SATU dalam seribu! Itulah kata-kata yang sesuai bagi menggambarkan pengorbanan seorang pemuda yang sanggup bersusah payah dan bersengkang mata menjaga sahabatnya yang terlantar sakit. Video itu yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan pemuda berkenaan sedang menukar pakaian sahabatnya di wad dengan sangat berhati-hati benar-benar menyentuh hati netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Sempat bersih diri, beritahu ahli keluarga ‘nak mati dah ni’... kakak terkilan adik rebah sebelum makan maggi atas meja - “Dapat tengok macam nyawanya ditarik” ARTIKEL BERKAITAN: “Kawan tak boleh tidur, kakak bacakan Yasin” - Meninggal selepas demam on-off, adik sebak terbuka Instagram arwah kakak "Ada insan share dekat group family kami. Tak tahu siapa yang record, mungkin rakan di wad yang sama. Ini sahabat arwah abang... yang setia menemani, menurut kehendak. Satu dalam seribu. Terima kasih," demikian kapsyen pada video berkenaan. Berkongsi cerita dengan mStar, Rosmina Ismail yang memuat naik video berkenaan di laman Instagram berkata, arwah abangnya, Roslim Ismail, 34, terlantar sakit sejak hampir dua bulan lalu kerana serangan jantung. "Arwah abang dimasukkan ke hospital ketika awal Ramadan lalu selepas terkena serangan jantung ketika sedang bekerja. Kami sekeluarga terkejut sangat sebab abang sihat sahaja sebelum ini... dia bekerja sebagai buruh dan dia memang biasa buat kerja berat. Kenangan Allahyarham (dalam bulatan) bersama keluarga ketika meraikan ulang tahun bapa mereka. "Selepas beberapa hari dirawat, abang dibenarkan keluar hospital. Namun keadaan kesihatannya makin merosot. Dia kerap ulang alik ke hospital dan dimasukkan ke wad kerana keadaan jantungnya lemah. "Hinggalah pada 28 Mei, arwah abang sekali lagi dimasukkan hospital berikutan keadaannya yang lemah. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] "Saya dan seorang lagi abang yang tinggal serumah di Pasir Mas, Kelantan, akan ulang alik menghantar barang dan selesaikan urusan hospital. Disebabkan keadaan sekarang, waris tak dibenarkan teman. Hanya datang melawat seketika saja," cerita wanita berusia 28 tahun ini. Cerita Rosmina, arwah abangnya kemudian memaklumkan bahawa seorang rakannya akan menemaninya di hospital sepanjang dia dirawat. Pusara Allahyarham terletak bersebelahan dengan pusara ibunya. "Sekarang ni hanya seorang sahaja boleh teman dan wajib buat swab, jadi disebabkan sahabatnya mahu teman, kiranya dia sebagai wakil keluarga kami. "Kami sekeluarga sangat terharu apabila sahabatnya, Peyuh (nama panggilan) tawarkan diri nak menemani. Memang masa arwah masih sihat, dia selalu bawa Peyuh ni bekerja sekali. "Mungkin ada sikap atau kebaikan arwah abang terhadapnya membuatkan dia mahu menemani. Bukan setakat jaga tapi tukar lampin dan macam-macam lagi. Video ini mungkin dirakam oleh pesakit lain di wad atau jururawat. "Pada malam abang meninggal dunia ia dihantar ke group keluarga kami. Memang sebak... sampai sekarang mengalir air mata kalau tengok video tu," cerita Rosmina yang merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik. Kami banyak kali bertanya bimbang menyusahkan dirinya, namun Peyuh ni marah balik... dia kata dia buat semua ini ikhlas. ROSMINA ISMAIL ADIK Menurut Rosmina, Peyuh akan bertindak sebagai perantara untuk menyampaikan apa sahaja pesanan abangnya kepada keluarganya. "Kira-kira lima hari juga Peyuh menemani arwah abang di hospital di Pasir Mas sebelum abang terpaksa dipindahkan ke hospital di Kota Bharu pada 6 Jun. "Malah, dia yang teman arwah abang dalam ambulans ketika nak ke Kota Bharu, manakala seorang lagi abang saya ikut dengan kereta lain di belakang. "Peyuh cerita, arwah abang banyak kali bertanya bimbang menyusahkan dirinya, namun Peyuh ni marah balik... dia kata dia buat semua ini ikhlas. Betul-betul respect dengan sahabat arwah abang yang satu ini," ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini. Hanya sempat dirawat sehari sahaja di Kota Bharu, Rosmina berkata arwah abangnya menghembuskan nafas terakhir pada 7 Jun lalu. Anak tunggal Allahyarham yang berusia lima tahun menziarahi pusara bapanya. "Selepas arwah meninggal dunia, ada ramai sangat yang WhatsApp dan cerita pasal arwah, antaranya seorang kawan. Ayahnya sama wad dan duduk sebelah katil dengan arwah abang. Dia cerita, abang ni suka tolong orang dalam wad. Sebak rasanya bila dengar. "Kemudian kami terbaca status WhatsApp yang dikongsi Peyuh. Rupa-rupanya abang ada cakap kepadanya yang dia dah reda kalau dijemput ajal. Malah abang ada tanya dia, dengan siapa dia nak berkawan kalau abang dah pergi. "Abang juga pernah cerita kepada Peyuh yang dia rindu sangat dengan anak tunggalnya yang berusia lima tahun yang dijaga bekas isteri. Kami dah bawa sebenarnya, tapi tak dibenarkan masuk. Dia juga pernah mimpi bertemu arwah ibu. "Bila baca apa yang dikongsi Peyuh, memang sedih. Arwah seolah-olah nak beritahu dia nak 'pergi'. Namun kami reda. Perkongsian video itu saya buat sebab nak sampaikan mesej persahabatan dan keikhlasan. Terima kasih Peyuh dan semua yang mendoakan arwah abang saya," ujarnya lagi. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram! View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)