suria

Rim ‘makan’ baju pinjam! Tak jadi nak bergaya pergi cucuk vaksin, pelajar malu baju koyak tengah jalan - “Kakak tanya kenapa motor jadi slow?”

Siti Mariam terkejut apabila melihat baju milik kawannya itu terkoyak selepas tersangkut pada rim motosikal.

MALANG tidak berbau!

Itulah yang berlaku kepada seorang gadis apabila bajunya tersangkut pada rim tayar motosikal.

Video yang meraih lebih 650,000 tontonan di TikTok itu memaparkan beberapa gambar bajunya selepas insiden itu berlaku sewaktu dia dalam perjalanan untuk mengambil dos pertama vaksin Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak nangis tapi saya tahan” - Dua sahabat rela berlapar, menggigil bermalam tepi sungai... tak ‘redah’ kepala air walau tahu berenang

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu pakar bela haiwan, siap peluk macam cucu... anak kongsi ‘punca’ angsa rasa nak kejar manusia laju-laju - “Angsa kami manja”

Berkongsi cerita dengan mStar, Siti Mariam Lokman, 16, berkata, kejadian itu berlaku pagi Isnin lalu ketika dia dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Tun Perak, Muar, Johor.

Walaupun sudah merancang mahu ke sekolah bersama ibu bapa dengan menaiki kereta, gadis berkenaan dan kakaknya, Nur Halimatusaadiah Lokman, 20 kemudiannya membuat keputusan untuk hanya menunggang motosikal ke sana.



"Mak dan ayah keluar ke pasar pukul 8 pagi dan temu janji saya pula pada pukul 10 pagi. Jadi mak dan ayah tunggu di depan sekolah, saya dengan kakak naik motor ke sana.

"Jarak dari rumah nak ke sekolah tu ambil masa 20 minit je, saya memang pegang kain baju waktu berada atas motor. Tapi tiba di lampu isyarat, mak telefon tanya di mana dan tangan saya pun tak perasan kain terlepas dari tangan.



Kakaknya pelik mengapa motosikal mereka bergerak begitu perlahan selepas melepasi lampu isyarat.

"Kakak bawa motosikal seperti biasa cuma lepas tu dia ada cakap 'kenapa motor jadi slow ni?'. Waktu itulah baru perasan yang bahagian belakang baju saya dah tersangkut pada rim tayar motor," katanya yang merupakan pelajar tingkatan empat di sekolah berkenaan.

Lebih mesra disapa Siti, dia dan kakaknya segera berhenti di tepi jalan untuk memeriksa keadaan motosikal dan Siti Mariam mendapati bajunya sudah terkoyak.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kemalangan disebabkan baju tersangkut pada rim tayar, namun agak malu kerana terpaksa menyuntk vaksin dengan pakaian koyak.

"Nak patah balik semula ke rumah memang tak boleh sebab dah nak sampai sekolah dan dah lewat untuk temu janji.

Selepas kejadian baju tersangkut tu memang saya serik sangat, sebab tak sangka pun akan terjadi benda macam ni.

SITI MARIAM LOKMAN

"Masa tu saya malu nak masuk ke sekolah dengan mak sebab orang di tempat vaksin tu pandang pelik. Mak kata lepas ni jangan pakai baju yang kainnya terjuntai kalau nak naik motosikal.

"Baju ni saya pinjam dengan kawan, dia pun terkejut bila saya beritahu apa yang terjadi. Saya masih simpan lagi baju tu, niat nak bayar dan ganti balik tetapi dia tolak," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Muar, Johor bersama keluarganya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu juga terkejut apabila menerima kecaman kerana ada yang menyangka insiden itu berlaku disebabkan dia mahu bergaya ketika mengambil vaksin.

Bagaimanapun, Siti berpandangan tidak salah jika mahu bergaya tetapi kita perlu elakkan daripada memakai baju atau kain labuh ketika menunggang motorsikal.

"Ramai yang kecam sebab ingat saya ni nak bergaya pergi ambil vaksin, tapi sebenarnya video itu tentang memakai baju labuh waktu naik motosikal. Jadi tak salah kalau saya nak bergaya sekali pun pada waktu itu.

IMG_9550

Siti menasihati orang ramai supaya berhati-hati memakai pakaian labuh ketika menaiki motosikal.

"Selepas kejadian baju tersangkut tu memang saya serik sangat, sebab tak sangka pun akan terjadi benda macam ni.

"Saya pasti ada yang pernah kena lagi teruk daripada ni. Kita kena lebih berhati-hati dan bagi yang tak pernah kena tu tolong elakkan pakai baju labuh atau kain terjuntai kalau naik motor," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain