suria

Empat tahun menanti akhirnya dapat kembar tak seiras versi rare... seorang rupa Melayu, seorang lagi macam mat saleh tapi mata sepet!

Salah seorang daripada pasangan kembar ini sering menarik perhatian orang ramai yang menyangkakan dia mempunyai darah kacukan mat salih - Korea.

LEBIH empat tahun Noor Azlinee A.Kadir dan pasangannya menunggu untuk menimang cahaya mata mereka sendiri.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk menjalani rawatan kesuburan menggunakan laser di sebuah pusat perubatan di Kelantan.

Berkat kesabaran, mereka akhirnya dikurniakan sepasang kembar tak seiras yang cukup istimewa apabila salah seorang daripada bayinya memiliki kulit dan rambut berwarna cerah.

ARTIKEL BERKAITAN: Salah faham SOP, dua sahabat keluar buat assignment terpaksa korek tabung bayar kompaun... tapi masih tak cukup, cuma ada RM200 saja!

ARTIKEL BERKAITAN: Anak lari ketakutan dari bilik air sebab kening botak sebelah, ibu tak tahu nak gelak atau marah - “Dia asyik menangis, nak pergi sekolah tapi malu”

Mendapat jolokan Mat Salleh-Korea, Che Muhammad Sollehin Che Azmi yang kini berusia enam tahun mula menjadi perhatian ramai sebaik dia dilahirkan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Berkongsi pengalaman lucu sewaktu melahirkan Che Muhammad Sollehin, Noor Azlinee berkata anaknya itu selamat dilahirkan secara normal manakala adiknya, Che Muhammad Asyraf Che Azmi dilahirkan melalui pembedahan cesarean lebih kurang sejam kemudian.

"Masa dia keluar memang saya terkejut sikit sebab nampak macam putih tapi doktor terus bawa ke bilik sebelah kemudian panggil suami. Jururawat semua hilang pergi bilik sebelah sebab masing-masing excited nak tengok mata dia, mereka kata hanya satu dalam sejuta je baby albino yang bermata merah tapi mata dia normal je.

"Suami saya pula lepas azankan anak dia keluar tanya mak saya kita ni ada keturunan orang putih ke? Mak saya terkejut, pelik la bila dia tanya macam tu tapi bila dia tengok anak saya dia sendiri pun terkejut.

"Suami saya cakap setiap kali dia pergi tengok anak, penuh doktor tengah tengok anak saya, masing-masing semua teruja," ujarnya lucu.



Sollihin turut menarik perhatian para doktor dan jururawat yang tidak putus-putus melawatnya.

Menurut Noor Azlinee atau lebih senang disapa Azlinee, dia hanya dapat melihat anaknya itu pada keesokan hari selepas melahirkannya.

"Bila saya sedar, memang mak dengan suami dah beritahu pasal anak saya tapi saya tak boleh nak bayangkan, putih macam mana? Rupa dia macam mana? Memang tak sabar-sabar nak tengok.

"Bila tengok dia memang saya rasa teruja jugalah sebab Allah nak bagi kita sesuatu yang istimewa ni mesti ada sebab, saya memang tak ada sekelumit pun rasa kecewa, lebih kepada tak sangka dengan apa yang saya dapat," katanya.

Tambah Azlinee dia pada mulanya tidak menyangka hamil anak kembar kerana Che Muhammad Sollehin hanya 'menonjolkan diri' ketika dia menjalani pemeriksaan sewaktu usia kandungannya sudah mencecah tiga bulan.

"Sollihin sepatutnya adik sebab masa scan enam minggu nampak adik dia je, bila scan tiga bulan baru nampak dia... itu pun doktor tak bagi maklum pada keluarga lagi sebab jantung tak fully developed, bila dah nak masuk bulan ke empat baru doktor check semula dan sahkan yang dia hidup," katanya.



Azlinee dan pasangannya menunggu lebih empat tahun sebelum dikurniakan pasangan kembar ini.

Menurut Azlinee anaknya itu bagaimanapun tidak sama seperti kanak-kanak albino yang lain.

"Nak cakap albino pun mungkin dia hanya di peringkat awal sebab dia tak macam kanak-kanak albino yang lain, dia boleh keluar main panas, dia tak ada masalah buka mata atau silau.

"Memang dah bawa jumpa pakar kulit dan mata, tak ada masalah cuma dia rabun jauh sedikit itu pun doktor kata tak perlu pakai cermin mata lagi

“Orang kata albino ni biasa ada keturunan, kami kurang pasti. Cuma ayah kepada nenek budak ni memang kahwin dengan mat salih mata biru, dia ni generasi ke lapan, saya dengan suami pula memang ada keturunan Cina, jadi tak pastilah," katanya.

Suami saya pula lepas azankan anak dia keluar tanya mak saya 'kita ni ada keturunan orang putih ke?' Mak saya terkejut, pelik la bila dia tanya macam tu tapi bila dia tengok anak saya dia sendiri pun terkejut.

NOOR AZLINEE A.KADIR

IBU

Menurut Azlinee, Sollihin seorang kanak-kanak yang sangat cerdas.

"Otak dia cekap dan dia sangat cepat belajar, dekat sekolah apa yang cikgu ajar sekali je dia dah boleh ingat.

"Bila saya ajar dia baca Al-Quran pun memang dia sangat mudah tangkap," katanya.



Sollihin seorang kanak-kanak yang sangat cerdas dan aktif.

Tambahnya, kedua-dua kembar tidak seiras ini bagaimanapun mempunyai perangai yang berbeza bagaikan langit dengan bumi.

"Sollihin suka makan makanan kampung, sayur air sebab dia membesar dekat kampung sampai umur dia setahun setengah baru saya ambil dia tinggal dengan saya dekat Bangi.

"Adik dia pula susah sangat nak makan, Sollihin masa kecil susah makan tapi lepas saya ikhtiar macam-macam bagi makan madu la, sekarang dia sangat berselera makan.

"Dari segi perangai pula adik dia pendiam, cakap bila perlu je tapi Sollihin ni sangat peramah, dia suka pergi jalan ke rumah jiran sebelah. Kadang ajak saya pergi rumah jiran tapi masa tu duduk dekat Bangi, orang tu pagar pun tak buka, macam mana nak pegi main," katanya.



Kedua-dua beradik ini juga merupakan cucu sulung keluarga Azlinee.

Menurut Azlinee mereka sekeluarga kini pindah dan menetap di Bukit Bunga, Kelantan dan ini secara tidak lansung memberi peluang kepada Sollihin untuk kembali dengan rutinnya melawat rumah jiran tetangga.

Tambah Azlinee sikap anaknya yang peramah ini bagaimanapun memaksa mereka untuk lebih berhati-hati apabila berkongsi sebarang maklumat dengan anaknya ini kerana bimbang dia tidak boleh 'simpan rahsia'.

"Mulut dia spontan jadi abah dia cakap bahaya hal-hal penting tak boleh cakap depan dia sebab dia akan pergi kongsi dengan semua orang.

"Dia dekat kampung ni akan jalan sorang-sorang pergi bercakap dengan jiran sebelah rumah, dia cerita habis semua benda, benda yang kami nak rahsia pun dia cerita.

"Kadang bila orang tanya kami jadi terpingga-pingga siapa yang bagitahu semua ni," kata Azlinee.



Pasangan adik beradik ini sering menarik perhatian orang ramai kemana sahaja mereka pergi.

Menurutnya, anaknya ini turut menjadi perhatian setiap kali mereka sekeluarga keluar ke mana-mana.

"Kami selalu pergi Thailand jadi pernah sekali tu kami nak check-in hotel orang tu tegur, eh datang lagi. Mereka ingat kami disebabkan dia.

"Lepas tu pernah juga kami pergi ada satu event ni, dekat situ penuh dengan mat salih, mereka ajak anak saya ambil gambar sebab rambut sama warna," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain