suria

Berkenan dengan pelanggan! Selepas setahun hantar parcel untuk gadis idaman, rider beranikan diri cuba nasib - “Setiap hari datang walau saya tak beli barang”

Amir memendam perasaannya terhadap Aishah selama setahun.

DIAM-DIAM ubi berisi.

Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan untuk kisah seorang wanita yang jatuh hati dengan seorang penghantar barang yang berkhidmat dengan sebuah syarikat kurier.

Menerusi satu video yang dimuat naik oleh wanita berkenaan, dia merakam detik bersama penghantar barang yang akhirnya menjadi kekasihnya.

Rakaman tersebut meraih hampir 500,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak vaksin, lepas tu terus kahwin! Pengantin muncul di PPV tak hirau diri jadi perhatian, disangka pakai kostum - “Macam mana nak cucuk pakai baju nikah?”

ARTIKEL BERKAITAN: Wow, Tokti versi lelaki! Selepas 10 tahun jadi busker, Achik kini famous sampai seberang... video cover lagu Purnama Merindu raih lebih 1 juta tontonan

Berkongsi cerita dengan mStar, Nuraishah Rahim, 21, mendedahkan bahawa kekasihnya Muhammad Amir Farhan Mus, 26, sering menghantar barang yang dibeli secara online sejak tahun 2019.

Dalam diam, rupa-rupanya pemuda itu sudah lama memendam perasaan terhadapnya.

"Sebenarnya sejak tahun 2019 lagi sebab dia memang rider yang menghantar barang di Pusat Latihan Mardi, saya pula belajar di sini. Sebelum ni saya memang jumpa dia untuk ambil barang je, tak bertegur pun.

"Tak tahu pula rupa-rupanya dia ada hati dekat saya selama ni. Tahun ini baru dia beritahu yang dia sebenarnya dah berkenan dengan saya dah lama.

"Sejak itu kami pun mula mengenal hati dan budi masing-masing, setiap hari dia akan datang jumpa saya walaupun tak ada beli apa-apa barang. Dia akan datang ke kolej kediaman untuk berikan buah tangan.

IMG_5943

Walaupun Aishah tidak membeli barang secara online, Amir tetap akan datang menghantar buah tangan kepadanya.

"Walaupun saya tak pernah minta untuk dibelikan apa-apa, kadang-kadang dia akan muncul dengan coklat dan makanan. Memang nampak kesungguhan dia nak ambil hati saya," katanya yang merupakan pelajar Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Pemprosesan Makanan di Pusat Latihan Mardi, Serdang, Selangor.

Mesra disapa Aishah, dia bersyukur kerana rakan-rakan dan ahli keluarganya merestui hubungannya dengan Amir dan berharap pemuda ini adalah pilihan yang terbaik buatnya.

Lebih-lebih lagi apabila hubungan percintaan Aishah bersama bekas kekasihnya selama empat tahun dulu tidak berakhir dengan baik.

"Kawan-kawan rapat saya tahu yang kami bercinta dan mereka berharap agar ini adalah pilihan yang terbaik. Sebab sebelum ini relationship saya selama empat tahun dengan bekas kekasih sangat menyakitkan, rasa sedih sampai turun berat badan.

"Dengan kehadiran dia dalam hidup saya sekarang ni, ia sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati. Lagipun dia sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang saya lakukan.

"Masa mula-mula berkawan, kami selalu berkongsi masalah masing-masing dan waktu itu saya pula broken. Dia setia mendengar segala luahan saya dan selalu bagi feedback yang positif.

Tapi kalau ada yang dah jatuh hati dengan abang rider tu, kena pastikanlah yang mereka tu bukan hak milik orang.

NURAISHAH RAHIM

"Keluarga saya pula okay je, mereka nak kami berkenalan dulu sebab saya pun masih lagi muda," katanya yang berasal dari Sungai Buloh dan menetap di Kampung Chempedah, Kuang bersama keluarganya.

Dalam pada itu, Aishah juga pernah bekerja sebagai penghantar makanan secara separuh masa selama enam bulan untuk menjana pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut anak keenam daripada tujuh beradik itu, dia tidak mengambil hati dengan komen netizen yang kononnya risau jika kekasihnya mungkin akan jatuh hari dengan wanita lain sewaktu bekerja.

"Saya memang ada baca komen-komen yang orang berikan tentang video itu dan memilih untuk ambil dari sudut positif sahaja. Sebab saya muat naik video itu pun kerana tengah trending.

"Saya pun pernah bekerja sebagai rider, tapi untuk menghantar makanan. Bagi saya, kita perlu letak kepercayaan kepada pasangan yang mereka keluar untuk mencari rezeki dan bukan atas tujuan lain.

IMG_5940

Aishah juga pernah bekerja sebagai penghantar makanan separuh masa.

"Saya faham mereka risau sebab penerima barang tu bukannya semua lelaki.Tapi kalau ada yang dah jatuh hati dengan abang rider tu, kena pastikanlah yang mereka tu bukan hak milik orang.

"Sebab ada juga yang komen takut kalau lepas ni suami atau tunang mereka jatuh cinta pula dengan penerima bungkusan sewaktu menghantar barang," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain