suria

Sentuh suami beralaskan bubble wrap, kek dan pulut kuning mak tiada rasa... wanita anggap kuarantin 12 hari sebagai ‘menginsafkan’

Nur Aisyah yang menjalani kuarantin kendiri di bilik menerima kejutan sempena hari lahir dan ulang tahun perkahwinan daripada suami.

HARI ulang tahun kelahiran dan perkahwinan yang jatuh pada 9 September lalu pastinya meninggalkan kenangan yang tidak akan dilupakan oleh Nur Aisyah Mazalan seumur hidup.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya yang mana dia dapat meraikan hari istimewa ini bersama suami di sisi, namun sambutan kali ini nyata berbeza apabila dia terpaksa menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan positif Covid-19.

Sungguhpun terpaksa 'berkurung' di dalam bilik seorang diri, namun dia tidak menyangka menerima kejutan daripada suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Sepotong kek, besar nilainya! Makcik sedang kesepian dikuarantin sebak frontliners buat kejutan hari jadi - “Dia minta gambar untuk kenangan”

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan sambut 15 Oktober seorang diri... gadis kena kuarantin tak sangka frontliners siap nyanyi 'Selamat Hari Jadi'! - “Dah lah penat tapi masih sempat gembirakan orang lain”

"Selepas dapat tahu keputusan ujian calitan Covid-19 saya positif, macam-macam perkara terlintas di kepala. Paling saya risaukan adalah ibu saya kerana dia berusia 69 tahun dan ada penyakit darah tinggi.

"Syukur sangat kerana ibu dan suami negatif. Jadi kami buat persiapan untuk kuarantin saya dalam bilik.

"Sebenarnya langsung tak rancang nak celerate pun sebab dalam situasi sekarang ni. Tapi pukul 12.30 tengah malam tu, suami ketuk pintu.

"Saya memang belum tidur lagi sebab susah nak lelap sejak kuarantin. Ingatkan nak datang hantar makanan, rupa-rupanya siap buat surprise dengan belon dan coklat.

"Tapi tak boleh pegang, hanya mampu tengok di sebalik 'bubble wrap' yang dijadikan langsir penghadang pintu bilik saja," ujar wanita berusia 33 tahun ini.

surprise baru 1

Sambutan hari jadi dan ulang tahun perkahwinan Nur Aisyah yang jatuh pada 9 September lalu tidak diraikan seperti tahun-tahun sebelumnya kerana terpaksa menjalani kuarantin.

Sambutan untuk hari yang paling istimewa pada setiap tahun itu tidak berakhir di situ sahaja.

Nur Aisyah berkata, ibunya turut menyediakan pulut kuning pada keesokan hari, malah dia turut menerima kek yang dihantar oleh rakan-rakan.

"Sedih sebab kita makan tapi deria rasa tak ada... jadi telan saja. Dan keluarga serta kawan-kawan juga buat majlis bacaan Yassin secara maya masa hari jadi tu," ujarnya yang menetap di Johor Bahru, Johor.

surprise baru 3

Kek kiriman rakan-rakan dan pulut kuning istimewa masakan ibu sempena hari lahirnya.

Bercerita mengenai pengalamannya sebagai pesakit Covid-19, Nur Aisyah berkata dia membuat ujian calitan selepas dimaklumkan bahawa seorang individu yang turut terlibat dalam satu projek bersamanya positif Covid-19.

"Mula-mula saya buat ujian kendiri dengan kit yang dibeli. Hasilnya positif. Namun saya buat lagi sekali di klinik dan sah, saya positif Covid-19.

"Saya sihat seperti biasa dan tiada simptom pun. Namun masuk hari kelima kuarantin, barulah mula demam dan kemudian hilang deria bau dan rasa. Kiranya saya alami simptom yang ringan saja.

surprise baru 4

Nur Aisyah bersama ibu dan suami.

"Nak dijadikan cerita, dalam tempoh kuarantin tu, saya dapat khabar bahawa seorang rakan yang satu bidang meninggal dunia selepas sehari saja ditidurkan. Lebih tersentak sebab namanya pun Aisyah.

"Memang masa tu ada rasa takut sebab kita tak dapat jangka apa bakal berlaku. Saya cerita pada suami dan kami decide perlu ambil langkah lebih berhati-hati.

"Kami pasangkan 'bubble wrap' di pintu... tak tahulah berkesan ke tidak tapi itulah usaha yang boleh kami buat," ujar pekerja di syarikat swasta dan turut menjalankan bisnes secara online.

Keluarga serta kawan-kawan juga buat majlis bacaan Yassin secara maya masa hari jadi tempoh hari.

NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Nur Aisyah, tempoh 12 hari menjalani kuarantin kendiri di bilik cukup membuatkan dirinya bermuhasabah.

"Memang ia 12 hari yang penuh mencabar. Dalam tempoh itu saya banyak muhasabah dan berfikir. Bagi saya, ia ujian yang datang dengan beribu hikmah.

"Saya pun tak sangka video yang saya upload pasal kejutan suami tu menarik perhatian ramai. Ramai yang beri kata-kata semangat, doa malah ramai juga yang kongsi petua.

surprise baru 2

Nur Aisyah gembira dan bersyukur kerana sudah selesai menjalani tempoh kuarantin selama 12 hari.

"Saya terharu sangat dan rasa terlalu ramai orang yang baik-baik, yang prihatin dengan situasi saya. Terima kasih yang tak terhingga kepada mereka kerana prihatin walaupun saling tak mengenali," ujarnya lagi.

Sehingga kini video tersebut meraih 41,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain