SEBAK dan menyentuh hati. Itulah yang dirasai apabila melihat perkongsian di media sosial saban hari ketika ini, yang mana ada dalam kalangan kita meluahkan rasa sedih saat insan kesayangan dijemput ajal serta terlantar di hospital akibat Covid-19. Begitu juga ujian yang dihadapi oleh gadis ini apabila bapa kesayangannya sedang terlantar di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Negeri Sembilan, akibat dijangkiti virus maut tersebut lebih dua minggu lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa di wad biasa sempat mengadu lapar, nak mandi sebelum meninggal... anak di wad Covid-19 sedih tak mampu buat apa-apa! - “Abah nak tanggung kesakitan saya” ARTIKEL BERKAITAN: Menangis berdua dengan ibu... anak tunggal sebak kenang pemergian bapa akibat Covid-19, tiada lagi teman bergaduh manja Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok iaitu tangkapan skrin perbualannya dengan si bapa menerusi WhatsApp beberapa hari lalu sebelum mesejnya tidak berbalas, begitu meruntun jiwa netizen. Berkongsi cerita dengan mStar, Atiqah Adnan berkata bapanya, Adnan Rawi, 58, sudah lebih dua minggu dirawat di hospital kerana positif Covid-19, selepas mendapat jangkitan di tempat kerja. Atiqah berhubung dengan bapanya setiap hari, sebelum mesejnya tidak dibalas kerana bapanya ditidurkan pada Rabu lalu. "Kali terakhir saya berjumpanya, masa itu ayah datang ke rumah untuk uruskan sesuatu. Ayah saya tinggal berasingan kerana sudah berpisah dengan ibu dan masing-masing sudah ada keluarga baharu. Itu pun ayah singgah sekejap saja. "Masa tu ayah asyik elak, jauhkan diri dan tak bagi kami bersalam sebab dia beritahu di tempat kerjanya ada kes positif. Dia sendiri sudah buat ujian calitan dan keputusannya negatif, namun dia tetap ambil langkah berjaga-jaga. "Namun akhirnya beberapa hari kemudian, kami terima berita yang paling ditakuti... ayah positif Covid-19 selepas buat ujian calitan kali kedua. Rupa-rupanya, itulah kali terakhir sempat berjumpa ayah sebelum dia dibawa ke hospital," kata gadis berusia 22 tahun ini. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Menurut Atiqah, dia menghubungi bapanya setiap hari untuk mengetahui perkembangan kesihatan serta memberikan kata-kata semangat kepada insan tersayang itu. Atiqah yang juga anak sulung daripada tiga adik beradik rapat begitu rapat dengan bapanya meskipun lelaki itu sudah berpisah dengan ibunya. "Pada hari-hari awal di hospital, ayah hanya demam. Tapi beberapa hari kemudian, dia terpaksa menggunakan bantuan oksigen. Saya risau sangat memandangkan ayah ada sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan batu karang. "Namun lega, tak lama lepas tu keadaannya makin positif... dah boleh makan dan sebagainya. Seronok bila ayah cakap keadaannya okay ketika di WhatsApp. "Bagaimanapun kelegaan saya tak lama... hanya empat hari saja ayah okay. Pada Rabu baru-baru ini, saya WhatsApp macam biasa tapi hairan ayah tak balas. Rupa-rupanya ayah terpaksa ditidurkan dan kini ditempatkan di ICU," kata anak sulung daripada tiga beradik ini. Selain kami, ibu tiri adalah yang paling terkesan sebab lihat ayah ditidurkan. Dia juga dirawat di hospital yang sama dengan ayah kerana turut positif Covid-19. ATIQAH ADNAN Tambah Atiqah, dia dan adik beradiknya sungguh terkesan kerana terlalu rapat dengan bapa mereka meskipun lelaki itu tinggal berasingan.. "Saya rasa kosong... tertunggu-tunggu mesej dan panggilan daripada ayah sebab sebelum ni, dia kerap hubungi saya dan adik-adik. "Adik lelaki kedua saya yang berusia 16 tahun sangat terkesan kerana dia sangat rapat dengan ayah. Pernah satu ketika, dia tak dapat sembunyikan tangisnya sebab terlalu sedih dan bimbang sesuatu berlaku pada ayah. "Namun selain kami, ibu tiri adalah yang paling terkesan sebab lihat ayah ditidurkan. Ibu tiri juga sedang dirawat di hospital yang sama dengan ayah kerana turut positif Covid-19," katanya yang menetap di Seremban. Perkongsian Atiqah dibanjiri dengan komen netizen yang rata-ratanya memberi kata-kata semangat dan mendoakan kesihatan bapanya. Membuat perkongsian di media sosial, Atiqah berkata dia sekadar mahu berkongsi kisah bapanya agar rakan-rakan pengikut dapat sama-sama mendoakan kepulihan insan kesayangannya. "Kami tak pernah putus berdoa setiap hari... mungkin dengan perkongsian di media sosial, yang lain turut sama mendoakan ayah saya. "Perkara pertama saya nak buat selepas ayah sihat, salam dan peluk ayah. Buat ayah, along tahu ayah kuat... ayah kena kuat supaya lekas sembuh dan boleh berkumpul macam dulu," katanya lagi. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram! View this post on Instagram A post shared by @tiqadnan