suria

Masuk PPV nak cucuk vaksin, pengantin terkejut ada ‘majlis’ kahwin dirancang... siap ada show silat, kompang - “Nasib baik kami nikah betul-betul”

Foto kiri pengantin selepas akad nikah di masjid, foto kiri pengantin di PPV.

SIAPA sangka tarikh janji temu seorang wanita untuk menerima dos kedua vaksin Covid-19, secara kebetulan jatuh pada hari pernikahannya.

Kehadirannya dalam persalinan busana pengantin warna putih mencuri tumpuan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.

Tidak bersendirian, dia turut ditemani suami yang lengkap berbaju Melayu dan samping songket berserta songkok, ibarat pasangan Raja Sehari.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejuk hati tengok! Pemuda ini betul-betul ikut cakap mak... selawat, minta izin nurse nak baca doa dulu sebelum cucuk vaksin

ARTIKEL BERKAITAN: Nak vaksin, lepas tu terus kahwin! Pengantin muncul di PPV tak hirau diri jadi perhatian, disangka pakai kostum - "Macam mana nak cucuk pakai baju nikah?"

Pengantin perempuan, Fazira Asmawati Muhd Razali berkata, janji temu dos kedua vaksinnya adalah pada hari pernikahannya 31 Ogos lalu di mana tarikh tersebut telah ditetapkan lebih awal.

Wanita berusia 25 tahun itu bagaimanapun tidak menyangka video berkenaan yang baru dikongsi di laman sosial pada Rabu, menjadi tular.

"Saya hadir ke PPV untuk dos pertama vaksin pada 10 Ogos lalu. Selepas selesai dapat suntikan, baru dapat tarikh untuk dos kedua iaitu 31 Ogos.

"Masa tu tak sangka apppointment jatuh pada hari yang saya nikah, sedangkan tarikh nikah di masjid dah dapat lebih awal. Memang rasa cuak masa tu," katanya kepada mStar.

pengantin ppv 4

Pengantin bersama keluarga selepas akad nikah.

Lebih mesra disapa Fiera, pada mulanya dia bercadang untuk menangguhkan janji temu dos kedua vaksin kerana mahu memberi laluan kepada pernikahannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan.

"Selepas berbincang dengan suami kira-kira seminggu sebelum nikah, katanya lebih baik diteruskan appointment vaksin, Nanti kalau cancel, ambil masa untuk dapat tarikh baru.

"Jadi, saya ke PPV selepas nikah di masjid. Memang datang pakai baju pengantin, sebab ada mask jadi tak la rasa segan," ujar anak kelahiran Kuantan itu.

pengantin ppv 5

Pengantin memasuki dewan di PPV.

Menurut Fiera, dia bersendirian masuk bagi menerima vaksin kira-kira pukul 1.30 petang sementara suami yang menemaninya ke PPV menunggu di dalam kereta di kawasan parkir.

"Nak dekat masuk ke tempat cucuk vaksin, penyelia di PPV jumpa saya dan cadangkan untuk panggil suami masuk sekali sebab pertama kali mereka terima kehadiran pengantin, kebiasaannya penerima vaksin yang datang berpakaian kostum.

"Kebetulan masa tu memang tak ramai orang dan proses berjalan sangat cepat, jadi saya keluar sekejap untuk panggil suami teman sekali ke dalam dewan," katanya sambil menambah dia mengenali suaminya sejak enam tahun lalu.

pengantin ppv 2

Bersama petugas di PPV.

Bagaimanapun dia tidak menyangka sama sekali sebaik kembali masuk ke dewan mereka disambut oleh seorang petugas yang membuat 'pertunjukan' silat.

"Petugas buat 'show' bermain silat tu seperti yang biasa dilakukan di kenduri kahwin apabila menyambut ketibaan pengantin. Selepas selesai cucuk, mereka pasang lagu kompang pula, macam pengantin sedang berarak ke pelamin.

Suasana macam kenduri kahwin, cuma tak ada makan nasi minyak dan pelamin

FAZIRA ASMAWATI MUHD RAZALI

"Kebetulan pula hari tu adalah Hari Kebangsaan jadi kesemua petugas di PPV memakai baju tradisional seperti baju Melayu dan baju kurung, seolah-olah tetamu majlis. Siap ada yang ucapkan tahniah kata selamat pengantin baru bila kami lalu," katanya.

Fiera yang mengusahakan gerai makan berkata, situasi yang berlaku tanpa dirancang itu menghidupkan suasana seperti sebuah majlis kahwin.

pengantin ppv 3

Pengantin (hadapan, tengah) selepas pihak perempuan menerima dos kedua vaksin.

"Memang tak sangka, nasib baik kami ni nikah betul-betul. Walaupun semua mengikut SOP, tapi suasana macam kenduri kahwin, cuma tak ada makan nasi minyak dan pelamin.

"Majlis nikah kami pun berlangsung serba ringkas dihadiri keluarga terdekat. InsyaAllah kami rancang nak buat makan-makan secara sederhana pada masa akan datang, dan sudah tentu kena ada nasi minyak!" ujarnya secara berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain