suria

Potret kanak-kanak menangis atas pinggan bikin ramai sayu, pelukis dedah kisah di sebalik ‘nasi berlaukkan kicap’

Zainol menghasilkan potret berinspirasikan nasi berlaukkan kicap hingga meraih perhatian ramai. -foto Facebook Zainol Portrait

PERASAAN bertukar sayu dan hiba saat melihat satu potret yang dilakarkan di atas pinggan putih.

Ia memaparkan wajah seorang kanak-kanak yang kelihatan sedih dan mengalirkan air mata, seperti dilakar di atas pinggan berbaki hidangan nasi berlaukkan kicap.

"Kicap saja malam ini," menurut keterangan foto yang dimuat naik di halaman Facebook Zainol Portrait sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kagum lukisan pemuda ini ketika di Tingkatan 4, kehilangan 3 karya di kolej kekal misteri - "Teringin Bront Palarae, Remy Ishak jadi model... ada market"

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu terus bersedih, remaja ini capai pen, habiskan masa 2 jam tulis beribu kali ‘Abam’ sehingga terbentuk potret arwah

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menyuarakan rasa kagum mereka terhadap lakaran itu yang membawa mesej tersirat dan mempunyai makna yang begitu mendalam.

potret nasi kicap 4

Lakaran potret yang menggunakan teknik cross-hatching. foto Facebook Zainol Portrait

Potret dengan sentuhan kreatif dan mengundang sebak orang ramai itu sebenarnya merupakan karya seni seorang guru yang mengajar pelajar-pelajar keperluan khas.

Guru berusia 55 tahun itu, Zainol Hussain berkata, dia mula menceburi bidang pendidikan selama lebih tiga dekad lalu sejak 1989.

"Minat saya dalam bidang seni sejak di bangku sekolah. Pelbagai platform dan seni telah saya ceburi, tetapi kini lebih menumpukan teknik cross-hatching (garisan bersilang).

"Saya lebih banyak melukis potret seperti lakaran wajah kanak-kanak di atas pinggan dengan paparan nasi berlaukkan kicap. Pada asalnya saya nak letak telur goreng di situ, tapi tidak cukup untuk menggambarkan kedukaan di wajah kanak-kanak itu," katanya kepada mStar.

potret nasi kicap 5

Antara karya seni yang dihasilkan Zainol. foto Facebook Zainol Portrait

Lebih dikenali sebagai Zainol Portrait, katanya, lukisan itu menggunakan kicap yang dicampurkan dengan warna air untuk tona yang lebih sekata dan penggunaan berus bagi kesan yang lebih halus dan terperinci..

"Saya mahu audien menilai dan memahami makna mesej yang cuba sampaikan dalam karya. Jika kita lihat, kebiasaannya nasi berlaukkan kicap menjadi hidangan buat keluarga susah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Seperti pandemik Covid-19 ketika ini, saya pasti banyak keluarga yang terkesan sekarang. Ada keluarga tak cukup makan, susah nak cari makan atau sekadar makan nasi dengan kicap.

"Tangisan kanak-kanak ini bukan bermaksud dia tidak bersyukur, tapi pada usia muda mereka sepatutnya diberikan pemakanan yang seimbang untuk tumbesaran mereka," ujar Zainol yang mendapat inspirasi daripada penggiat seni berpengalaman, Ajis Marineart.

potret nasi kicap 3

Zainol minat dalam seni lukisan sejak di bangku sekolah.

Mengimbas kembali zaman kanak-kanak, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Polo di George Town, Pulau Pinang itu dibesarkan oleh ibu bapanya yang merupakan petani.

"Ibu bapa saya bukan orang senang. Saya juga pernah merasai nasi berlaukkan kicap. Cuma nasib saya lebih baik kerana dapat menikmatinya bersama telur goreng.

"Bayangkan anak-anak yang hari-hari hadap nasi berlaukkan kicap, mereka tertanya-tanya bilakah dapat rasa makanan lain pula," kata Zainol yang berasal dari Yan, Kedah.

Bayangkan anak-anak yang hari-hari hadap nasi berlaukkan kicap, mereka tertanya-tanya bilakah dapat rasa makanan lain pula

ZAINOL PORTRAIT

Menurut bapa kepada seorang anak lelaki itu, dia mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menghasilkan karya berkenaan yang dilakukan pada awal pagi.

"Pinggan putih tu saya ambil kat dapur untuk buat lakaran potret. Lepas siap, saya tak bazirkan nasi tu kerana saya sendiri makan bersama telur goreng pukul 4 pagi," katanya sambil menambah turut mengambil tempahan untuk lukisan potret.

potret nasi kicap 2

Potret anak tunggal Zainol, menggunakan serbuk kopi dengan campuran air. foto Facebook Zainol Portrait

Selain kicap, Zainol turut menggunakan serbuk kopi untuk melakar potret anak tunggalnya yang berusia 19 tahun yang sebelum ini belajar Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) di Bangi, Selangor dan kini menyambung pengajian di Perancis.

"Anak tu baru saja berlepas ke Perancis pada 9 Julai lepas untuk sambung belajar dalam jurusan kejuruteraan mekanikal di Marseille. Dialah satu-satunya anak saya dan isteri, tak pernah berenggang jauh dengan kami kecuali masa belajar di UniKL MFI.

"Waktu sarapan pagi 13 Julai lalu, teringat pula anak seorang tu macam mana keadaan dia di negara orang, berjauhan dengan mak ayah. Jadi, saya gunakan serbuk kopi campur dengan sedikit air, maka terhasil lah potret anak bertemakan 'Terkenangkan yang jauh'," katanya.

.Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain