suria

Bakal pengantin sebak ibu suap nasi buat kali terakhir ketika pakai inai, tapi tak boleh kesat air mata - “Lepas ni dah tak boleh manja macam ni”

Azie tidak dapat menahan sebak apabila ibunya menyuapkan makan.

"BARU suap nasi dah menangis," itulah kata-kata seorang ibu apabila melihat anak perempuannya menangis apabila disuap dengan makanan.

Video yang dimuat naik sendiri oleh anaknya itu menunjukkan bagaimana dia tidak dapat menahan sebak apabila ibunya sanggup menyuapkan makanan ketika dia sedang memakai inai menjelang hari pernikahannya.

Perkongsian tersebut setakat ini meraih hampir 40,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis ini tak nak kalah selepas terpegun tengok kucingnya pandai berenang dalam laut - “Saya mandi pantai bawa pelampung”

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki atas dashboard kereta, aksi ibu muda ini gambarkan susah senang urus bayi kembar - “Mereka tak tidur serentak sehinggalah jam 3 pagi”

Bercerita lebih lanjut kepada mStar, Aziliwani binti Abd Rahman, 30, berkata, dia sememangnya tidak dapat menahan air mata apabila ibunya menyuapkan nasi ke mulutnya sehari sebelum majlis perkahwinannya yang diadakan di kampungnya di Kelantan.

Ibunya, Zakira Aliya, 48, menawarkan diri untuk menyuap nasi kepada anak sulungnya itu sebelum dia bergelar sebagai seorang isteri pada 10 September lalu.

"Waktu tu semua tengah makan malam tapi saya je belum sebab pakai inai. Memang tak sempat nak makan dari petang, jadi mak tawarkan diri nak suapkan nasi sebab kesian tengok saya berlapar.

"Lepas tu saya pun suruhlah adik perempuan rakam untuk disimpan sebagai kenangan. Lagipun masa tu saya dah lama tak balik kampung dekat setahun lebih, bila ibu suap tu rasa sedih sangat... saya fikir lepas jadi isteri dah tak dapat rasa kasih sayang macam ni lagi.

IMG_8458

Izzah (dua,kanan) mendirikan rumah tangga pada 10 September lalu.

"Rasa sedih dan terharu sebab ibu sanggup suap walaupun dia sendiri belum makan. Masa itu abah, nenek, mak saudara dan adik-adik semua tengok saya menangis.

"Adik yang tengah rakam tu asyik sakat saya padahal dia yang mula menangis dulu dan lepas tu semua di situ turut menangis sambil ketawa," katanya yang menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mesra disapa Azie, dia tidak dapat menahan sebak apabila ibunya berkata ini merupakan kali terakhir dia dapat bermanja sebagai seorang anak sebelum menjalani hidup sendiri bersama suami.

"Waktu ibu nak suap tu dia cakap saya ni dah nak jadi isteri orang dan akan tinggalkan dia. Kata-kata itu yang buat hati saya rasa sangat tersentuh.

"Bila tengok semua menangis, ibu cakaplah 'baru suap nasi dah menangis, tak boleh nak suaplah kalau macam ni.

IMG_8461

Izzah (duduk, kanan) merupakan anak sulung daripada lapan beradik.

"Itulah yang ibu asyik ulang cakap. Sebenarnya dia tak bagi adik saya rakam video tetapi akhirnya, ibu pun turut sama menangis.

"Saya memang manja dan rapat dengan ibu dari dulu lagi, sebab saya anak sulung. Suami gelak je bila tengok video tu dan berjanji dia akan jaga saya elok-elok macam mana ibu jaga saya," katanya yang bekerja sebagai seorang jurujual pasaraya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menurut anak jati Kelantan ini, ibunya merupakan seorang yang garang tetapi sukar untuk menunjukkan kemarahannya pada orang lain.

Namun Azie terhibur melihat gelagat ibunya apabila diusik oleh mereka lapan beradik.

"Ibu ni pula seorang yang garang tapi dalam masa sama sporting dan penyayang. Dia tak pernah bandingkan anak-anaknya, tegas pun bertempat tapi susah nak tengok dia marah.

"Dia sentiasa tenang je layan kerenah anak, saya selalu suka menyakat ibu sehingga marah. Kami adik beradik terhibur melihat reaksi ibu apabila diusik, sebab kalau tengah marah pun nampak macam tengah ketawa.

Saya selalu pesan dekat ibu yang selagi saya dan adik beradik masih ada, selagi itulah kami akan selalu bahagiakan dia.

AZILIWANI ABD RAHMAN

"Perkara yang paling akan dirindui ialah masakan, bebelan dan telatah ibu. Pengorbanan ibu melahirkan dan membesarkan kami memang tidak dapat saya lupakan.

"Saya dah berjanji dengan ibu untuk selalu beri yang terbaik untuk dia," ujarnya.

Azie turut berharap agar mereka yang masih mempunyai ibu bapa untuk menghargai mereka.

Dia juga berpesan untuk merakam segala detik indah bersama ibu bapa supaya ia dapat dijadikan sebagai kenangan apabila mereka sudah tiada.

"Saya harap yang mana masih ada ibu dan ayah hargailah masa bersama mereka kerana kasih sayang mereka tiada nilai tandingnya.

IMG_8465

Izzah berjanji untuk membahagiakan ibunya selagi dia masih bernyawa.

"Saya selalu pesan dekat ibu yang selagi saya dan adik beradik masih ada, selagi itulah kami akan selalu bahagiakan dia.

"Kalau boleh rakamlah momen penting bersama mereka sebab itulah kenangan terindah dalam hidup dan layanlah ibu bapa kita sebaik mungkin," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain