suria

Bukan buka aib sendiri... wanita kongsi kisah perit jadi penghuni Henry Gurney, pensyarah pandang semacam semasa belek sijil - “Ada ke lelaki nak terima aku”

Perkongsian Rieyna di TikTok mengenai serba sedikit pengalamannya di Sekolah Henry Gurney.

TIGA tahun menjadi penghuni Sekolah Henry Gurney sudah cukup untuk menyedarkan wanita ini akan pengajaran daripada kesilapan yang pernah dilakukannya.

Bercerita serba sedikit kisah sebagai penghuni di sekolah pemulihan akhlak yang terletak di Telok Mas, Melaka menerusi aplikasi TikTok, ternyata ramai netizen yang teruja dengan perkongsian wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rieyna ini.

"Saya dijatuhkan hukuman selama tiga tahun. Saya masuk di bawah Seksyen 46 iaitu Kanak-kanak Tak Terkawal. Sebelum ini saya di sekolah Tunas Bakti, saya dan kawan-kawan seramai lima orang lari dari sekolah itu. Kemudian kami ditahan semula dalam tempoh tiga bulan dan dijatuhkan hukuman ke Sekolah Henry Gurney," ceritanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pelajar Henry Gurney tak malu dedah kisah silam, mahu masyarakat beri peluang ke-2 - “Ada ketika terpaksa tidur depan tandas”

ARTIKEL BERKAITAN: Bantu guna deria! Aktivis selamba tolong bekas banduan terdesak selepas dapat mesej rayu bantuan - “Tak naik angin saya tanya macam-macam”

Sehingga kini video berkenaan meraih sehingga lebih 498,000 jumlah tontonan dalam tempoh 24 jam sejak dimuat naik.

Menurut Rieyna, dia dimasukkan ke Henry Gurney sewaktu berusia 15 tahun.

Berkongsi lebih lanjut mengenai kisahnya, Rieyna berkata kesalahan yang dilakukannya itu adalah terdorong oleh jiwa remaja yang ingin bebas lantaran merasakan agak terkongkong ketika ditempatkan di sekolah Tunas Bakti.

"Tiga bulan kemudian, polis dapat mengesan dan kami ditangkap seterusnya dibawa ke mahkamah. Di mahkamah, kami mengaku kesalahan dan dijatuhkan hukuman selama tiga tahun.

"Pada awalnya, memang sangat sukar... asyik berfikir macam mana hidup dekat sini. Boleh dikatakan hampir setahun juga nak biasa dan terima suasana baru.

"Keluarga dibenarkan melawat pada hari raya, tapi hari raya kedua dan waktu cuti umum. Namun keluarga saya jauh di Kedah... ibu melawat dalam dua atau tiga bulan sekali. Hanya surat saya hantar untuk meluahkan perasaan," ceritanya kepada mStar.

HG baru 3

Rieyna (kiri) tidak menafikan dia pada mulanya kekok dan mengambil masa kira-kira setahun untuk membiasakan diri.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata ini, sebagai bekas penghuni Henry Gurney, dia tidak terkecuali berdepan dengan segelintir individu yang mempunyai stigma tertentu terhadap golongan sepertinya.

Ujarnya, perkara tersebut sedikit sebanyak mewujudkan rasa malu, rendah diri ketika berdepan dengan khalayak serta takut kepada bayang-bayang sendiri.

"Masa saya sambung belajar di kolej, ada juga pensyarah yang mempunyai pandangan tertentu selepas melihat sijil-sijil saya. Kita dapat rasakan perkara itu dan kadang kala berfikir adakah seseorang tiada peluang kedua?

HG baru 2

Gambar kenangan ketika kunjungan Angkawasan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shuokor ke Henry Gurney.

"Begitu juga dengan segelintir masyarakat yang bersifat 'judgemental'. Tanpa tahu cerita sebenar, terus saja label perempuan yang buat salah ni kononnya ada isu moral, mengandung luar nikah. Selalu buat spekulasi sendiri.

"Bila sikap seperti ini ada dalam masyarakat, ia sedikit sebanyak timbulkan tekanan. Kami akan fikir, ada ke orang nak kawan, ada ke lelaki nak terima dan sebagainya. Alhamdulillah, pasangan saya boleh terima ketika saya cerita tentang diri saya," ujarnya yang kini menetap di kampung halamannya.

Tanpa tahu cerita sebenar, terus saja label perempuan yang buat salah ni kononnya ada isu moral, mengandung luar nikah. Selalu buat spekulasi sendiri.

RIEYNA

BEKAS PENGHUNI SEKOLAH HENRY GURNEY

Bukan mahu mendedahkan aib sendiri di media sosial, Rieyna berkata perkongsiannya adalah untuk dijadikan iktibar dan pedoman khususnya buat generasi muda.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya hanya kongsi pengalaman dan pasal sekolah Henry Gurney sebab mungkin ada adik-adik yang tak tahu. Ia sebagai pengajaran agar kesilapan yang pernah saya lakukan takkan diulangi lagi budak-budak yang sedang meningkat usia.

"Bayangkan, tempoh tiga tahun macam-macam boleh buat... kalau masuk 'dalam', dah terbuang masa. Tapi apa yang dah terjadi mendatangkan hikmah kepada saya. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Alhamdulillah, ia banyak mengajar saya.

HG baru 4

Rieyna (belakang) kini menceburi bisnes produk kecantikan secara atas talian (online)

"Bohonglah jika tak terbit rasa menyesal... lebih-lebih lagi bila dah ada anak. Teringat apa yang keluarga dah lalui disebabkan saya. Manusia tak lepas dari buat silap namun layak diberi peluang kedua.

"Bagi saya, anggota masyarakat sepatutnya beri ruang dan bukan makin menjauh. Mereka perlu terbuka minda dan usah bersikap menghukum. Pendek kata, berfikir sebelum berkata-kata kerana kita tak tahu 'struggle' setiap orang," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain