suria

Murid minta panjangkan sesi PdPR, guru terpaksa buka ruang ‘perbahasan’ dengan rakan sekelas - “Saya ikut suara majoriti”

Tangkap layar video PdPR yang dikongsi Mohd Razli di aplikasi TikTok.

MUNGKIN ramai pelajar beranggapan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membosankan.

Namun tanggapan itu kurang tepat apabila menyaksikan satu video, menunjukkan salah seorang murid meminta gurunya untuk mengajar lebih lama daripada waktu kelas.

"Cikgu boleh tak ajar lama sikit?" tanya murid tersebut menerusi kelas dalam talian sebelum rakan-rakannya 'membantah' dengan memberikan hujah dan alasan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Alahai murid! Guru akur ditegur 'masa dah habis' ketika sesi PdPR Matematik, kelas B.Inggeris lain pula ragamnya... kena tunggu semua 'bye-bye' dulu

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih belajar walau pandemik, 'pelajar rajin' dapat ganjaran daripada 3 guru... tapi ada sekali kena 'scam'! - "Mulanya order nasi goreng ayam je sebab murah"

Gurunya, Mohd Razli Jalil memberitahu, kejadian berlaku pada minggu lalu ketika mengendalikan kelas subjek Matematik bagi sebuah kelas Tahun Tiga.

Pemuda berusia 25 tahun itu tidak menyangka pertanyaan tersebut diajukan oleh murid berkenaan ketika dia mengajar topik Pecahan selama kira-kira sejam, bermula pukul 8 pagi.

"Jadual kelas berubah sejak pembukaan sesi persekolahan selepas cuti pertengahan penggal, baru-baru ini. Sebelum ini jadual kelas lebih padat, setiap subjek ada kelas online.

"Lepas satu kelas, ada kelas lain pula. Kali ini, jadual lebih fleksibel di mana hanya satu kelas sehari secara online, manakala kelas-kelas lain dibuat secara offline," katanya kepada mStar.

Mohd Razli berkata, permintaan untuk dilanjutkan sesi kelas Matematik yang ikuti 23 murid itu diajukan oleh seorang murid yang dikenali sebagai Adam.

pdpr nak sambung kelas 2

Kelas Matematik bagi topik Pecahan.

"Dalam kelas ramai-ramai tu, dia seorang yang nak lama sikit. Sebenarnya bukan Adam seorang murid saja yang mahu kelas dilanjutkan, sebelum ini ada je beberapa murid lain.

"Cuma saya tak kongsikan di laman sosial. Kali ini saya rasa lebih menarik kerana terdapat perbahasan dalam kalangan murid-murid iaitu rakan-rakan Adam," katanya yang mula berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, guru yang berasal dari Sandakan, Sabah itu bagaimanapun tidak meneruskan sesi kelas Matematik pada hari tersebut seperti yang diminta murid berkenaan.

"Saya tak lanjutkan sebab yang bersuara minta kelas sambung itu hanya seorang, bukannya suara majoriti. Kawan-kawan dia cakap tak nak, kebanyakannya kata ada tugasan lain hendak dibuat.

"Jadi, saya faham situasi yang dihadapi rakan-rakan lain. Saya habiskan kelas saya, dengan hanya beberapa minit tambahan sebaik selesai 'perbahasan' murid-murid," katanya yang lebih mesra disapa Cikgu Razli atau Sir Razli.

pdpr nak sambung kelas 3

Mohd Razli (atas, tengah) bersama murid-muridnya ketika PdPR.

Bagaimanapun, Mohd Razli yang turut mengajar murid-murid Tahun Satu dan Tahun Dua berasa amat terharu atas respons yang diberikan oleh Adam.

"Adam ni murid yang hebat dan pandai. Dia memang cepat dan suka belajar. Adam seorang yang bersemangat, sentiasa bersedia, memang ada sifat persaingan dalam diri dia.

Guru-guru berusaha yang terbaik. Harapnya mak ayah sentiasa memberi sokongan dan membantu membuat persediaan untuk anak-anak mengikuti PdPR.

MOHD RAZLI

"Bayangkan saya baru selesai salin soalan, dia cepat-cepat buat, dah siap jawab. Saya tanya betul ke ni? Saya periksa memang betul semua jawapan dia.

"Adam cepat mengusai pembelajaran. Masa kelas secara bersemuka sebelum ini, dia akan bantu-bantu kawan-kawan bila tugasannya dah siap," katanya sambil menambah dia difahamkan murid pintar itu bercita-cita untuk bergelar doktor.

pdpr nak sambung kelas 4

Mohd Razli berusaha yang terbaik untuk menarik perhatian murid-murid.

Rasa kagum itu membuatkan Mohd Razli yang juga guru Bahasa Inggeris berasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik untuk murid-muridnya dalam PdPR.

"PdPR memberi cabaran kepada guru dan murid, serta kawasan tertentu. Saya percaya kawasan di Kuala Lumpur mempunyai akses internet dan gajet yang lebih baik.

"Guru-guru berusaha yang terbaik. Saya sendiri menarik perhatian murid-murid dengan menyediakan kuiz dan game sambil belajar... harapnya mak ayah sentiasa memberi sokongan dan membantu membuat persediaan untuk anak-anak mengikuti PdPR," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain