suria

Jiwa lagu 60-an, petikan gitar pemuda ini ada aura ‘orang lama’... dulu busking di tepi jalan, kini ‘live’ di TikTok

Faiz menjadi perhatian dengan bermain gitar lagu-lagu 60-an di TikTok.

SEPERTI kembali ke era pop yeh yeh sekitar 60-an, lagu-lagu yang dimainkan menerusi satu akaun TikTok membangkitkan nostalgia 'orang-orang lama'.

Siapa sangka di sebalik petikan gitar lagu-lagu tersebut sebenarnya merupakan seorang pemuda berbakat yang baru berusia 20-an.

Lagu-lagu dimainkan memikat halwa telinga kira-kira 66,000 pengikutnya di mana antaranya dipopularkan oleh legenda A Ramlee, Jefrydin, L Ramlee dan S Jibeng.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sangka Amelina, sehingga pemilik suara dalam van bergerak Jabatan Penerangan di kawasan PKPD munculkan diri... rupa-rupanya kakak penyanyi terkenal

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah buat kejutan show di majlis kahwin 2 tahun lalu, pemuda 'rapper' kini dah ada video muzik lagu sendiri - "Teringin duet dengan Yuna"

Pemuda berkenaan, Muhamad Faiz Zulkifli berkata, minatnya bermain gitar sejak dari sekolah rendah dan belajar bersama penduduk di kampungnya di Kampung Kepis Baru di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Anak muda berusia 24 itu hanya mempelajari bidang muzik secara serius ketika mengikuti Diploma Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tamat pengajian pada 2017.

"Pada asalnya saya menyertai 'busking' di jalanan dan majlis-majlis selepas tamat pengajian. Tapi aktiviti saya terjejas disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Buat masa ini, saya hanya berada di rumah dengan membuat video-video bermain gitar dan memuat naik di TikTok kerana minat saya dalam muzik," katanya kepada mStar.

faiz ramos 6

Faiz (kanan) terlibat dalam aktiviti 'busking'.

Lebih dikenali sebagai Faiz Ramos, dia mengakui meminati lagu-lagu era 60-an kerana sejak kecil sering meluangkan masa bersama 'orang-orang lama' di kampungnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya dibesarkan dengan lagu-lagu penyanyi A Ramlee dan lagu beliau yang menjadi kesukaan saya sehingga kini adalah Kenangan Mengusik Jiwa dan Oh Fatimah.

"Bila selalu 'jamming' dengan orang-orang lama, jiwa pun melekat dengan lagu-lagu 60-an. Sebab itulah saya buat dua video menampilkan 10 lagu terbaik 60-an dengan saya bermain gitar, " katanya sambil menambah dia kini tinggal bersama bapanya yang berusia 60 tahun.

faiz ramos 3

Faiz (hadapan, kanan) bersama rakan-rakan sekampung membuat 'live' di TikTok.

Kedua-dua video yang menghimpunkan lagu-lagu terbaik 60-an yang dibuatnya itu masing-masing meraih lebih 400,000 dan 280,000 tontonan.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, jiwa muda tetap sebati dalam dirinya apabila turut bermain gitar dengan lagu-lagu terkini dan kartun mengikut permintaan para pengikut.

Bila selalu 'jamming' dengan orang-orang lama, jiwa pun melekat dengan lagu-lagu 60-an. Sebab itulah saya buat dua video menampilkan 10 lagu terbaik 60-an

FAIZ RAMOS

Maka tidak hairanlah antara petikan gitarnya yang menarik perhatian adalah lagu tema daripada animasi popular Jepun, Doraemon.

Faiz yang menjadikan gitaris Shah Slam sebagai idola berkata, PKP yang melanda negara ternyata memberi kesan pada dirinya kerana hilang sumber pendapatan.

faiz ramos 4

Faiz mahu menjadi guru muzik atau pemuzik.

Walau bagaimanapun, penyokong kelab Chelsea itu tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan aplikasi TikTok sebagai sumber ekonominya pada masa ini.

"Tak dapat buat busking di tempat awam, saya dan beberapa rakan sekampung membuat show secara live di TikTok. Dengan live inilah dapat duit sikit.

"Saya buat live show ni sama ada seminggu atau dua minggu sekali. Macam saya main gitar termasuk seorang lagi, dan ada seorang penyanyi dan seorang lagi 'bermain dram' menggunakan aplikasi mudah alih di telefon.

"Bila tak ada buat live, saya hasilkan video-video untuk menarik perhatian followers," katanya yang bercita-cita untuk menjadi guru muzik atau pemuzik.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain