suria

Menghiburkan, tapi ada yang fikir bukan-bukan! Petugas kesihatan perjelas video Orang Asli menari riang datang buat swab test - “Sikapnya wajar dipuji”

Gelagat seorang warga emas yang ceria dan riang ketika menjalani ujian saringan menjadi perhatian netizen.

KETIKA penularan kes Covid-19 semakin membimbangkan ketika ini tambahan pula dengan kehadiran varian baharu, petugas kesihatan di sesetengah kawasan mula menjalankan 'mass screening' atau ujian saringan secara besar-besaran bagi mengesan kes positif.

Sudah pasti mereka berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah orang ramai sewaktu turun ke lapangan untuk menjalankan ujian saringan.

Menerusi perkongsian di TikTok, seorang petugas kesihatan memuat naik video satu insiden lucu memaparkan gelagat seorang penduduk kampung Orang Asli yang begitu gembira sehingga menari-nari sewaktu hadir untuk melakukan ujian saringan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terhibur tengok wanita tergelak hidung dijolok, hakikatnya tengah tahan sakit - “Mula-mula kawan sepejabat, sekarang satu Malaysia gelakkan saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Tunggu 50 minit tengah panas terik, frontliner pakai PPE membebel loghat Nogori ‘sekolahkan’ pesakit Covid-19 lambat siap - “Baju boleh diperah air peluh”

"Orang paling happy bila dapat kena swab," demikian tulis kapsyen pada video berkenaan yang sehingga kini meraih lebih 28,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Penolong Pegawai Perubatan bernama Azrul Zubir berkata, rakaman insiden lucu itu dilakukan ketika petugas kesihatan dari beberapa klinik 'turun padang' menjalankan ujian saringan di sebuah perkampungan Orang Asli (OA) iaitu Kampung Guntur, Kuala Pilah, baru-baru ini.

"Ujian saringan secara besar-besaran dilakukan kerana terdapat tiga kes kematian berkaitan Covid-19 di kampung tersebut. Pada mulanya kita buat terhadap 50 sampling, di mana hasilnya terdapat 11 kes positif. Sebab itu kena buat satu kampung.

"Kami buat di balai raya kampung berkenaan. Pada mulanya dimaklumkan bilangan penduduk sekitar 300 lebih, namun yang buat ujian sekitar 200 orang sahaja, termasuklah pakcik yang menari-nari tu.

"Dari jauh lagi masa berjalan kaki ke balai raya, dia memang dah menari-nari. Tak tahulah apa yang membuatkannya gembira sangat. Sepanjang proses tu dia menari-nari dan tak duduk diam. Kebetulan di balai raya juga kami pasang muzik untuk lebih rileks. Dia turut ikut menari-nari.

oa baru 2

Azrul (kanan) bersama rakan setugas yang menjalankan ujian saringan di Kampung Guntur.

"Sebenarnya dia bukan pesakit mental atau sebagainya yang difikirkan orang. Cuma pakcik ni memang tabiatnya macam tu juga kalau datang klinik kami sebelum-sebelum ini. Apa pun, sikap pakcik ni wajar dipuji kerana berani tampil buat ujian ketika ada sebahagian penduduk yang menolak," kata pemuda berusia 31 tahun ini.

Bercerita lebih lanjut, Azrul berkata petugas kesihatan turut berdepan dengan cabaran ketika melakukan ujian saringan di kampung tersebut.

"Kampung ini terletak sekitar 30 kilometer dari pekan Kuala Pilah. Jalan ke sana okay cuma ia kampung paling hujung dan sedikit pedalaman.

"Cabaran yang kami lalui adalah dari segi kerjasama penduduk. Walaupun sudah diuar-uarkan, masih ada yang tak mahu beri kerjasama. Bila inspektor kesihatan pergi rumah ke rumah untuk ajak mereka buat swab, ada yang marah-marah, ada yang diam je bila dipanggil.

Sebenarnya dia bukan pesakit mental atau sebagainya yang difikirkan orang. Cuma pakcik ni memang tabiatnya macam tu.

AZRUL ZUBIR

PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN

"Kalau yang ramai-ramai datang tu pula, ada yang malu-malu, takut-takut malah yang sampai menangis pun ada. Namun sebagai persediaan, kita ada petugas daripada kalangan Orang Asli sendiri... petugas ini berperanan untuk berkomunikasi dengan penduduk kampung yang sedikit bermasalah.

"Kita juga berikan beras atau barangan makanan selepas mereka jalani swab sebagai penghargaan atas kerjasama mereka," ujarnya sambil menambah, proses mengambil ujian saringan di kampung tersebut mengambil masa sekitar lima jam.

Menurut Azrul yang sudah sembilan tahun bergelar Penolong Pegawai Perubatan, video yang dirakam tersebut hanya sekadar perkongsian daripada pengalamannya untuk tatapan para pengikut.

"Kebetulan masa tu panas, dengan pakai peralatan perlindungan diri (PPE) lagi, jadi gelagat lucu pakcik ni sedikit sebanyak menghiburkan kami.

oa baru 1

Ujian saringan yang dilakukan di Balai Raya Kampung Guntur.

"Dalam ada itu, ada pula yang komen bukan-bukan... ada kata pakcik tu mabuklah, baru lepas minum ketumlah... saya nak jelaskan pakcik tu okay sahaja cuma memang dia macam tu suka hiburkan orang.

"Dalam masa yang sama daripada video tersebut, ada mesej yang saya cuba sampaikan. Sejauh mana pun kita duduk, di hutan atau di pedalaman, virus ni boleh sampai. Jadi usahlah ambil remeh dengan Covid-19.

"Dan lagi satu, janganlah kita ada stigma negatif tentang Orang Asli. Jangan sentiasa ingat mereka ni kolot. Mereka mungkin ada yang kurang ilmu sebab kurang pendedahan, jadi menjadi tanggungjawab kita untuk fahami budaya mereka," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain