suria

Masih berbisa! Bapa dua anak tunjuk skil main BMX... 21 tahun lalu pernah ‘fly’ tapi selepas ‘landing’ terus gelap - “Dulu nak belajar kena order tape, CD”

Menghasilkan satu trick baharu ketika bermain BMX mengambil masa berbulan lamanya.

"RINDU zaman BMX," komen salah seorang pengguna TikTok pada video yang memaparkan seorang lelaki bersama basikal BMX.

Video tersebut memaparkan dia sedang melakukan beberapa trick di atas basikalnya.

Perkongsian tersebut meraih hampir 270,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini puas hati dapat lepas gian travel ke ‘Bali’! Balik kerja, ambil tilam dan campak tepi kolam ikan mak... santai habis

ARTIKEL BERKAITAN: Rindu alam semulajadi... video pengembaraan dalam hutan dikongsi pemuda ini buat ramai terpesona, rasa tenang je tengok

Bercerita kepada mStar, Jamalludin Ismail, 39, berkata, video tersebut dimuat naik untuk berkongsi tentang hobinya yang suka melakukan beberapa aksi menggunakan basikal BMX.

Tambahnya lagi, trick yang dilakukannya dalam video tersebut adalah ideanya sendiri.

"Sebenarnya saya post video buat trick ni hanya sekadar nak berkongsi minat dengan orang ramai. Trick yang saya buat dalam video itu ialah 'ftlatland', ia tak sama dengan 'freestyle'.

"Ada tiga trick dalam video ni... nak buat satu pun makan masa berbulan. Inikan pula saya gabungkan ketiga-tiganya dalam satu video.

IMG_7180

Dia mula menceburi dalam bidang ekstrem ini sejak tahun 1998.

"Idea memang datang dari saya sendiri tapi saya gabungkan sekali dengan trick yang asal," katanya yang menetap bersama isterinya Rosnani Talib, 44, dan dua anaknya di Larkin, Johor.

Menurut anak kelahiran Johor ini, dia mula berminat dalam sukan ekstrem basikal BMX ketika membuat kayuhan ke Dataran Bandaraya Johor pada 31 Ogos tahun 1998.

Ketika itulah dia terjumpa dengan sekumpulan pemain basikal BMX yang dikenali sebagai Havoc.

"Pada asalnya saya cuma buat kayuhan biasa je ke Dataran Bandaraya Johor Bahru, lepas tu terjumpa pula kumpulan basikal BMX ni. Itulah kali pertama saya jumpa kumpulan Havoc ni.

"Masa tu saya sangat terpegun tengok mereka buat macam-macam tricks dan rasa ingin tahu itu semakin membuak-buak. Dari situlah mulanya saya menceburi bidang basikal BMX dan berlatih bersama mereka.

"Beberapa tahun kemudian saya sertai mereka untuk buat demo di beberapa pusat beli belah di sekitar Johor Bahru seperti City Square, Komtar dan JB Waterfront.

IMG_7199

Jamal (kanan, tengah) berlatih bersama-sama kumpulan basikal BMX Havoc.

"Cuma waktu tu saya masih ada lagi beberapa tricks yang saya belum kuasai. Dulu belum ada Youtube, jadi kami belajar semua dari tape dan CD.

"Memang gigih la sebab pada zaman tu, tape semua kena order terlebih dahulu," ujarnya yang lebih mesra disapa Jamal.

Dalam pada itu Jamal mengakui setiap sukan ekstrem pasti akan ada potensi untuk berlaku kecederaan.

Begitu juga dengan dirinya yang mana kepalanya pernah terhentak sewaktu melakukan persembahan 21 tahun lalu.

"Kecederaan yang paling teruk saya pernah alami ialah waktu buat demo di dataran Johor Bahru untuk event F1 pada tahun 2000.

"Masa tu ada jump box untuk BMX, benda tu tinggi tapi saya tak berapa nak pasti jaraknya dekat atau jauh. Bila saya dah fly barulah perasan kenapa macam tinggi sangat.

"Lepas dah landing saya tak nampak apa-apa, terus gelap. Rupa-rupanya saya terjatuh dan kepala terhentak dengan kuat.

"Polis yang bertugas di event tu bawa saya ke Hospital Sultanah Aminah. Waktu di unit kecemasan tu saya muntah darah, nasib baik lepas dah buat scan semua doktor cakap tiada sebarang kecederaan serius.

Dalam masa yang sama juga saya nak kembalikan semula era basikal BMX ni

JAMALLUDIN ISMAIL

"Tapi ambil masa sebulan jugalah nak pulih semula, lepas dah baik pun rasa macam 'mamai' lagi," katanya yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat kereta di Plentong, Johor.

Bapa kepada dua cahaya mata ini menggalakkan generasi muda pada masa kini mencuba aktiviti ini berbanding bermain basikal secara berbahaya di atas jalan raya.

Dia juga sedia membantu jika ada yang berminat dan memberi tunjuk ajar kepada mereka.

"Saya harap sangat anak-anak muda terutama sekali mereka yang main basikal lajak tu, cubalah aktiviti ni. Daripada bermain atas jalan raya yang bahaya, sekurang-kurangnya BMX ni tak melibatkan kenderaan lain.

IMG_7189

Jamal dan Rosnani menetap di Larkin, Johor bersama dua orang cahaya mata mereka.

"Lagipun nak main basikal ni pun ada undang-undangnya, jadi lebih baik kita elakkan daripada bermain di atas jalan. Kalau ada yang berminat nak cuba, boleh hubungi saya untuk tunjuk ajar.

"Dalam masa yang sama juga saya nak kembalikan semula era basikal BMX ni dan buktikan yang golongan seperti kami masih wujud," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain