suria

Manis bertudung, tapi ramai salah sangka identitinya... wanita ini minta doakan yang baik-baik - “Bila tiba Hari Raya, saya terlebih teruja nak sambut“

Roseline selesa mengenakan hijab meskipun merupakan penganut Kristian.

MELIHAT penampilan ayu wanita berkulit putih ini mengenakan tudung, tiada siapa yang menyangka gerangan tuan empunya diri sebenarnya bukanlah mualaf seperti yang disangka.

Menurut wanita keturunan Bidayuh bernama Roseline anak Sadong, dia sudah terbiasa mengenakan tudung sejak beberapa tahun lalu.

Sungguhpun merupakan penganut Kristian, namun Roseline tidak dihalang keluarganya apabila dia berpenampilan sedemikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkesan kata-kata seorang rakan, wanita ini segera ucap syahadah... tapi tak beritahu sesiapa selama 2 tahun - “Saya lompat-lompat agama tapi tak dapat jawapan”

ARTIKEL BERKAITAN: Lama pendam hasrat peluk Islam, mudahnya urusan ‘hijrah’ wanita ini... lebih terharu keluarga tumpang gembira - “Saya doa mereka sama-sama cium syurga”

"Kalau tak silap, saya mula cuba-cuba bertudung sekitar tahun 2018. Hanya baru sekarang, saya lebih kerap mengenakan tudung. Bukan setiap masa kerana waktu bekerja saya tak bertudung, tapi kebanyakan waktu terutama apabila keluar dengan kawan-kawan, saya akan bertudung.

"Kawan-kawan saya pun kebanyakannya terdiri daripada Muslim. Mereka tak hairan pun, sebaliknya lagi memberi galakan. Ada yang hadiahkan tudung, dan ada juga yang bantu saya pakai. Saya selesa sama ada stail bawal atau selendang kerana saya ada banyak koleksi dua-dua tudung ini," ujar wanita yang berasal dari Sematan, Kuching, Sarawak ini.



Roseline (depan) lebih selesa mengenakan tudung ketika keluar bersama rakan-rakannya.

Pernah dituju persoalan mengapa dia memilih untuk mengenakan tudung, Roseline berkata dia kadang-kadang tidak mempunyai jawapan kepada pertanyaan berkenaan.

"Tak tahu nak jawab apa kerana kadang-kadang saya juga tiada jawapan yang khusus. Apa yang boleh saya katakan, hati saya sememangnya tertarik kepada agama Islam.

"Saya pilih untuk bertudung kerana selesa dan rasa terlindung bila memakainya... macam ada satu perasaan lain. Pernah juga orang bertanya kepada saya, kenapa tak convert?

"Saya tak mampu menjawabnya... hanya minta doakan yang baik-baik. Bagi saya, soal untuk convert itu adalah keputusan yang besar. Perlu fikir masak-masak dan buat persediaan yang sewajarnya," kata ibu kepada dua cahaya mata ini.



Kebanyakan rakan Roseline merupakan orang Islam dan mereka rajin menghadiahkannya tudung.

Bercerita mengenai latar belakang keluarganya juga, Roseline berkata dia bersyukur kerana mereka tidak mempunyai halangan malah memahami keputusannya.

"Tambahan pula dalam kalangan ahli keluarga saya pun ada yang dah memeluk Islam iaitu adik, ibu saudara dan juga bapa saudara. Jadi bukanlah asing bagi keluarga kami.

"Kadang-kadang bila saya balik ke kampung dan tak pakai tudung, mereka usik-usik pula 'kenapa tak pakai tudung'," ujarnya yang merupakan pekerja sektor swasta di Kuching.

Saya pilih untuk bertudung kerana selesa dan rasa terlindung bila memakainya... macam ada satu perasaan lain.

ROSELINE

Bukan sahaja cuba bertudung, malah Roseline juga mencabar dirinya untuk cuba berpuasa ketika bulan Ramadan bersama rakan-rakan Muslimnya yang lain.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sejak tahun lepas saya cuba berpuasa. Hari-hari pertama tu 'tewas' juga... hanya separuh hari. Namun saya cuba latih dan kekal positif. Tahun ini merupakan tahun kedua saya berpuasa.

"Seronok juga, ia menyihatkan dan boleh membantu menurunkankan berat badan. Bila tiba Hari Raya, saya pula yang terlebih teruja nak sambut," katanya.

Wanita ini sama sekali tidak menyangka video yang dimuatnaik di aplikasi TikTok mengundang perhatian ramai.



Roseline merupakan ibu kepada dua cahaya mata.

"Kebanyakannya memberi sokongan kepada saya... komen-komen positif mereka buat saya terharu dan lebih bersemangat.

"Namun ada juga yang tuduh saya mempermainkan imej bertudung dan cuba cetuskan isu. Namun saya enggan ambil pusing komen-komen negatif. Bagi saya setiap orang ada pandangan masing-masing.

"Tak kurang juga ada yang mendoakan moga saya mendapat hidayah satu hari nanti. Apapun terima kasih diucapkan kepada semua. Doakan saja yang baik-baik," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain