suria

Rumah kampung bertukar wajah, 5 beradik pakat ubah suai nak balas jasa emak... bincang dalam WhatsApp je - “Kami bukan orang senang”

Lima beradik mengubah suai kediaman lama (gambar kecil) sebagai membalas jasa ibu mereka.

JASA dan pengorbanan orang tua membesarkan anak-anak sememangnya tiada tara.

Apatah lagi apabila si ibu terpaksa membanting tulang dan mencari nafkah bersendirian selepas kematian suami tersayang.

Demi membalas jasa ibu, lima beradik ini berpakat untuk mengubah suai kediaman lama mereka sehingga bertukar wajah menjadi seperti kediaman mewah, sebagai hadiah buat 'syurga' mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Jasa ibu jual nasi lemak dihargai, anak ubah suai rumah RM100,000 jadi mahligai "Kalau ayah ada, dia mesti gembira"

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah kampung bertukar wajah dalam sebulan, selepas siap tak sangka ramai singgah nak tangkap gambar

Video proses mengubah suai kediaman tersebut yang dikongsikan di aplikasi TikTok sehingga kini meraih hampir 1.1 juta jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Dena Elynna Kassim berkata dia dan empat lagi adik beradiknya bersyukur apabila usaha sama mereka mampu menghadiahkan senyuman buat ibu, Sinugijing Misarid.

"Kami lima beradik menjadi saksi betapa ibu berusaha keras dan cekal mencari rezeki bersendirian untuk membesarkan dan menyediakan pendidikan untuk kami selepas arwah ayah meninggal dunia pada 2014.

"Syukur Alhamdulillah, kini ibu mampu tersenyum dan berehat di rumah sahaja selepas sekian lama bekerja. Ibu pun baru pencen daripada jawatan pembantu tadbir tahun lepas, kini banyak masa dia dihabiskan di rumah.

"Kini dia ada hobi baru iaitu deko rumah pula. Sambil-sambil tu dia buka kedai runcit kecil dekat rumah, sekadar jual jajan untuk anak-anak kecil. Ibu ni orang yang dah biasa bekerja, jadi jenis tak duduk diam," ceritanya yang senang disapa sebagai Dena.

interior

Deko dan hiasan di bahagian ruang tamu serta ruang makan.

Bercerita secara ringkas mengenai proses ubah suai kediaman pusaka peninggalan arwah bapa yang terletak di Kampung Mempakad Laut, Pitas, Sabah, Dena berkata mereka lima beradik berpakat menyumbang dari segi kewangan untuk merealisasikan kediaman idaman ibu.

"Kami semua start plan tahun lepas... semuanya menerusi group WhatsApp sahaja sebab ada dua abang yang berhijrah ke semenanjung. Kami bahagikan peranan masing-masing.

lima beradik

Dena (duduk, kanan) bersama abang-abang dan kakaknya berpakat mengubah suai kediaman lama sebagai mengenang jasa ibu mereka.

"Contohnya seorang sumbang kewangan untuk beli barang, seorang bayar upah tukang rumah, seorang bahagian hiasan dan macam-macam. Jujurnya, kami ini bukan orang senang atau kerja berpangkat.

"Semuanya kerja biasa-biasa. Tapi Alhamdulillah, rezeki tu sentiasa saja ada. Takkan kita nak tunggu kerja bagus-bagus barulah nak balas jasa orang tua. Lagipun ini rumah yang membesarkan kami, tempat berkumpul setiap kali raya atau keraian.

"Ada juga yang tanya pasal 'loan'. Sebenarnya semua adalah hasil titik peluh kami sendiri. Semuanya perlu bergantung kepada bajet juga," ujar Dena yang merupakan tukang jahit sepenuh masa ini.

Semuanya kerja biasa-biasa. Tapi Alhamdulillah, rezeki tu sentiasa saja ada. Takkan kita nak tunggu kerja bagus-bagus barulah nak balas jasa orang tua.

DENA ELYNNA KASSIM

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, keseluruhan proses mengubah suai kediaman mengambil masa sekitar lapan bulan.

"Ia bermula pada Julai tahun lepas. Kami jangka ambil masa sekitar tiga atau empat bulan sahaja. Namun macam-macam halangan dan ujian antaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi tak boleh rentas daerah, barang pun ada yang tak cukup.

jahit langsir

Dena menjahit sendiri langsir untuk kediaman baharu keluarganya.

"Sepanjang proses ubah suai tu, kami menumpang di rumah kakak yang terletak berdekatan. Alhamdulillah, akhirnya pada Februari baru-baru ini dah boleh masuk rumah baharu. Cuma abang sulung saja belum ada rezeki nak balik rumah baru sebab dia di Semenanjung," ujarnya yang juga pernah menjadi johan pertandingan Sabah Young Designer Challenge pada 2019.

Hanya sekadar memuat naik untuk tujuan kenangan, Dena berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen.

sabah young designer

Dena (tiga, kiri) pernah menjadi johan pertandingan Sabah Young Designer Challenge pada 2019.

"Ada yang komen minta buat house tour pula. Bukan tak mahu, tapi ada bahagian yang masih belum lengkap.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang beri komen-komen positif. Ingat satu perkara saja, kalau kita memuliakan orang tua, InsyaAllah rezeki pasti akan melimpah," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain