suria

Ibu demam hanya nak rehat di rumah, bapa yakin bukan virus Covid-19... 6 beradik reda jadi yatim piatu dalam masa 10 hari - “Umi pergi sebelum naik ambulans”

Arwah ibu dan bapa kepada Wan Fatini meninggal dunia selang 10 hari kerana jangkitan Covid-19.

HILANG salah seorang sama ada ibu atau bapa sememangnya hakikat yang perit untuk ditelan, namun bayangkan pula jika hilang kedua-duanya secara mengejut.

Lebih pilu, pemergian ibu hanya selang beberapa hari sahaja sebelum disusuli pula oleh si ayah.

Itulah dugaan berat buat enam beradik ini selepas kedua orang tua mereka meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan beradik yatim piatu terharu Perkeso tampil bela nasib selepas kematian ibu bapa akibat Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terduduk di liang lahad... selamat berehat ibu” - Dah urus beratus jenazah pesakit Covid-19, lelaki ini tak sangka salah seorangnya emak sendiri!

Menurut Wan Fatini Wan Adnan, ibunya, Wan Zainab, 52, menghembuskan nafas terakhir pada 3 Ogos lalu dan kemudian bapanya, Wan Adnan, 55, pula menyusul 10 hari kemudian.

Mengimbas kembali tragedi pilu yang menimpa keluarganya, Wan Fatini berkata segala-galanya bermula selepas ibunya secara tiba-tiba diserang demam pada 23 Julai lalu.

"Hari tersebut umi dapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos pertama. Selepas tu dia ke restoran miliknya macam biasa. Petang itu, salah seorang pekerja beritahu tak sihat dan minta umi hantar ke klinik.

"Nak jadikan cerita, malam tu umi dah mula tak sedap badan dan keesokannya terus demam. Saya dan tiga adik beradik lain tinggal berasingan dengan umi dan ayah. Hanya dua adik kami je tinggal bersama mereka di Klang.

"Bila dapat khabar umi, kami suruh dia pergi klinik tapi umi kata dah dapatkan ubat daripada rakannya yang juga seorang doktor. Umi nak berehat saja dekat rumah. Tapi keadaannya sekejap segar, sekejap lemah.

"Hari kelima umi demam, ayah pula demam... kemudian dua adik kami. Bila demam ayah teruk, dia pergi ke sebuah hospital swasta dan doktor beritahu mungkin Covid-19 dan saran buat swab, tapi ayah yakin bukan sebab virus tu. Doktor kemudian buat surat rujukan untuk ayah ke hospital kerajaan," cerita Wan Fatini yang merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik.

IBU BAPA COVID 2

Arwah ibu kepada Wan Fatini dikebumikan mengikut SOP pengurusan jenazah Covid-19 selepas disahkan meninggal dunia akibat jangkitan virus tersebut.

Menurut wanita berusia 22 tahun ini, demam ibunya terus berlanjutan dan pada hari ke-10, keadaannya semakin merosot.

Wan Fatini kemudian mendapat panggilan daripada adiknya memaklumkan keadaan ibu mereka nazak kerana tidak menunjukkan sebarang respons sewaktu dikejutkan daripada tidur.

"Saya terus bergegas pulang ke Klang dari Kuala Selangor bersama ibu saudara. Namun dalam perjalanan, umi telah hembuskan nafas terakhir sebelum sempat ambulans bawa ke hospital.

"Jenazah kemudian dibawa ke bahagian forensik hospital untuk mengenal pasti punca kematian. Dan pada malam hari yang sama juga, ayah dibawa ke hospital dan disahkan positid Covid-19. Keputusan dari forensik juga menyatakan umi meninggal dunia kerana Covid-19.

Tak sangka sangat... arwah umi dan ayah sihat, tak ada sejarah penyakit. Kami juga tak tahu punca jangkitan.

WAN FATINI WAN ADNAN

"Kami sekeluarga kena buat saringan dan hasilnya, kami lima beradik juga positif. Adik keempat saja negatif sebab dia di kampusnya. Sedang kami menjalani kuarantin, ayah pula meninggal dunia selepas 10 hari di hospital," cerita Wan Fatini.

Sungguhpun amat sedih dengan pemergian mengejut kedua-dua orang tua mereka, Wan Fatini dan adik beradiknya reda dengan ketentuan Ilahi.

"Tak sangka sangat... arwah umi dan ayah sihat, tak ada sejarah penyakit. Kami juga tak tahu punca jangkitan. Tapi kawasan rumah di Klang memang 'kawasan panas'... hari-hari ambulans lalu.

IBU BAPA 1

Gambar kenangan Wan Fatini bersama ibu bapa dan adik beradiknya.

"Masih terbayang lagi kelibat arwah umi dan ayah dalam rumah. Adik bongsu paling terkesan sebab sepanjang 13 tahun dia tak pernah berenggang dengan mereka. Alhamdulillah, kami dikurniakan ibu dan bapa saudara yang semuanya tak pernah lupa ambil tahu keadaan kami.

"Tak sangka perkongsian saya dapat perhatian ramai. Saya sekadar nak luahkan kesedihan. Rupa-rupanya ramai yang komen dan beritahu mereka juga kehilangan ahli keluarga kerana Covid-19.

"Cuma saya nak kongsikan kepada semua, usahlah bertangguh kalau badan rasa tak sihat. Cepat-cepatlah dapatkan rawatan... mungkin kita anggap demam biasa, tapi rupa-rupanya penyakit lain. Kalau nak berikhtiar cara lain tak salah, tapi usah ketepikan rawatan moden," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain