat vaksin contohnya polis.

"Kita faham bidang kerja mereka memerlukan mereka berhadapan dengan orang awam, begitu juga dengan AJK masjid, bila masjid dibuka kamilah yang duduk di depan pintu, entah berapa ramai yang lalu depan kami.

"Jadi seandainya lepas PKP 3.0 ni jemaah bertambah dan kami masih belum divaksin, ini memang satu risiko pada kami," katanya.

Menurutnya lagi pihak masjid bahkan pernah berbincang untuk melantik badan swasta demi memastikan AJK masjid dapat dilindungi.

"Saya sudah mendaftar tapi sampai sekarang masih 'assessment', hari-hari saya 'refresh' tapi masih belum terima 'update' lagi.

"Kami pernah berbincang supaya pihak masjid lantik badan swasta, kata orang bayar pun tak apalah yang penting AJK masjid boleh dapat vaksin dengan lebih cepat," katanya.

Turut berkongsi pandangan yang sama adalah Pengerusi Surau Al-Firdaus, Taman Garing Utama Sharipuddin Ismail.

Katanya setakat ini hanya enam orang jemaah dibenarkan ke surau ketika waktu solat.

"Ya pada pandangan saya AJK surau serta masjid juga wajar diberi keutamaan vaksin kerana kami juga dikira sebagai barisan hadapan.

"Dan semua enam orang yang dibenarkan untuk hadir tu menyelamatkan seluruh 'anak kariah' dari tuntutan fardhu kifayah," katanya, menambah setakat ini hanya beberapa orang AJK sahaja yang sudah menerima vaksin.

Sementara itu berkongsi keratan akhbar mengenai berita kematian 15 orang jemaah di Kedah, pengamal perubatan swasta MBBS (UIAM) Dr Ahmad Najmee Mohd Nor berkata walaupun mengikuti semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, AJK surau dan masjid masih terdedah kepada bahaya koronavirus selagi vaksin tidak diberikan.

"Inilah padahnya apabila SOP dibuat tanpa berpandukan kefahaman sains, kebanyakan negeri membenarkan ahli-ahli jawatankuasa untuk solat secara berjemaah di masjid tanpa mewajibkan pengambilan vaksin sedangkan majoriti AJK masjid ini warga emas yang ada penyakit kronik.

"Objektif utama SOP adalah untuk kurangkan risiko penularan Covid-19 tapi sebaliknya SOP yang dibuat sekarang membawa lebih banyak mudarat.

"Walaupun ikut SOP - scan MySejahtera, tulis nama, ambil suhu, jarakkan saf, pakai pelitup muka pun, belum tentu selamat selagi tak divaksinkan, terutama sekali dengan kewujudan VOC (variant of concern)," tulisnya di laman Facebook.

Hantarannya itu turut dikongsi Ketua Pengarah Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.



Hantaran Dr Ahmad Najmee turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bercakap kepada mStar, Dr Ahmad Najmee berkata warga emas yang mempunyai penyakit kronik serta berisiko tinggi tidak sepatutnya dibenarkan ke masjid sehingga pandemik Covid-19 ini benar-benar reda atau sekurang-kurangnya 'herd immunity' telah tercapai.

"Keutamaan untuk mengimarahkan masjid perlu diberi kepada mereka yang telah menerima vaksin dan tidak ada sebarang penyakit kronik.

"Solat jemaah pula sebaik-baiknya dibuat di kawasan lapang dan terbuka untuk kurangkan risiko penularan," katanya.

Dia turut mengusulkan agar masjid dijadikan tempat untuk vaksinasi diberikan kepada kariah masjid serta kawasan kejiranan terdekat.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

ends.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain