suria

Order tak masuk, ternampak bendera putih pula! Rider ajak geng pergi ‘siasat’, rupa-rupanya seorang datuk buntu fikirkan susu cucunya

Azmil dan rakan-rakannya mengumpul wang bagi membeli barang keperluan untuk disumbangkan kepada keluarga seorang warga emas di Dengkil.

SIMPATI dengan situasi yang dialami sebuah keluarga yang kesempitan wang sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih, sekumpulan rider penghantar makanan mengambil inisiatif sendiri untuk meringankan beban keluarga tersebut.

Berkongsi cerita dengan mStar, salah seorang rider Foodpanda, Azmil Firdaus yang memuat naik perkongsian video di TikTok berkata, seorang rakannya menyedari adanya bendera putih di sebuah rumah ketika sedang menunggu pesanan masuk.

ARTIKEL BERKAITAN: “24 jam bertugas, tak tahu dah makan ke belum” - Gaji tak besar tapi geng rider Food Panda buat anggota polis, tentera tersenyum

ARTIKEL BERKAITAN: Puas pergi merata premis sebab order tak masuk-masuk, rider dapat rezeki tak diduga selepas pasrah... duduk tepi tangga beri kucing bunting makan

"Insiden ini berlaku pada hujung Julai lalu namun saya baru muat naik dekat TikTok sekadar nak mengimbas semula. Tak sangka pula viral sekali lagi selepas pernah viral di Twitter.

"Ketika tu kami sedang menunggu pesanan masuk dekat salah sebuah vendor... tiba-tiba kawan kami ni beritahu dia nampak sebuah rumah kibar bendera putih masa dia sedang pusing-pusing tunggu order masuk.

"Masa tu memang hangat pasal kempen bendera putih ni. Jadi kami pakat-pakat pergi ke rumah yang dimaksudkan untuk sahkan situasi mereka.

"Memang betul, dalam rumah tu ada seorang uncle tua yang tinggal dengan anak dan cucu-cucunya. Saya tak pasti berapa orang isi rumahnya, cuma nampak dua cucu yang masih kecil. Uncle ni beritahu mereka kesempitan wang dan tak mampu nak beli susu bayi," cerita pemuda berusia 22 tahun ini sambil menambah, rumah warga emas itu terletak di Dengkil, Selangor.

Sempat bertanya serba sedikit perihal keluarganya, menurut Azmil, warga emas berusia 61 tahun itu memberitahu dia diberhentikan kerja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

rider baru 2

Azmil (dua, kiri) bekerja sebagai rider sejak Mac tahun lalu.

Disebabkan itu, mereka sekeluarga hanya bergantung harapan kepada isterinya yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan dengan gaji bulanan sebanyak RM1,000.

"Selepas ditolak dengan sewa rumah dan bil utiliti, baki yang tinggal hanya cukup-cukup makan saja. Kita pun tahu keperluan bayi ni tinggi sikit kosnya seperti susu dan lampin pakai buang.

"Tapi bila kami tanya apa barangan yang dia perlukan, dia cuma beritahu susu bayi sahaja. Tak minta barang lain pun. Sebak juga kami dibuatnya," ujarnya yang berasal dari Banting.

Menurut Azmil, mereka berlima kemudian berpakat mengumpul sedikit wang bagi membeli barangan keperluan untuk disumbangkan bagi meringankan beban keluarga warga emas berkenaan.

rider baru 3

Geng rider sedang menunggu pesanan masuk.

"Kami berlima dapat kumpul hampir RM250. Wang tersebut kami guna beli barangan makanan asas dan juga susu bayi.

"Bila kami sampai di rumahnya dengan barang-barang, jelas sekali wajahnya sedih bercampur gembira. Berkali-kali dia ucapkan terima kasih kepada kami," ujarnya.

Tidak mempunyai niat lain selain mahu menyebarkan mesej positif kepada orang ramai, Azmil berkata apa yang mereka lakukan hanyalah bantuan kecil kepada golongan yang sangat memerlukan.

Kami tanya apa barangan yang dia perlukan, dia cuma beritahu susu bayi sahaja. Tak minta barang lain pun. Sebak juga kami dibuatnya.

AZMIL FIRDAUS

RIDER FOOD PANDA

"Kita pun faham betapa ramai yang terjejas kerana PKP. Dalam Foodpanda pun ramai rider baru masuk dan mereka ini adalah yang diberhentikan daripada kerja asal.

"Kami cuba letakkan diri dalam situasi uncle tu. Macam mana dia susah hati sebab cucunya tak dapat minum susu.

"Walaupun pendapatan kami tidaklah banyak, tapi kami fikir, masih ramai yang lebih susah dan terjejas," ujarnya yang juga merupakan seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda Multimedia dari Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

rider baru 1

Lebih setahun bergelar rider, Azmil gembira dikelilingi rakan yang baik.

Azmil yang mengisi masa terluang dengan bekerja sebagai rider sejak Mac tahun lalu berkata, dia begitu terharu dengan komen positif netizen yang memuji inisiatif mereka.

"Secara tak langsung, komen-komen ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk teruskan usaha ini. Buat masa ini, saya dan kawan-kawan rider memang ada wujudkan satu tabung khas untuk bantu insan memerlukan seperti uncle di Dengkil tu.

"Tak salah kalau nak bantu hulur setakat yang mampu. Apa kebaikan yang kita lakukan pasti akan dibalas oleh Allah," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain