suria

Tiada order, rider Foodpanda usia 20 tahun singgah surau... tiada masalah ada hamba Allah minta laung azan - “Nak belajar, jangan fikir suara tak sedap”

Rauf sebelum ini pernah mengikuti pengajian di pondok selama lima tahun.

DALAM kesibukan bekerja sebagai penghantar makanan, jejaka ini tetap mencari masa untuk menjalankan kewajipannya sebagai umat Islam.

Baru-baru ini tular video memaparkan rider Foodpanda itu sedang melaungkan azan di sebuah surau di Pulau Pinang sehingga menerima lebih 100,000 tontonan.

Bercerita kepada mStar, Abdul Rauf Mohd Azmi, 20, mendedahkan video itu dirakam pada minggu lepas ketika dia hadir ke surau berkenaan untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

ARTIKEL BERKAITAN: Azan hampir berkumandang, jejaka ini lewat berbuka kerana lebih fikirkan perut 3 beranak ‘tersidai’ tepi jalan

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terpegun dengar laungan azan anak arwah Aziz Desa, terbuka siapa nak bagi teguran!

"Pada waktu itu saya sedang bekerja, tapi tiada order masuk. Jadi saya balik ke rumah dan kebetulan dah nak masuk waktu Maghrib. Ia merupakan surau di sebuah pondok berdekatan rumah saya.

"Ketika ada di hadapan surau, ada seorang hamba Allah minta saya laungkan azan. Kemudian ada orang rakam ketika saya azan, ada seorang hamba Allah hantar video itu kepada saya. Jadi saya kongsi video itu di TikTok.

"Melalui video itu, saya cuma nak sampaikan mesej agar kita tak pandang hina sesiapa, walau apa pekerjaan yang dibuat, jangan nilai luaran. Pada masa sama, dalam kesibukan kerja, jangan lupa pada pencipta.

"Kita kena cari masa, Apabila niat kita nak cari reda Allah, pasti Allah akan beri kelapangan masa kepada kita," ujarnya yang mesra disapa Rauf.

Menurut anak kelima daripada lapan beradik itu, dia terkejut dan tidak menyangka video berkenaan akan meraih perhatian ramai.

Di sebalik pujian dan kata-kata positif, Rauf mendedahkan dia turut menerima komen negatif, namun dia berlapang dada menerima segala teguran oleh netizen.

rauf3

Rauf terkejut video azan itu tular di aplikasi TikTok.

"Terkejut sangat-sangat bila viral, saya memang tak sangka. Memang rezeki saya. Pada masa sama, saya rasa nervous.

"Kebanyakannya komen positif. Mereka doakan saya. Tapi, ada juga komen negatif. Mereka kata, kenapa nak tunjuk kebaikan pada orang?

"Saya OK saja. Saya ambil komen itu sebagai pengajaran," ujarnya yang menetap di Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kalau nak belajar azan, jangan fikir suara sedap ke tidak. Paling utama, niat dengan keyakinan.

RAUF

Mengenai dirinya, Rauf sebelum ini pernah mengikuti pengajian di pondok selama lima tahun.

"Dulu saya belajar pondok selama lima tahun. Sekarang saya kerja Foodpanda buat sementara waktu, saya tunggu nak dapat panggilan belajar. Kalau boleh nak belajar dalam bidang Syariah Islam.

"Mengenai azan pula, saya sebenarnya dah belajar sejak darjah lima. Saya pernah azan di masjid, tapi sangat jarang. Selalunya saya azan di surau.

rauf2

Rauf menerima dengan hati terbuka segala komen yang ditinggalkan di TikTok miliknya.

"Pada pandangan saya, kalau nak belajar azan, jangan fikir suara sedap ke tidak. Paling utama, niat dengan keyakinan... kena yakin.

"Selain itu, jangan terus buat lagu. Buat permulaan, cuba azan biasa dahulu. Bila dah dapat rasa yakin, baru cuba berlagu," ujarnya lagi.

Di kesempatan sama, Rauf turut meminta rakyat Malaysia mendoakan dia dan rakan rider yang lain agar dipermudah semua urusan dan sentiasa diberi kesabaran tinggi dalam menjalankan tugas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain