suria

Sayu lihat ‘tragedi’ khemah terbang, raja buah bergelimpangan dipukul ribut kencang... anak dedah bapanya baru 4 hari cuba nasib jual durian

Gerai durian milik ayah Eya di Paroi rosak dalam kejadian hujan lebat dan ribut pada Ahad lalu.

PENIAGA atau penjaja adalah antara golongan yang paling terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu.

Sudahlah terpaksa mengeluarkan modal untuk menyediakan barang jualan, namun akhirnya terpaksa menanggung kerugian kerana kekurangan pengunjung atau pembeli.

Bukan itu sahaja, ada ketikanya peniaga terpaksa menanggung kerugian dua kali ganda apabila barang jualan dan kelengkapan gerai rosak kerana cuaca buruk atau bencana alam.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedih lihat peniaga basah kuyup tiap petang, jejaka plan kejutan... apa yang dibuatnya bawa duit ‘berkepuk-kepuk’ ke bazar Ramadan?

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh baca mesej sedih ibu, baru 2 bulan bisnes dah merudum... tak ada pelanggan langsung sepanjang hari

Itulah yang dialami oleh seorang peniaga durian di Paroi, Negeri Sembilan, selepas gerainya terjejas teruk akibat hujan lebat dan ribut baru-baru ini.

Video yang dikongsikan di aplikasi TikTok iaitu rakaman ketika dia dan para peniaga lain bertungkus lumus menyelamatkan barang jualan dan gerai masing-masing, menimbulkan rasa sebak dan simpati netizen.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 250, 000 jumlah tontonan di aplikasi berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Alia Natasha Romzi yang memuat naik video berkenaan berkata, kejadian berlaku ketika bapanya baru empat hari mencuba nasib untuk berniaga buah durian di pekan berkenaan.

"Ayah dan ibu saya sebenarnya memang dah lama berniaga, macam-macam bisnes dah cuba seperti buka kafe, kedai kraf tangan, buat penghantaran makanan. Cuma bila musim buah durian sekarang ni, ayah saya nak cuba berniaga buah durian pula.

"Kiranya bisnes keluarga juga. Ayah ambil stok buah banyak dan bahagikan di dua kawasan iaitu di Paroi dan Senawang. Gerai di Paroi, ayah dan ibu jaga manakala saya pula jaga gerai di Senawang.

WhatsApp Image 2021-07-09 at 9.54.34 AM(1)

Sepupu Eya sedang membantu mengutip buah durian yang berselerak selepas gerai mereka dilanda ribut kencang.

"Video yang saya muat naik itu adalah kejadian di gerai yang ayah saya jaga iaitu di Paroi. Menurut ayah, cuaca OK saja awalnya, tapi kira-kira pukul 3 petang, hujan turun dengan lebat siap dengan ribut.

"Habis buah durian dan barang makanan lain jatuh bergelimpangan dan rosak. Khemah juga semua patah sebab ribut kencang. Kalau tengok dekat dalam video tu, ada peniaga siap kejar khemah dia yang diterbangkan angin. Masa tu memang semua kalut dan bertungkus lumus, tak sempat nak menolong, " kata gadis berusia 18 tahun ini.

Senang disapa sebagai Eya, gadis ini berkata insiden tersebut menyebabkan bapanya menanggung kerugian kerana lebih separuh buah durian dan makanan lain seperti Durian Crepe dan otak-otak rosak.

Situasi sekarang ni sangat berbeza. Pendek kata, jualan tidak rancak sangat.

NUR ALIA NATASHA ROMZI

"Kuatnya ribut tu sampai buah durian dan barang lain berterabur di atas jalan. Selepas reda, ayah terus kemas dan pulang. Dekat rumah, kami kupas buah durian nak periksa... yang elok tu kami makan, yang rosak memang terpaksa dibuang.

"Esok tu ayah cuti daripada berniaga... khemah pun tak ada sebab patah. Memang nampak mukanya sedih... tapi inilah adat orang berniaga. Mungkin ini adalah ujian untuk kami sekeluarga, " kata anak keempat daripada lapan orang adik beradik ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bercerita mengenai sambutan di gerai duriannya, Eya berkata situasi pandemik dan pelaksanaan PKP sedikit sebanyak menyebabkan jualan agak perlahan.

WhatsApp Image 2021-07-09 at 9.54.35 AM(1)

Eya (tengah, dua dari kanan) bersama ibu bapa dan tujuh lagi adik beradiknya.

"Situasi sekarang ni sangat berbeza. Pendek kata, jualan tidak rancak sangat. Namun ia bukan alasan untuk kita berputus asa, " ujarnya.

Tidak mengharapkan apa-apa atau cuba meraih simpati, Eya berkata video berkenaan hanyalah perkongsian pengalaman 'pahit manis' sebagai seorang peniaga.

"Kadang-kadang ada yang tengok orang berniaga atau yang buat bisnes famili ni ada duit selalu... tapi orang tak tahu apa kisah kami lalui setiap hari.

"Macam apa yang berlaku baru-baru ini, ia sebahagian daripada ujian dan adat berniaga. Saya hanya minta netizen doakan agar permudahkan urusan keluarga kami sahaja, " ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain