suria

Rapat sejak ‘dapat kaki’, bonding Adam-Putih buat ramai kagum... isteri dedah suami sanggup tolak tawaran tinggi korbankan lembu kesayangan demi anak tunggal

Keakraban si cilik Adam dan Putih membuatkan netizen kagum.

JIKA kanak-kanak seusianya gemar 'mengulit' gajet atau mainan, berlainan pula dengan si cilik yang hampir mencecah usia empat tahun ini.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, si cilik ini dilihat begitu mesra dengan haiwan ternakan peliharaan bapanya, terutama lembu yang bernama 'Putih'.

Video-video yang dimuat naik oleh ibunya, memaparkan gelagat mesra kanak-kanak tersebut dengan lembu kesayangannya sering kali meraih jumlah tontonan yang tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Antara gajet dan kerbau, mak pilih kerbau! Video si kecil tunggang Bobi raih lebih sejuta tontonan, baru seminggu ‘berkenalan’ langsung tak kekok

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar gembira ada zoo mini di rumah, terkenang rutin bapa baru sebulan dijemput Ilahi - “Tinggal di bandar, tak dapatlah bela haiwan-haiwan ni”

Berkongsi cerita dengan mStar, Nor Hazwani Jaafar mendedahkan anak tunggalnya, Adam Zafran sudah terbiasa dengan haiwan ternakan kerana sering mengikuti dia dan suami ke kandang sejak mula 'dapat kaki'.

"Suami saya memang seorang penternak sejak 13 tahun yang lalu. Masa Adam baru boleh berjalan, kebetulan suami beli Putih yang ketika itu usianya enam atau tujuh bulan. Bila Adam ikut ke kandang, dia rajin main dengan Putih.

"Banyak lagi lembu lain, tapi Adam berkenan dekat Putih. Agaknya sebab sejak dua-dua masih kecil lagi dah terbiasa antara satu sama lain, itu yang jadi rapat... agaknya Putih pun dah cam bau Adam.

"Adam kalau ke kandang je mesti cari Putih dulu. Kalau Adam leka main benda lain, Putih mesti datang dekat dan sondol-sondol dia seolah-olah nak ajak bermain bersama-sama. Saya yang tengok pun rasa macam kagum dengan keakraban mereka," ujar wanita berusia 31 tahun ini.

LEMBU BARU 1

Adam rapat dengan Putih sejak dia sudah pandai berjalan.

Nor Hazwani turut berkongsi cerita di mana ada individu menawarkan harga yang tinggi kepada suaminya untuk membeli Putih dan dijadikan sebagai korban, baru-baru ini.

"Tapi suami saya mencadangkan agar individu itu membeli lembu-lembu yang lain kerana Putih merupakan lembu kesayangan anak dia (Adam). Mula-mula pembeli tu tak percaya, tapi dia akur saja pilih lembu lain.

"Entah macam mana, video Adam dengan Putih yang saya muat naik tu viral dekat TikTok dan dia ada menontonnya. Dia siap tinggalkan komen dan beritahu, barulah dia percaya anak saya ni rapat dengan Putih," ceritanya yang menetap di Padang Serai, Kedah.

LEMBU BARU 2

Adam sering mengikut ibu dan bapanya ke kandang haiwan ternakan setiap petang.

Berkongsi serba sedikit perihal Adam, Nor Hazwani berkata anak tunggalnya itu sememangnya seorang kanak-kanak yang penyayang terhadap haiwan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Selain Putih, dia ada kambing kesukaan juga yang bernama Satallion dan kucing yang bernama Omey. Pernah ada kucing luar datang ke rumah, Adam cepat-cepat tuang makanan Omey kepada kucing tersebut," katanya yang turut menjalankan bisnes makanan secara atas talian.

Adam kalau ke kandang je mesti cari Putih dulu. Kalau Adam leka main benda lain, Putih mesti datang dekat dan sondol-sondol dia seolah-olah nak ajak bermain.

NOR HAZWANI JAAFAR

IBU

Tidak menyangka perkongsiannya menarik perhatian ramai, Nor Hazwani berkata dia terharu apabila membaca komen-komen positif netizen.

"Setakat ini semua komen sangat positif... mereka seronok tengok keakraban Adam dengan Putih. Malah ramai yang selalu request minta saya banyakkan berkongsi video-video mereka.

LEMBU BARU 3

Kambing bernama Stallion dan kucing bernama Omey yang juga merupakan haiwan peliharaan kesukaan Adam.

"Cuma ada juga yang berpesan agar tidak leka pastikan keselamatan Adam... iyalah, takut juga kalau-kalau lembu ni naik minyak. Tapi kami memang tak pernah biar dia main dengan Putih tanpa pengawasan. Mesti akan perhati sentiasa. Kami pun pastikan Putih ditambat.

"Kami sedar lambat laun kena 'lepaskan' Putih juga. Cuma buat masa ini kami suami isteri tak ada rancangan untuk menjual Putih. Kami nak beri Adam lebih masa untuk bermain dengannya dulu," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain