PERNAH mendengar beberapa kes membabitkan penunggang motosikal yang cedera parah kerana terkena tali tangsi di jalan raya, pemuda ini sama sekali tidak menyangka kejadian yang sama menimpa dirinya. Namun ditakdirkan Allah, umurnya masih panjang apabila dia tidak mengalami sebarang kecederaan kerana tali tangsi yang merentangi jalan itu terkena topi keledarnya. "Setiap dugaan yang datang pasti ada hikmahnya," tulisnya menerusi perkongsian ringkas mengenai kejadian tersebut di aplikasi TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: Terima 30 jahitan gara-gara tali tangsi ARTIKEL BERKAITAN: Baru nak jamah ketupat pagi raya, baju Melayu pun tak sempat tukar, pekerja trak tunda jawab tuduhan sengaja simbah minyak atas jalan demi dapatkan job! Sehingga kini video tersebut meraih melebihi 429,000 jumlah tontonan. Mengimbas kembali insiden yang nyaris meragut nyawanya pada Jumaat lalu, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Faris berkata, ketika itu dia sedang dalam perjalanan untuk menjemput adiknya pulang bekerja. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya tunggang motosikal seorang diri dari rumah yang terletak di Taman Koperasi Polis, Batu Caves ke tempat kerja adik di Chow Kit. Ketika itu dah menjelang waktu Maghrib. "Saya ambil laluan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke). Ketika melalui fly-over dekat Sentul, tiba-tiba saya rasa kepala saya macam tertarik ke belakang. "Saya masa tu dekat lorong tengah sebab tak banyak kereta... dan bawa motor dengan kelajuan sekitar 80 kilometer/jam. Saya macam tergamam, terus perlahankan kelajuan. "Masa tangan saya usik helmet, baru rasa ada sesuatu seperti tali. Tengok-tengok dekat cermin sisi pun tali tu lekat. Saya pergi ke tepi lebuhraya. Saya tarik tali tu dari helmet... memang panjang! Saya simpul-simpul dan buang tali tu dekat tempat lain," kata pemuda berusia 23 tahun ini. Tali tangsi yang disyaki dipasang pihak tidak bertanggungjawab di Lebuhraya Duke. Menurut Faris, dia tidak pasti sama ada tali tersebut sengaja dipasang merentangi lebuh raya atau sebaliknya. Baginya, apa yang paling penting, dia terlalu bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan. "Selepas kena, saya beristighfar... serius saya bersyukur kerana tak kena leher atau muka. Kebetulan saya memang guna helmet dengan penutup penuh pada depan muka (visor). Kalau tidak, teruk muka kalau terkena tu," ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dan Sumber Manusia di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Selangor itu. Topi keledar berpenutup penuh yang dipakai Faris penuh dengan kesan calar kerana terkena tali tangsi. Faris mengakui insiden sedemikian membuatkannya sedikit trauma dan lebih berhati-hati apatah lagi dia menggunakan motosikal sebagai kenderaan utama. "Trauma tu ada sikit... tapi memang ke mana-mana naik motor, jadi selepas ini kena lebih hati-hati. Ibu pun pesan perkara yang sama dan jangan bawa motor laju-laju selepas saya ceritakan insiden itu. "Kalau tak silap, sebelum saya, ada dua kes yang berlaku dalam tempoh terdekat... dekat Gombak dan Penchala Link. Tak pastilah apa motif orang yang pasang tali tangsi ni... sama ada khianat atau nak samun. "Sekarang ni ramai terkesan gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tak mustahil mereka 'aim' penunggang motosikal untuk samun sebab terdesak nak pakai duit," ujar anak kelima daripada enam adik beradik ini. Selepas kena, saya beristighfar... serius saya bersyukur kerana tak kena leher atau muka. FARIS Memuat naik klip berkenaan dengan tujuan mahu berkongsi pengalaman sendiri serta dalam masa yang sama mahu memberi peringatan kepada pengguna jalan raya, Faris berkata dia sama sekali tidak menyangka video tersebut akan menjadi tular. "Ramai juga yang ucap terima kasih kerana sebarkan untuk peringatan bersama. Ada yang luah kebimbangan kerana ada ibu bapa mereka lalu lebuh raya yang sama hari-hari untuk bekerja. "Apa yang boleh saya kongsikan, kepada penunggang motosikal atau pengguna jalan raya lain, bacalah doa mohon perlindungan sebelum mulakan perjalanan. Ada antara netizen yang turut berkongsi pengalaman yang sama. "Dan bagi riders khususnya, pakailah helmet yang berpenutup penuh. Tak kira destinasi dekat atau jauh, utamakan keselamatan. Kita tak tahu, malang ni datang tanpa kita jangka," ujarnya lagi. Media sebelum ini pernah melaporkan kes membabitkan seorang lelaki yang terpaksa menerima 25 jahitan di dagunya yang terbelah kerana terkena tali tangsi ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (Sprint). Dalam kejadian serupa pada Mac lalu, seorang pegawai polis yang menunggang motosikal cedera pada leher selepas terkena seutas tali tangsi yang merintangi jalan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Butterworth. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!